CICINTA : Koleksi Cinta Tentang Cinta

PJJ ‘suami/isteri hujung minggu’ - perkahwinan jarak jauh


Tinggal berjauhan kerana faktor kerjaya antara cabaran utama pasangan suami isteri yang menempuh perkahwinan jarak jauh (PJJ).

Bagaimanapun, pasangan PJJ atau istilah lainnya ‘suami atau isteri hujung minggu’ lazimnya menjadikan kesetiaan sebagai teras dalam hubungan mereka tatkala terpaksa berjauhan demi mencari rezeki untuk keluarga.
Bagi pasangan sedemikian, masa untuk bertemu dan melunaskan pelbagai tanggungjawab menjadi agak terhad disebabkan faktor masa dan jarak yang tidak mengizinkan.

Dalam hal ini, pasangan yang ditakdirkan menempuh alam PJJ perlu bersiap sedia dengan persediaan kukuh dari segi mental dan fizikal bagi menjamin kebahagiaan berterusan.

Hakikatnya, bukan mudah untuk melalui fasa terbabit, tambahan pula jika pasangan yang baru menempuh alam perkahwinan, apatah lagi ketika si isteri hamil dan memerlukan perhatian rapi si suami.

Namun apa juga keadaan, pasangan PJJ harus tabah selain merancang setiap masa serta kewangan bagi memastikan hubungan tidak dilanda masalah.

Hubungan PJJ juga memerlukan kos perbelanjaan yang agak besar berbanding tinggal bersama yang membabitkan kos berulang-alik setiap hujung minggu, selain kos rumah dan perbelanjaan lain.

Selain perbelanjaan, aspek emosi dan kesabaran antara elemen terpenting yang perlu dipandang serius. Pasangan juga perlu bertolak ansur dalam pelbagai perkara dan reda dengan takdir kerana setiap dugaan yang melanda pasti mempunyai hikmahnya.

Jangan menjadikan hubungan PJJ ini sebagai punca masalah, terimalah pasangan anda seadanya. Walaupun anda terpisah di dalam negara mahupun luar negara, ia bukan hala-ngan untuk mencipta bahagia kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada jarak ataupun masa anda bersama.

Biar jauh di mata asalkan di hati tetap rasa sayang. Berikut beberapa tip khusus untuk pasangan suami isteri yang menempuh PJJ:

• Rajin berhubung (PJJ dalam negara)

Dunia canggih kini memberi kemudahan besar kepada anda berhubung tidak kira di mana saja. Bagi yang berjauhan tetapi masih berada di dalam negara, ia memudahkan anda berhubung antara satu sama lain.

Tanyalah khabar dan aktiviti yang dilakukan setiap hari seolah-olah anda berada di depan mata mereka. Sekiranya ada masa, selain berhubung melalui mesej, apa kata buat panggilan video dengan pasangan anda.

PJJ luar negara

Perbezaan zon masa sememangnya menyukarkan keadaan terutama pada saat anda memerlukan pasangan di sisi.

Dalam hubungan PJJ berbeza negara, ini memang sukar namun ketabahan dan tolak ansur amat diperlukan. Luangkan masa dengan berhubung menggunakan laman sosial seperti Skype. Anda boleh berbual dan bertanya khabar sambil melihat muka masing-masing, ia sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan.

• Kejutan untuk yang tersayang (PJJ dalam negara)

Untuk menambah kemanisan dalam hubungan cinta, sesekali kejutkan pasangan anda dengan sesuatu di luar jangkaan mereka.

Berada di negara yang sama cuma mungkin berbeza daerah atau negeri, tidaklah perlu mengambil masa berhari-hari untuk tiba ke satu-satu destinasi. Tempah tiket dan kejutkan pasangan dengan kehadiran anda seperti muncul di pejabatnya secara tiba-tiba atau mungkin anda boleh pulang ke rumah terlebih dulu, lakukan persiapan romantik di rumah.

Makan malam berdua yang anda persiapkan juga lebih bermakna, berbanding anda mengupah orang atau memilih untuk makan malam di luar.

PJJ luar negara

Zaman moden kini, tiada apa yang mustahil. Walaupun berjauhan beribu batu, anda masih mampu membuat kejutan untuk yang tersayang.

Anda boleh hubungi mana-mana kedai bunga atau rakan yang rapat dengan pasangan anda untuk membeli bunga atau hadiah dan hantarkan kepada yang tersayang. Pasti hari mereka ceria dengan kejutan yang anda lakukan.

• Raikan hari istimewa dengan pasangan (PJJ dalam negara)

Meskipun anda sibuk dengan urusan kerja atau belajar, luangkan masa bersama pada hari istimewa anda dan pasangan.

Ketepikan tugas, luangkan sehari untuk pasangan. Sebenarnya untuk anda yang terikat dengan komitmen ini, hari minggu atau hari cuti anda juga dikira hari istimewa kerana hari itulah anda berdua boleh meluangkan masa bersama-sama.

PJJ luar negara

Perbezaan jarak yang jauh bukan penghalang untuk anda meraikan hari istimewa anda dan pasangan.

Walaupun mungkin anda tidak dapat bertemu, lakukan kejutan dengan mengirimkan hadiah kegemarannya yang diselitkan ucapan istimewa. Ini pasti memberikan kegembiraan buat anda berdua.

• Jujur terhadap pasangan

Tanpa mengira di mana anda berada, tip paling penting dalam mengukuhkan institusi keluarga adalah bersikap jujur.

Jujur dengan setiap apa yang dilakukan kerana selepas anda berdua mengikat tali perkahwinan, sebenarnya tiada rahsia yang tersembunyi antara anda berdua.

Jujur dan berterus terang dengan setiap apa yang berlaku. Meskipun kadangkala kebenaran itu menyakit-kan, ia amat penting terutama apabila anda diberi kepercayaan penuh oleh yang tersayang. Si dia berhak mengetahui segala yang tersembunyi.

• Percaya pada pasangan

Penting untuk terapkan rasa kepercayaan itu terhadap pasangan anda. Percaya pada mereka, jangan memilih untuk mencabar ego dengan menyoal kembali kebenaran yang diberikan.

Kuatkan hati, percaya kepada ikatan yang dibina. Meskipun berhadapan dengan komitmen yang memerlukan anda berjauhan dengan pasangan, jangan pernah ada rasa sangsi. Ini kerana perasaan itu boleh membuatkan anda ragu-ragu dan terus menjadikan anda rasa tidak senang berjauhan, malah sering memikirkan perkara negatif. Mohonlah petunjuk daripada Yang Maha Esa supaya dipermudahkan segala urusan dalam rumah tangga.

Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Kedai Hadiah Online

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.