Hati penentu kebaikan, kejahatan seorang

Share on Tumblr
Hati penentu kebaikan, kejahatan seorang mukmin

Diri seorang insan itu adalah yang diciptakan Allah SWT dengan gabungan jasad dan roh. Fungsi jasad adalah melaksanakan segala arahan yang ditetapkan Allah SWT dan roh berupaya menjadikan jasad dapat melaksanakan perintah terbabit.

Nyawa, akal, nafsu dan hati adalah kepunyaan roh yang menjadikan akal sebagai sebagai fungsi penasihat dengan pandangan dan cadangan.

Apabila akal disinari dengan cahaya keimanan, maka segala kebaikan akan menghiasi kehidupan seseorang insan. Begitu juga sebaliknya apabila akal tidak dapat menerima cahaya iman lantaran dorongan hawa nafsu yang menawarkan kelazatan dan keseronokan dunia.

Gerakan hati akan mendengar daripada pandangan akal dan nafsu akan membuat keputusan yang akan menentukan segala keputusan, sama ada membenarkan iman bertapak terhadap Allah atau sebaliknya.

Justeru, Baginda SAW mengingatkan kita bahawa hati amat berperanan dalam menentukan kebaikan dan kejahatan.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati". (Hadis Riwayat Bukhari dari Nu'man bin Basyir).

Pengarang kitab Hadyun Nabawi Fir Raqaiq atau Petunjuk Nabawi Bagi Hati mengkategorikan hati kepada beberapa bahagian.

Antaranya hati yang sejahtera, hati yang sakit dan hati yang mati. Hati yang sejahtera adalah hati yang sentiasa memilih kebaikan dan keredaan Allah SWT, manakala kecenderungan kepada kejahatan dan kemurkaan Allah SWT.

Namun, hati yang tidak dapat diubati lagi adalah hati yang keras dan mati kerana ia sudah dimatikan oleh Allah SWT disebabkan ia tertutup oleh kesesatan dan tidak bersedia menerima perintah Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan mengenai hati yang mati ini melalui firman-Nya bermaksud : "Apakah sama orang yang dilapangkan Allah SWT dengan cahaya petunjuk dan orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan? Maka, kecelakaan besarlah bagi orang yang keras hatinya daripada menerima peringatan. Mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Surah az-Zumar, ayat 22).

Penyebab keras hati

Kekerapan melakukan dosa dan memandang ringan terhadap dosa adalah antara faktor yang menyebabkan kekerasan hati. Apatah lagi memandang remeh terhadap taubat dalam kehidupan.

Syekh Ibn A'toillah Assakandari membicarakan hikmahnya dengan menyebut: "Sebahagian daripada tanda matinya hati adalah tidak merasa sedih kerana meninggalkan amalan kewajipan atau kebaikan dan tidak menyesal atas sesuatu pelanggaran dosa."

Sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Masu'd berkata, "Orang mukmin melihat dosa pada dirinya seolah-olah dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya umpama lalat yang hinggap diatas hidungnya lalu menepis dengan tangannya sahaja dan terbanglah lalat tersebut."

Justeru, kita sebagai seorang mukmin sewajarnya berusaha membersihkan hati dengan bertaubat dan beristighfar serta berdoa kepada Allah sebagai garis panduan.

Anas meriwayatkan Baginda SAW bersabda maksudnya: "Wahai Allah yang membolakbalik hati-hati, tetapkanlah hatiku agar sentiasa berada diatas landasan agama-Mu." (Riwayat Tirmizi).

Pesanan Baginda SAW agar kita sentiasa berwaspada terhadap setiap perlakuan dosa kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati jika ia tidak dibersihkan segera dengan taubat dan beristighfar. Seterusnya akan menutup cahaya iman yang lahir daripada kalimah syahadah yang kita lafazkan kerana kalimah terbabit menunjukkan kita kepada jalan yang perlu diikut.

Cahaya iman akan menjadi malap apabila titik hitam terbabit tidak dibersihkan sehingga menyebabkan selaput kotoran akan bertambah menebal dan memberi kesan kepada hati.

Daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya apabila seseorang melakukan dosa, nescaya akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, maka terhakislah titik hitam tersebut. Jika ia tidak berbuat demikian, titik hitam tersebut akan terus merebak hingga ke seluruh hatinya sebagaimana firman Allah bermaksud: "Sebenarnya tiada cacat kepada ayat-ayat Kami, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran disebabkan perbuatan kufur dan maksiat." (Riwayat Tirmizi).

Kufur nikmat

Ini menunjukkan bahawa penyakit hati seperti riya', u'jub dan suma'h yang didorong oleh nafsu yang akan mengakibatkan seseorang menjadi sombong, takabur dan kufur akan nikmat Allah SWT.

Maka berlakulah dosa daripada lidah akibat mengumpat dan memfitnah orang lain. Berleluasa perzinaan dan seumpamanya lantaran hati dan nafsu sebagaimana penegasan Baginda SAW bermaksud: "Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus akan hatinya dan tidak lurus akan hatinya sehingga lurus akan lidahnya. Dan tidak akan masuk syurga seorang hamba selagi jirannya tidak aman daripada kejahatannya." (Riwayat Imam Tabrani).

Allah SWT menegaskan betapa pentingnya petunjuk kepada seseorang individu kerana ia adalah cahaya yang akan menyuluh setiap jalan yang dilalui. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat)." (Surah an-Ana'm, ayat 22).

Menurut sesetengah riwayat, turunnya ayat itu adalah berkenaan dengan Umar dan Abu Jahal. Di mana Rasulullah SAW pernah berdoa: "Wahai Tuhan kami, semoga Islam berjaya dengan sebab salah seorang daripada dua orang penting, iaitu Umar (Umar bin Khathab dan Amr bin Hisam atau Abu Jahal). Ternyata Umar al Khathab masuk Islam dan dialah yang dimaksudkan dengan orang yang tadinya mati kemudian dihidupkan dan Amr bin Hisyam yang dimaksudkan dengan orang yang tetap ada dalam kegelapan." Namun, kegelapan dan cahaya akan memenuhi setiap zaman dan ruang masa hingga hari kiamat kerana kegelapan dan cahaya adalah sesuatu yang berbeza.

Al-Quran menjelaskan kepada manusia akan kebenaran dan kebatilan. Hidayah dan kesesatan di mana hidayah dan kebenaran akan melenyapkan segala penyakit berkaitan hati. Al-Quran juga mendidik manusia agar mencintai dan mengutamakan Allah dan Rasul-Nya mengatasi keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat yang abadi.

Kesimpulannya, hati yang hidup ialah hati yang sentiasa bersih dan suci daripada titik noda dan dosa. Hati perlu dididik dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri, dan zuhud agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu. Dengan zikrullah dapat merawat hati agar dijauhi penyakit keras hati.

Oleh Zamanuddin Jusoh (Berita Harian)
Hati penentu kebaikan, kejahatan seorang

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.