Cinta dan perkahwinan jarak jauh

Share on Tumblr
Cinta dan perkahwinan jarak jauh

Menempuh perkahwinan jarak jauh bukanlah sesuatu yang mudah. Ia keadaan yang perit, apatah lagi jika suami isteri terpaksa tinggal berjauhan kerana tuntutan pekerjaan atau pendidikan khususnya pada pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga.

Bagi pasangan yang berjauhan, pengorbanan dan saling memahami amat perlu untuk terus menyemarakkan cinta yang dimeterai. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi bagi memastikan hubungan yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Kesunyian dan kesepian pasti akan menyelubungi diri. Namun begitu, berikut antara langkah yang boleh dipraktikkan bersama pasangan sekiranya anda termasuk dalam kumpulan yang bercinta jarak jauh:

Sentiasa memberikan sokongan

* Apabila bekerja atau belajar di tempat yang jauh dari pasangan, tentulah suami atau isteri berasa sedih, sunyi dan pilu.

Cinta Jarak Jauh

Kuatkan diri dan bersabarlah kerana untuk berjaya dan bahagia, pasangan suami isteri haruslah melakukan pengorbanan. Berilah sokongan dan kata-kata semangat antara satu sama lain demi masa depan keluarga anda sendiri.

Saling mempercayai

* Kepercayaan pada pasangan sesuatu yang amat penting dalam memelihara hubungan jarak jauh. Percayalah pada diri sendiri dan jauhi daripada perkara yang boleh merosakkan hubungan.

Bukan itu saja, anda juga harus percaya pada pasangan dan tidak ragu-ragu dengan kesetiaannya. Ketahuilah bahawa tanpa kepercayaan yang kukuh hubungan perkahwinan akan sentiasa bermasalah.

Pasti kerisauan akan muncul apabila anda memikirkan pasangan akan berlaku curang. Berfikirlah secara positif bahawa pasangan anda pun merasai kerinduan yang sama seperti anda. Kalau anda sentiasa berfikiran negatif dan buruk sangka, hal ini akan merugikan diri sendiri dan akan hanya membuatkan anda lebih tertekan.

Jujur terhadap pasangan

* Antara kunci kebahagiaan dalam alam perkahwinan adalah kejujuran. Jika si isteri mahu keluar ke mana-mana, maklumkan pada suami walaupun dia berada jauh agar dirinya tahu lokasi anda.

Jangan sesekali keluar berdua dengan orang lain yang berlainan jantina dan elakkan daripada mendengar masalah atau rintihan mereka. Jujurlah dengan pasangan anda.

Selain boleh menimbulkan fitnah, ia juga juga boleh mengundang cerita kurang enak. Lagi bahaya jika cerita itu sampai ke telinga pasangan anda yang boleh menimbulkan pergaduhan.

Sentiasa berkomunikasi

* Manfaatkan media sosial yang ada untuk berhubung dengan pasangan, jika boleh setiap hari sama ada melalui telefon, SMS, Facebook, Skype, Twitter dan pelbagai medium lagi.

Namun begitu janganlah menghubungi pasangan terlalu kerap sehingga dia berasa terganggu dan seolah-olah anda tidak mempercayai dirinya. Pastikan juga masa yang sesuai untuk berkomunikasi supaya tidak mengganggu perjalanan kerja atau pembelajaran pasangan anda.

Sentiasa bercerita perihal anak-anak

* Agar hubungan tetap terpelihara masukkan juga perihal anak anda ketika berbual dengan pasangan kerana anak adalah antara faktor pengikat hubungan suami isteri.

Selain itu, ini juga dapat mengingatkan pasangan bahawa dia mempunyai keluarga yang memerlukannya. Misalnya, ketika berbual di telefon beri peluang kepada anak anda untuk bercakap dan mendengar suara ibu atau ayahnya.

Berdoa agar kekal bahagia

* Doa adalah senjata yang paling utama. Berdoa juga dikira sebagai salah satu usaha. Berdoalah dan memohon kepada Allah agar dihindari daripada perkara yang boleh merosakkan rumah tangga seperti kehadiran orang ketiga atau bisikan syaitan.

Lazimnya, apabila pasangan tinggal berjauhan, tidak mustahil wujudnya anasir luar menghasut supaya meninggalkan pasangan mereka.

Mengadakan pertemuan

* Sama ada isteri mahupun suami, kedua-duanya perlu berbincang masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan. Jika suami tinggal jauh dalam 100 hingga 200 kilometer dari tempat tinggal isteri, mungkin boleh mengadakan pertemuan setiap hujung minggu atau dua minggu sekali, paling tidak pun sebulan sekali.

Jika terlalu jauh seperti antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak, pasangan perlu akur pertemuan secara kerap memang agak sukar untuk dilakukan lebih-lebih lagi ia membabitkan kos yang tinggi.

Menyambut ulang tahun bersama

* Jangan lupa tarikh ulang tahun perkahwinan. Jika tidak ia sedikit sebanyak boleh merosakkan hubungan dan mengguriskan hati pasangan. Tambahan pula, pasangan akan mula berprasangka tidak baik terhadap anda.

Justeru, sambutlah ulang tahun bersama walaupun jarak memisahkan anda. Sesekali raikan pasangan di tempat yang romantik supaya dia berasa istimewa ketika bersama anda dan berikan hadiah serta berikan ucapan sayang kepadanya.

~ Majalah Metro

Cinta dan perkahwinan jarak jauh

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.