Si penyibuk : Apakah punca mereka bersifat demikian?

Share on Tumblr
Si penyibuk

Penyibuk, suka mengganggu dan sombong. Istilah 'pushy' lebih sesuai dilabelkan pada mereka kerana perangai mereka yang sukar hendak berganjak selagi kita tidak berkata 'ya'.

Rimas dan rasa terganggu dengan rakan yang selalu saja mengganggu dan mendesak kamu ketika bekerja, sewaktu makan ataupun dalam situasi yang lain. Istilah 'pushy' lebih sesuai dilabel kepada mereka ini.

Gelaran 'pushy' sebenarnya bermaksud individu yang suka mendesak seseorang mengikut kehendak mereka. Tanpa memikirkan perasaan orang lain, mereka yang mempunyai tabiat buruk ini sering kali dijauhi dan sukar dijadikan kawan.

Apakah punca mereka bersifat demikian? Ia sebenarnya bermula apabila individu itu terlalu kerap ingin 'mengawal' hidup orang yang lain. Mereka rasakan diri berhak dilabel sebagai 'bossy' dan seterusnya memberikan arahan supaya menurut kata. Tapi realitinya, tidak semua orang suka dikawal terutamanya golongan remaja yang inginkan kebebasan melakukan sesuatu.


Tabiat ini sebenarnya lebih kerap berlaku dalam kalangan gadis. Buktinya sesetengah gadis bersifat mendesak terhadap teman lelaki atau kawan baiknya untuk melakukan sesuatu bagi menggembirakan hatinya. Akhirnya, mereka yang menjadi mangsa terpaksa menurut kehendak si gadis kerana tidak mahu perasaannya terguris ataupun memburukkan lagi keadaan.

Kata orang, asalkan kehendak tercapai, tidak mengapa jika ia menyebabkan orang lain berada dalam kancah kesusahan. Apa saja perkara yang ingin dituruti disertai dengan pujuk rayu dan desakan yang seakan-akan 'manja' dan tidak mudah untuk menepis atau katakan tidak pada ajakannya.

Walaupun begitu, ada juga lelaki yang bersikap 'pushy' dan tidak suka menerima pendapat orang lain. Pendek kata, kenyataan orang lain tidak diutamakan dan hanya ikut 'kepala' dia saja.

Pokok pangkalnya, sifat anak muda yang terlalu agresif dan 'gila-gila' secara keterlaluan itulah yang menjadi punca kepada masalah 'pushy'. Individu seperti ini biasanya lebih utamakan diri sendiri dan tidak pandai jaga perasaan orang lain.

Impak negatif pada diri

Individu yang selalu suka mendesak ini sebenarnya mempunyai banyak kontra dan kebaikan. Ia boleh dilihat pada pergaulan mereka dengan rakan karib atau teman sekerja. Memang benar mangsa keadaan nampak saja baik depan mata, tapi pada masa yang sama mereka meluat dan kadangkala menghindari kamu secara diam-diam. Contohnya, mereka mungkin tidak mengajak kamu ke acara penting kerana tidak sukakan perangai kamu yang suka mendesak.

Selain itu, kamu juga akan membiasakan diri mengguris hati orang lain tanpa kamu sedari. Terlalu kerap mendesak sehingga lupa untuk jaga perasaan orang lain memungkinkan hubungan kamu dan insan tersayang menjadi renggang dan tidak mesra.

Penulis percaya, kamu pasti menganggap sikap kamu itu adalah normal dan mencerminkan diri kamu. Namun, realitinya adalah sebaliknya. Sikap kamu menjadikan mereka rimas dan tidak suka untuk terus berkawan dengan kamu.

Dari sudut pekerjaan, kamu tidak akan dapat mempelajari idea baru kerana terlalu menganggap idea kamu saja yang betul Ini juga membawa kepada masalah lebih serius seperti tidak mampu bekerjasama dan sukar menerima pendapat orang lain.

Bukan itu saja, kamu juga akan terbiasa menjadi seorang yang tidak boleh sabar. Misalnya, kamu meminta telefon pintar baru daripada ibu bapa tapi mereka tidak ada wang untuk membelinya. Kamu mungkin akan memberontak dan menyusahkan lagi ibu bapa. Sudahlah mereka kesempitan wang, malah kamu memburukkan lagi keadaan. Sesiapa pun akan turut rasa tertekan dalam situasi sebegitu.

Malah, jika dinilai dari aspek kematangan diri, kamu mungkin berada di tempat terakhir kerana tidak dapat bergantung pada diri sendiri. Pendek kata, sesuatu perkara yang ingin dilakukan pasti memerlukan bantuan orang lain kerana kamu sudah membiasakan diri mendesak kawan atau keluarga untuk menolong kamu dalam apa saja keadaan. Lama-kelamaan kamu akan menghadapi kesukaran untuk berdikari.

Ubah sikap

Memang benar ia bukanlah semudah yang dijangkakan untuk berubah daripada negatif ke positif. Namun jika difikirkan kembali, adakah sikap kamu memberikan kesan yang positif kepada insan di sekeliling kamu? Adakah ia sesuatu yang patut dipandang mulia oleh orang ramai?

Sudah semestinya tidak, kerana ia menimbulkan banyak masalah dan perlu dibuang jauh-jauh. Kata orang, seribu langkah dimulai dari langkah pertama. Mana mungkin kamu berubah jika tiada usaha.

Langkah pertama, pastikan kamu menganalisis sikap kamu secara terperinci. Perhatikan sikap rakan dan keluarga kamu yang sering didesak. Adakah mereka tetap berperwatakan normal di hadapan kamu seperti sebelum ini? jika tidak, ia bermakna mereka tidak lagi selesa berdamping dengan kamu. Setiap manusia memerlukan kebebasan dan mereka tidak suka didesak, lagi-lagi kerana hal yang remeh-temeh saja.

Buang sikap ego dan sombong kamu itu. Ia tidak memberikan kebaikan langsung bahkan memburukkan lagi keadaan. Sekalipun kamu ingin mendapatkan perhatian si dia, bukan melalui sikap kamu yang suka mendesak malahan banyak lagi cara baik yang boleh mencuri perhatiannya. Ubah sikap itu perlahan-lahan walaupun payah.

Kedua, fikirkan kembali bagaimana kamu boleh menjadi seorang yang 'pushy'. Adakah ia kerana kamu suka mengawal tindakan orang lain? Adakah kamu ingin mencuri perhatian atau adakah kamu sememangnya seorang yang suka mendesak? Hanya kamu saja yang mengetahui jawapannya. Untuk kesan yang lebih baik, senaraikan perkara yang memungkinkan kamu bersikap demikian. Mungkin kamu sudah biasa dimanjakan? Lihat satu persatu apa yang ditulis dan seeloknya bincangkan bersama keluarga atau pakar kaunseling bagaimana cara untuk membuang sikap itu.

Ketiga, jika kamu seorang yang kurang bergaul dan merasakan bersikap 'pushy' dapat menghilangkan ketakutan kamu itu, ia sebenarnya harus dihentikan. Jika kamu sukar bergaul, bersikap mendesak tidak dapat menyelamatkan keadaan malahan memburukkan lagi ia. Pastikan kamu sentiasa bergaul dengan sesiapa saja. Walaupun sukar pada mulanya, ingat pepatah 'usaha itu tangga kejayaan'.

Keempat, berhenti daripada membuat pendapat sendiri. Kamu mungkin mendapati rakan, teman rapat kamu boleh diharap seterusnya membuatkan kamu bergantung padanya. Hakikatnya, kamu sudah banyak membazirkan masa kepada orang lain dan tidak fokus terhadap hobi serta citacita yang diinginkan. Berdiri atas kaki sendiri adalah lebih baik daripada selalu mengharapkan bantuan orang lain.

Lima, cari hobi yang boleh menceriakan kamu. Mungkin kamu banyak kali menempuhi masalah kemurungan dan seterusnya membuat keputusan untuk lepas geram pada rakan kamu dengan mendesaknya supaya menemani atau membantu kamu dalam apa saja. Jika difikirkan kembali, andai kata kamu mempunyai hobi menarik seperti melukis, membeli-belah dan sebagainya, kamu boleh membunuh sikap 'pushy' itu.

Enam, cuba seimbangkan perangai kamu yang suka mendesak itu. Kata orang, kalau terlampau pasif pun buruk juga padahnya. Belajar menyeimbangkan sikap agresif dan pasif kamu. Pendek kata, biar tegas tapi jangan mendesak.

Akhir sekali, kamu perlu meminta maaf kepada mangsa keadaan. Katakan pada mereka bahawa kamu ingin berubah dan berhenti bersikap 'pushy'. Terapkan nilai positif dalam diri dan biasakan diri untuk menjaga perasaan orang lain juga. Amalkan kesemua langkah di atas ini dan insya-Allah kamu akan berjaya!


~ HM
Si penyibuk : Apakah punca mereka bersifat demikian?

1 Komen:

muhd khairil berkata...

apabila kita bersikap negatif kita memang suka menyampuk menyibuk hal org contohnya apabila kakak dan abang kita sedang berborak tentang kawan2 mesti salah satu kawan kita pun nak tau itu la yang bernama si penyibuk

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.