Virus android : demam telefon bimbit pintar

Share on Tumblr
Virus android : demam telefon bimbit pintar

Belum sempat kita teroka pelbagai aplikasi dan kandungan moden dalam sesebuah telefon bimbit yang baru saja dibeli, sudah muncul pula versi terbaru yang jauh lebih moden dengan pelbagai perisian canggih. Itulah fenomena telefon bimbit hari ini yang sudah menjadi satu perkara keperluan untuk semua orang.

Bayangkan, setiap orang mempunyai telefon bimbit kerana hari ini, telefon ini bukan lagi satu alat berkomunikasi namun segala-galanya boleh dilakukan termasuk urusan bank, bil peribadi, dokumen kerja, emel, transaksi rasmi mahupun urusan harian.

Tidak perlu beratur di kaunter, pergi ke sesebuah tempat untuk melakukan urusan, namun hanya di hujung jari menggunakan telefon bimbit peribadi masing-masing, semuanya sudah boleh diselesaikan. Itulah besarnya kepentingan telefon bimbit hari ini.

Belum cukup 24 jam sehari, pelbagai versi dan jenis telefon bimbit diperkenalkan di seluruh dunia. Setiap satunya punya kelebihan dan aplikasi canggih yang menyenangkan kita sebagai pengguna.

Itu belum lagi untuk golongan remaja yang melihat fungsi telefon bimbit sangat besar kerana ia boleh dijadikan sebagai komputer riba dan dokumen peribadi untuk dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Telefon pintar

Hari ini, seribu satu aplikasi canggih dibentuk dan semuanya boleh digunakan menerusi telefon bimbit termasuk laman sosial twitter, instagram, Facebook, wechat, whatapps dan macam-macam lagi. Itulah yang diperlukan remaja hari ini baik mereka yang masih bersekolah ataupun yang sudah bekerja.

Bagaimanapun, di sebalik segala aspek positif dan kepentingan sesebuah telefon bimbit itu, perlu kita ketahui faktanya yang telefon bimbit juga boleh mendatangkan bahaya hingga menyebabkan penyakit jika kita terlalu taksub.

Telefon pintar punca sakit tengkuk dan jari. Pengguna telefon pintar dan komputer tablet kini dilaporkan mula mengalami masalah dikenali `high-tech blues' berikutan meningkatnya kecanggihan teknologi yang menyebabkan kesakitan termasuk sakit leher hingga kepada kecederaan ibu jari.

Memetik laporan sebuah berita baru-baru ini, pakar kesihatan di Britain memberi amaran kecederaan itu berpunca daripada penggunaan skrin kecil dalam tempoh terlalu lama dan menaip dengan papan kunci yang kecil. Kecederaan itu menjadi menjadi semakin kerap berlaku kerana alatan berteknologi tinggi menjadi semakin popular.

Semakin ramai penduduk Britain menggunakan telefon pintar kerana ia didapati lebih mudah dibawa untuk melayari Internet berbanding membuat panggilan telefon. Berdasarkan satu kajian pendapat yang dibuat oleh YouGov baru-baru ini, sebanyak 44 peratus penduduk di Britain menggunakan telefon bimbit mereka untuk aktiviti lain berbanding membuat panggilan iaitu antara 30 minit dan dua jam sehari.

Musykil bagaimana sebuah telefon pintar yang tidak dijangkiti penyakit dan bernyawa boleh menyebabkan penyakit kepada manusia? Biarpun dakwaan ini kelihatan agak janggal namun kenyataan mengenai kesan penggunaan telefon pintar terhadap kesihatan manusia ini ada benarnya.

Berdasarkan kajian di Korea mengenai gajet berteknologi tinggi ini dan kesihatan manusia mendapati penggunaan aplikasi skrin sentuh dipercayai menjadi antara punca jangkitan penyakit kepada umat manusia. Adakalanya kita tidak sedar, bakteria pada jari atau rembesan air liur terlekat pada skrin telefon sewaktu bercakap boleh menyebabkan penyakit ringan.

Akibatnya, anda akan mudah mengalami demam, batuk atau selsema sama ada dalam tempoh yang panjang mahupun singkat.

Penyebaran mengenai gelombang radiasi daripada telefon bimbit juga banyak dibincangkan oleh penyelidik. Ada yang mencadangkan alat ini perlu diletakkan jauh dari kepala sewaktu tidur bagi mengurangkan kesan gangguan sel otak.

Tidak kurang juga menyarankan pengguna memakai fon kepala ketika bercakap menerusi telefon mudah alih. Sementara itu, pakar kecantikan juga tidak menolak kenyataan telefon bimbit atau telefon pintar turut memberi impak kepada kecantikan dan penampilan diri. Kehadiran mikro organisma, minyak serta kotoran pada skrin telefon boleh menjejaskan kecantikan kulit wajah.

Untuk itu, pengguna perlu kerap membersihkan kotoran berkenaan kerana ia bukan hanya akan merebak ke kulit malahan pada tangan, beg atau apa saja barangan yang kita pegang.

Rasa hangat selepas berbual menerusi telefon juga mendedahkan kulit kepada pelbagai masalah atau secara ringkas memberi kesan seperti berada di bawah terik matahari. Pakar kecantikan menemui perkara ini mendorong pembentukan bintik hitam pada wajah. Bayangkan bagaimana kesihatan kulit anda dalam tempoh jangka panjang jika situasi ini berlarutan.

Tidak salah andai anda kerap menggunakan alat teknologi hebat ini kerana penggunaannya sangat penting sebagai alat penghubung. Namun, bagi menjaga kesihatan diri dan kecantikan, beberapa langkah berwaspada perlu dipraktikkan agar kehidupan anda kekal sihat dan maju seiring kecanggihan teknologi masa kini.

Anak remaja hari ini terlalu taksub dan leka membelek telefon bimbit masing-masing. Ia sememangnya berbahaya jika tidak ada pengawasan sepenuhnya daripada kedua ibu bapa khusus bagi remaja yang masih bersekolah. Kalau kita lihat dengan teliti, ibu bapa sekarang sudah boleh membelikan anak berusia 12 tahun telefon bimbit kononnya sudah menjadi `trend' dan mudah untuk mereka dihubungi.

Adakah ia satu tindakan baik? Mungkin ya namun perlukan pengawasan kerana bukan sekadar membahayakan kesihatan anak, malah telefon bimbit juga satu jalan paling mudah melayari Internet dan membuka pelbagai laman web lucah dalam rangkaian Internet.

Bagaimanapun, ia tidak sepenuhnya negatif kerana kita tidak boleh menolak hakikat telefon bimbit hari ini banyak membantu memudahkan urusan harian kita terutamanya yang bekerja di bandar dan kota besar.

Telefon bimbit canggih hari ini salah satu bukti kemajuan tamadun manusia.

Terbaru, paling mengejutkan, telefon pintar tidak hanya berfungsi sebagai alat penghubung sebaliknya sekumpulan saintis Korea berjaya menambah fungsinya selepas melalui kajian teliti dan pemerhatian mendalam yang telefon bimbit juga berfungsi mengesan penyakit.

Ketua kumpulan penyelidik di Institut Sains dan Teknologi Maju Korea, Profesor Park Hyun Gyu pernah mengeluarkan kenyataan mereka berjaya mencipta aplikasi telefon bimbit yang mampu mengesan pelbagai penyakit seperti barah dan kencing manis.

Teknologi itu dibangunkan berdasarkan keupayaan sensitiviti skrin sesentuh untuk mengesan isyarat yang dihantar menerusi sentuhan jari. Eksperimen dijalankan di makmal menunjukkan titisan darah atau air liur diletakkan pada skrin sesentuh telefon pintar mampu memberi keputusan segera mengenai tahap kesihatan pengguna.

Mungkin kita tidak perlu tunggu lama kerana aplikasi hebat itu akan mula menyerang Malaysia tidak lama lagi.

Oleh Murshid Eunos
~ HM
Virus android : demam telefon bimbit pintar

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.