Tip Beli Hadiah

Share on Tumblr
Tip Beli Hadiah

Menjelang ulang tahun, hari bersejarah atau tarikh penting teman rapat, ahli keluarga mahupun orang tersayang pastinya membuatkan kita runsing fikirkan hadiah terbaik untuk mereka. Hasrat di hati mahu berikan sesuatu yang boleh membuatkan mereka senyum lebar dan diingati sampai bila-bila. Akibat terlalu fikirkan hal orang lain, diri sendiri yang sakit kepala.

Di sini ada tip beli hadiah.

IKUT KEMAMPUAN

Sebelum membuat keputusan untuk membeli hadiah, isu utamanya ialah kestabilan kewangan. Perlu letakkan had kemampuan untuk beli sesuatu hadiah buat seseorang. Jangan disebabkan semata-mata untuk buat orang lain gembira, diri sendiri merana. Sanggup berhabisan wang ringgit semata-mata mahu membuktikan kasih sayang tidak berbelah bagi bukan sesuatu yang positif tetapi ia tindakan tidak logik yang akhirnya anda sendiri sengsara kerana terpaksa makan mi segera sebelum gaji tiba.
hadiah untuk suami

Mesejnya jelas, tidak perlu berbelanja hingga poket kosong tetapi memadai dengan membeli apa yang termampu. Selain itu, ada baiknya juga kerana secara tidak langsung mengajar si penerima untuk tidak menjadi terlalu `brand concious' kelak sekiranya hadiah diberikan bernilai ribuan ringgit. Sebaliknya, walaupun pemberian kepada kaum keluarga seperti ibu atau bapa, kemampuan tetap menjadi elemen penting supaya belanja berpada-pada.

Duit tabung mungkin akan menyelamatkan anda sekiranya terlebih bajet tetapi adalah lebih baik untuk menyimpan lebih awal kos pembelian hadiah beberapa bulan sebelum hari penting tiba jika hasrat hati ingin menghulurkan sesuatu yang tinggi harganya. Kalau termampu, pemberian tiket percutian ataupun tiket penerbangan boleh meletakkan anda sebagai individu kegemaran dalam senarai hidup mereka.

BERI APA DISUKAI

Setiap apa yang dihulurkan adalah tanda sayang. Ia antara cara biasa untuk menunjukkan perasaan suka atau sayang pada seseorang. Kecil, besar, mahal atau murah akan menjadi persoalan pada pemberi kerana kita pastinya mahu yang terbaik dan kena dengan citarasa si dia. Jadi, hadiah bagaimana yang perlu diberikan kepada insan tersayang?

Isunya mudah saja, belikan apa yang si dia suka. Apabila kita ingin belikan seseorang itu hadiah, sangat penting untuk mengetahui apa yang disukainya. Jangan malu untuk bertanya tetapi lagi `best' jika ketahui atau cuba tanya daripada keluarga, rakan rapat atau tengok laman sosial peribadi seperti Facebook atau Twitter, mesti si dia ada kongsi sesuatu di situ. Situasi sama boleh diguna pakai dalam pemilihan hadiah kahwin teman baik. Lari daripada kebiasaan dengan pemberian pinggan mangkuk atau peralatan elektrik rumah, hadiahkan dengan cadar comel atau lampu sisi unik untuk lebih bergaya.

Hadiah paling mudah untuk difikir apabila membabitkan gadis. Antara barangan digemari mereka tidak sukar untuk diteka. Beg tangan, kasut, pakaian berjenama, alat solek dan gajet terkini antara hadiah yang berupaya membuatkan mereka senyum sampai ke telinga. Bagi jejaka, Play Station terbaru, gajet, jersi pasukan bola sepak digilainya antara hadiah tepat buat mereka.

BARANG DIY LEBIH SENTIMENTAL

Mencipta barangan DIY ataupun `Do It Yourself' iaitu mereka bentuk sesuatu dengan hasil usaha sendiri sebenarnya membangkitkan nilai sentimental tinggi. Penulis akui, tidak semua orang dilahirkan dengan `tangan seni' tetapi ia bukan penghalang untuk seseorang berkarya. Barangan paling mudah untuk dicipta termasuk kad ucapan, penulisan puisi, lirik lagu dan album.

Jika sebelum ini jambangan bunga atau kotak berisi hadiah disertakan dengan kad biasa, apa kata anda menggantikannya dengan DIY kad berserta kata ucapan dikarang sendiri. Mungkin kedengaran leceh untuk mencipta sebuah kad, gantikan dengan surat. Zaman kini jarang sekali orang menulis surat untuk berhubung sesama rakan, pasangan, apatah lagi untuk keluarga, apa kata praktikkan bakat menulis dan cuba tulis surat berisi luahan isi hati anda. Walaupun diri sendiri merasakan ia hodoh, tidak bernilai tetapi percayalah ia bermakna bagi penerimanya menghargai titik peluh dan kesungguhan anda.

Si dia merungut perihal meja sisi yang sudah rosak, apa kata luangkan masa untuk mencipta sendiri meja baru untuknya. Jangan khuatir, panduan untuk mereka cipta apa saja terbentang di Internet, cuma klik dan cari apa yang ada di fikiran kemudian realisasikannya. Pastilah hasil sentuhan sendiri tinggi nilai sentimental dan bakal mencambahkan lagi kasih sayang untuk anda!

CIPTA KELAINAN

Semua orang sukakan kejutan yang menyeronokkan. Memberi hadiah pada waktu yang tidak disangka sebagai contoh, meletakkan hadiah di depan pintu rumah kekasih, memasukkan dalam beg si dia tanpa disedari atau apa jua keadaan yang manis untuk dijadikan kejutan buat anda berdua menarik sebagai kenangan masa depan.

Sebagai rakan baik, fikirkan idea lebih kreatif untuk menambah seri pada hari perkahwinan teman anda. Mungkin dengan menyatakan hasrat untuk menjadi penaja tidak kiralah membabitkan sewa khemah, bunga telur atau pencuci mulut di hari bahagianya pasti jasa anda dikenang sampai bila- bila.

Oleh Shuhada Mansor
Sumber: Harian Metro
Tip Beli Hadiah

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.