Ingin berkahwin kerana bosan tinggal dengan keluarga

Share on Tumblr
Ingin berkahwin kerana bosan tinggal dengan keluarga

Nama saya Mimi (bukan nama sebenar) dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Masalahnya, saya sudah tidak berminat untuk menyambung persekolahan sebaliknya bercadang untuk berkahwin dengan lelaki pilihan yang dikenali beberapa bulan lalu.

Ibu nampaknya mengizinkan saya berbuat demikian, namun datuk dan nenek tidak membenarkan saya berkahwin dengan alasan saya masih muda.

Untuk makluman, saya tinggal bersama-sama ibu, datuk dan nenek. Ibu perlu bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Mungkin ibu sudah tidak larat menanggung kos persekolahan, lalu mengizinkan saya berkahwin disebabkan saya sudah tidak berminat untuk bersekolah.

Ibu pernah merungut bahawa saya cuma menghabiskan duitnya dengan pergi bersekolah kerana pencapaian yang tidak memberangsangkan dalam pelajaran selain sering menghilangkan diri ketika di sekolah.

Saya sememangnya sudah tidak berminat untuk ke sekolah. Setiap hari persekolahan, saya akan mencari alasan supaya tidak perlu ke sekolah atau buatbuat sakit. Pernah saya tidak memberitahu ibu, datuk dan nenek bahawa pihak sekolah mengadakan hari ganti persekolahan kerana cuti perayaan gara-gara tidak mahu ke sekolah.

Saya sorokkan surat makluman yang diberikan oleh guru untuk diserahkan kepada ibu bapa kerana tidak mahu mereka tahu mengenai hari persekolahan yang perlu diganti itu. Akhirnya, saya tidak perlu ke sekolah kerana ibu tidak mengejutkan saya untuk ke sekolah sebaliknya saya menggunakan masa terluang berkenaan untuk keluar bersama-sama rakan ke pusat Internet.

Saya ingin berkahwin dan mempunyai rumah tangga sendiri kerana sudah bosan tinggal di rumah keluarga berikutan datuk sering mengawal pergerakan dan aktiviti saya malah pernah menghalang saya untuk keluar rumah kerana tidak mahu saya pergi melepak di rumah rakan atau pusat Internet.

Saya juga sudah bosan kerana perlu meminta duit belanja dengan ibu setiap kali ingin membeli kad tambah nilai prabayar untuk menghubungi teman lelaki kerana saya tahu ibu juga tidak mempunyai pendapatan yang banyak seperti orang lain.

Sekiranya saya berkahwin, semua perbelanjaan saya akan ditanggung oleh suami. Jadi, saya sangat berharap keputusan saya ini mendapat sokongan semua ahli keluarga dan memberi manfaat pada masa depan.



------------------------

ADIK MIMI,
Pendidikan ialah satu daripada kunci untuk kita merubah kehidupan masa depan. Sekiranya keluarga anda bukan berasal daripada golongan berada, seharusnya anda memilih untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang, menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sekaligus mempunyai kelulusan bagi mendapatkan pekerjaan.

Perkahwinan memang sesuatu yang baik tetapi anda masih muda dan belum mengerti asam garam yang bakal ditempuh sebaik bergelar isteri kelak.

Tambahan pula, lelaki yang ingin dikahwini pula baru dikenali beberapa bulan yang anda mungkin belum mengenali dia sepenuhnya. Bawalah berbincang dengan keluarga supaya keputusan yang bakal diambil tidak mendatangkan mudarat pada kemudian hari.

Oleh Nor Azma Laila
Ingin berkahwin kerana bosan tinggal dengan keluarga

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.