Remaja kecewa ingin bunuh diri

Share on Tumblr
Remaja kecewa ingin bunuh diri

Saya baru berusia 19 tahun dan sudah bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota. Keluarga saya di kampung sederhana tahap ekonominya.

Dulu ayah bekerja sebagai guru, tapi kini sudah berhenti mengajar akibat penyakit dihidapi sementara ibu pula suri rumah sepenuh masa.

Adik-beradik saya agak ramai. Oleh itu saya terpaksa menanggung sebahagian perbelanjaan keluarga.

Seorang abang saya penagih manakala kakak pula pernah mengandung luar nikah. Saya pula sudah beberapa kali putus cinta dan mempunyai masalah di tempat kerja.

Disebabkan itu, saya sudah putus asa untuk hidup dan pernah terfikir untuk mengakhiri saja hidup ini.

Selalu juga saya menangisi hidup ini. Pernah juga terfikir mengapa Tuhan sentiasa memberi dugaan dalam hidup saya? Bantulah saya agar menjadi tabah dalam menghadapi cabaran ini.

AMAT KECEWA,
Pahang

Jawapan oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Dr harapkan adik berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati kehidupan. Dr memahami kegusaran dan kebimbangan dalam diri adik lantaran kesukaran yang dikongsikan adik ini.

Apa yang dapat Dr fahami adalah adik mengalami kesulitan ekonomi kerana menanggung adik-beradik yang ramai dan mempunyai ibu bapa tidak lagi bekerja.

Dalam menghadapi situasi ini adik perlu melihat keutamaan iaitu menanggung ibu bapa dan adik-beradik yang masih belajar (sekiranya ada) dulu.

Dr memuji niat baik adik yang ingin menanggung keluarga. Namun, adik perlu bijak dalam membahagikan perbelanjaan kewangan mengikuti keutamaan.

Ini kerana Dr difahamkan adik mempunyai kakak dan abang yang juga perlu bertanggungjawab dalam menanggung keluarga.

Seterusnya adik berhadapan juga dengan adik-beradik yang terbabit dengan gejala sosial. Dr mengharapkan adik tidak melihat mereka sebagai insan buruk di mata apatah lagi mereka adalah darah daging adik sendiri.

Dr ingin mengajak adik untuk melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk lebih mendekati mereka dan berbincang secara baik kesan buruk perbuatan dilakukan itu.

Contohnya kakak adik yang hamil anak luar nikah, adik mungkin boleh memberikan sokongan moral.

Ini kerana wanita hamil luar nikah ini berasa tertekan dan malu mengenangkan masa depan yang akan dilalui.

Dalam memberikan teguran dan nasihat, adik disarankan melakukannya dengan yakin bahawa mereka boleh berubah kepada yang lebih positif pada suatu hari nanti dengan izin Allah.

Adik juga menyatakan diri mengalami masalah di tempat kerja serta masih terkesan dengan pengalaman beberapa kali putus cinta.

Mungkin adik boleh melihat perkara ini sebagai cabaran yang akan membantu adik melihat potensi diri menjadi lebih baik apabila berjaya menghadapi masalah itu.

Berkenaan hal di tempat kerja, Dr tidak begitu pasti bentuk masalah yang adik hadapi. Ia boleh membabitkan banyak isu.

Selain berdepan dengan masalah sistem dalam pekerjaan, kita juga mungkin terbabit dengan masalah hubungan rakan sekerja mahupun pihak atasan dengan pelbagai kerenah di luar kawalan.

Bagaimanapun, Dr mencadangkan adik menyenaraikan masalah satu persatu dan melihat puncanya. Selepas itu, adik menyenaraikan apa yang adik miliki untuk mensyukuri nikmat diberikan Allah.

Dr memberi contoh, adik masih diberikan kudrat dan kekuatan melakukan kerja sekarang untuk berbakti kepada kedua ibu bapa yang masih hidup. Kaedah ini akan membantu adik untuk melihat kekuatan dan potensi diri dalam menghadapi masalah dan isu dihadapi.

Ia juga dapat menjawab isu keinginan adik untuk mengakhiri kehidupan sebelum ini. Ia adalah pemikiran tidak relevan dengan kekuatan yang masih ada pada diri adik untuk dimanfaatkan, selain ditegah agama.

Akhir sekali, Dr mengajak diri Dr dan adik sekeluarga seluruhnya agar kita sentiasa audit tahap ibadah dan hubungan dengan Allah.

Dr yakin adik juga sedar bahawa segala masalah dan isu jika disandarkan kepada agama, ia pasti mendatangkan ketenangan kerana kita merujuk masalah kepada yang memberi dan menyelesaikan masalah iaitu Allah.

Perbanyakkan aktiviti menambahkan ilmu dengan menghadiri majlis ilmu atau memiliki koleksi rakaman ceramah motivasi dan agama disampaikan penceramah tersohor mahupun sesiapa saja yang diakui keilmuan dan amalannya.

Adik juga dialu-alukan untuk menghadiri sesi kaunseling dengan kaunselor bertauliah dalam membantu menghadapi kehidupan lebih baik kelak.


Remaja kecewa ingin bunuh diri

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.