Panduan: Tips untuk pelajar merancang kewangan

Share on Tumblr
Tips untuk pelajar merancang kewangan

Soal kewangan bukan satu perkara yang hanya perlu difikirkan oleh orang dewasa.

Semua peringkat anggota masyarakat sedikit sebanyak akan terasa kesan daripada perancangan kewangan sama ada yang baik mahupun lemah.

Dalam ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa, bukan golongan pekerja sahaja yang perlu mengawal kewangan, golongan pelajar juga tidak terkecuali. Sikap boros dan berbelanja yang sering diamalkan haruslah dikikis.

Sebagai pelajar, biarpun belum mempunyai sumber pendapatan, anda perlu bijak merancang kewangan agar kehidupan lebih terjamin.

Ketika inilah pentingnya amalan menabung dan berjimat cermat dalam pengurusan harian anda.

Tip Kewangan

Menyedari kepentingan perancangan kewangan di kalangan pelajar, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) pada kali ini ingin berkongsi beberapa tips yang boleh digunakan oleh golongan ini bagi merancang kewangan mereka.

Antara faktor yang boleh membantu pelajar merancang kewangan ialah:

Perancangan - Setiap kali mendapat wang, rancanglah perbelanjaan harian anda secara bijak. Misalnya, jika ibubapa memberikan wang sebanyak RM50 seminggu, rekodkan dalam buku kecil anda.

Kemudian senaraikan jumlah perbelanjaan makan serta keperluan yang perlu dibeli pada minggu tersebut. Dengan cara ini, anda boleh melihat anggaran simpanan yang boleh dibuat pada minggu tersebut.

Cuba untuk tidak berbelanja melebihi peruntukan yang dirancang.

Bijak Berbelanja - Dalam hal ini, anda haruslah mengenal pasti antara keperluan dan kehendak. Beli hanya yang benar-benar perlu sahaja. Elakkan daripada mengikut kata hati dalam berbelanja.

Sebaiknya, minta pandangan ibu bapa sebelum anda membeli barangan yang dihajati.

Wang Di Tangan Anda Penting - Elakkan daripada berbelanja sehingga wang di tangan anda kehabisan. Anda haruslah memilki sekurang-kurangnya RM10 di tangan kerana ini boleh digunakan ketika berlaku situasi yang tidak diduga.

Sebaiknya, letakkan wang tersebut di poket berasingan di dalam dompet anda bagi mengelakkan anda membelanjakannya tanpa anda sedari.

Simpan Di Tempat Selamat - Bagi anda yang tinggal di asrama, sudah tentu ibu bapa memberikan wang saku yang banyak untuk anda berbelanja. Oleh itu, pastikan anda menyimpannya di tempat yang selamat dan tidak diketahui oleh orang lain.

Atau minta ibu bapa anda memasukkan wang ke dalam akaun anda. Keluarkan bila anda benar-benar memerlukannya sahaja.

Tabungan - Tabungan penting untuk masa depan yang terjamin. Sediakan tabung di bilik anda dan simpan lebihan wang perbelanjaan harian anda. Setelah penuh, minta ibu bapa menyimpannya di dalam bank.

Anda akan melihat pulangan hasil simpanan tersebut. Jumlah kewangan anda akan bertambah kerana bank akan memberi faedah hasil daripada simpanan tersebut.

Jangan Meminjam - Sikap gemar meminjam sebenarnya bukan satu amalan yang baik. Justeru, jangan meminjam wang daripada sesiapapun semata-mata anda gagal mengawal kewangan. Dikhuatiri anda tidak mampu membayarnya semula.

Begitu juga bagi anda yang mempunyai lebihan kewangan. Sebolehnya elakkan meminjamkan wang kepada rakan. Anda masih bergelar pelajar, tidak mungkin mempunyai sumber pendapatan untuk menjelaskan hutang.

Jujur - Jangan berbohong kepada ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan wang. Amalkan sikap berterus terang sekiranya anda kehabisan wang. Terangkan kepada ibu bapa ke mana wang tersebut akan dibelanjakan.

Namun, jangan meminta melebihi kemampuan ibubapa anda.

- Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL);PKPKL@ hotmail.com

Panduan: Tips untuk pelajar merancang kewangan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.