Keburukan Tidur Berlebihan

Share on Tumblr
Keburukan Tidur Berlebihan

Ikut kata pakar, kita perlu tidur yang cukup iaitu lapan jam setiap hari. Tapi kebanyakan remaja terutamanya mereka yang masih menuntut dan tidak bekerja akan tidur lewat malam hingga ke petang. 

Senario bagi kebanyakan remaja, lebih 80% daripada mereka khususnya lelaki akan mengalami masalah untuk tidur awal. Mustahil bagi mereka untuk masuk tidur jam 11 malam kerana itulah masa untuk mereka keluar rumah dan lepak dengan kawan.

Kebiasaannya anak muda akan tidur pada jam 3 pagi dan selebihnya selepas azan Subuh baru sibuk nak tarik selimut. Ada yang melepak di kedai mamak, berjumpa kawan, karaoke dan macam-macam lagi aktiviti dilakukan pada tengah malam hingga awal pagi.

Masalah pertama, berembun dan tidur tidak mengikut masa normal yang dicadangkan pakar. Keduanya, mereka akan bangun lewat tengahari dan lebih kronik petang baru sibuk nak celik mata.

Apabila tidur lewat seperti jam 4 pagi atau selepas Subuh, sudah tentu bangunnya juga lewat. Tempoh tidur lapan jam itu tidak akan diguna pakai sebaliknya mereka akan tidur lebih masa antara 10 jam hingga 12 jam.

Tidur seharian waktu siang banyak keburukan. Selain mengundang penyakit dan virus negatif dalam badan, malah ia juga melemahkan saraf muda dalam sistem badan yang akan membuatkan badan mudah lesu.

Bahkan tidur lebih masa pada waktu siang juga membuatkan masa kita terbuang begitu saja dengan tidak melakukan aktiviti berfaedah ataupun melakukan urusan seharian. Bukankah ia merugikan anda? Tapi itulah realitinya anak muda hari ini tanpa memikirkan kesan di sebaliknya.

Antara kesan akibat tidur berlebihan dan langsung tidak mengikut jadual tidur normal akan menyebabkan berat badan naik dan pelbagai penyakit lain. Pakar perubatan mencadangkan agar waktu tidur dicukupkan selama enam hingga lapan jam setiap hari.

Kencing manis antara akibat dan penyakit yang menanti sekiranya seseorang individu dewasa itu tidur berlebihan dan ia berlaku konsisten. Terdapat beberapa kajian membuktikan yang individu tidur lebih lama daripada waktu sepatutnya cenderung menghidap penyakit kencing manis.

Meskipun diketahui ia penyakit turun temurun tapi dengan mengamalkan tidur secara berlebihan risiko mendapat penyakit ini cukup tinggi selain sakit jantung. Sekiranya anda biasa tidur lebih dari lapan jam setiap hari maka risiko untuk menderita sakit jantung adalah tinggi.

LUPA INGATAN

Berdasarkan beberapa penelitian yang dijalankan, jumlah tidur sembilan hingga 12 jam sehari sangat tidak digalakkan kerana ia melebihi had waktu rehat yang sepatutnya dan tanpa sedar ia akan memberi kesan terhadap proses dalaman tubuh badan.

Tahukah anda yang tidur bagus untuk membentuk ingatan. Tapi, waktu tidur lebih dari lapan jam sehari boleh meninggalkan kesan negatif ke atas tubuh badan.

Pola tidur berlebihan boleh melambatkan fungsi sel otak sekali gus mengakibatkan masalah ingatan. Jika tidak ditangani segera, ia mungkin lebih membahayakan hingga mengundang risiko nyanyuk apabila usia kian meningkat kelak.

Percayalah mengikut beberapa kajian yang dilakukan oleh pakar kesihatan antarabangsa sudah membuktikan yang mereka yang tidur lebih masa akan mengalami masalah lupa ingatan dan lembap untuk berfikir.

Banyak kajian juga membuktikan yang individu yang berhadapan dengan tekanan cenderung untuk tidur lebih lama daripada waktu yang sepatutnya. Pasti mereka beranggapan dengan mempraktikkan cara itu, masalah yang dideritai boleh diselesaikan tapi hakikatnya ia hanya memburukkan lagi keadaan dengan merasa diri lebih terbeban dan tertekan.

Jangan sesekali mengambil langkah untuk berehat dengan tidur lebih masa jika anda mengalami tekanan kerana ia akan lebih membuatkan kita tertekan kerana sel otak tak berfungsi dengan baik ketika tidur.

Kenaikan berat badan adalah sinonim dikaitkan dengan mereka yang tidur lebih masa kerana kadar metabolisme dalam badan berjalan sangat perlahan ketika sedang tidur.

Disebabkan itulah bagi individu yang mengamalkan tidur berlebihan berisiko tinggi untuk mengalami obesiti sehingga 21 peratus berbanding mereka yang mendapatkan tidur secara normal.

Lemak yang terkandung dalam badan tidak dapat diproses dengan baik sekali gus membuatkan ia tepu dan menyebabkan seseorang individu itu menjadi lebih gemuk.

Terakhirnya antara kesan akibat tidur lebih masa adalah ia akan menjejaskan kecantikan dan kesegaran wajah. Terlalu banyak tidur juga boleh menjejaskan kehidupan sosial seseorang.

Sewaktu sedang enak tidur, anda sebenarnya sudah ketinggalan pelbagai aktiviti yang berfaedah dilakukan bagi meningkatkan keyakinan, kecantikan serta produktiviti diri. Sedikit sebanyak, ia menjejaskan daya tarikan sekali gus membuatkan anda kelihatan kurang menarik berbanding sebelumnya.

Justeru kepada kawan-kawan dan generasi muda hari ini, rasanya sudah tiba masanya untuk kita berubah dan mengubah gaya hidup untuk menjalani kehidupan lebih sihat dengan mendapatkan tidur cukup masa pada waktu yang dicadangkan.

Jangan jadi kupu-kupu malam dan kemudiannya mengambil masa lebih lama untuk tidur. Itu sangat merbahaya!

~ MURSHID EUNOS
Keburukan Tidur Berlebihan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.