Kaunseling Remaja: Rasa diri tak layak bercinta

Share on Tumblr
Rasa diri tak layak bercinta

Saya mahasiswa sebuah institusi yang mempunyai perasaan rendah diri amat tebal kerana tidak mempunyai rupa paras yang cantik. Dengan kata lain saya simpulkan bahawa saya mempunyai wajah yang hodoh.

Pada mulanya saya tidak kisah dengan keadaan ini, tapi sejak entah mengapa semakin lama semakin gusar dengan masalah rupa dan bentuk fizikal saya yang hodoh dan gempal ini.

Keadaan ini menyebabkan saya beranggapan tidak layak untuk bercinta dan memiliki teman lelaki. Walaupun ramai yang memberikan semangat, saya masih rasa rendah diri dan tidak yakin dengan kata - kata itu. Saya beranggapan mereka hanya mahu menyedapkan hati saya semata - mata.

Bantulah saya kerana ia mengganggu diri dan emosi saya.

-------------------------------

Adik merasakan tidak layak bercinta kerana faktor bentuk rupa dan badan. Ahli psikologi berpendapat individu selalu mempunyai pemikiran tersendiri siapa dirinya. Kesannya, individu itu selalu merasa bimbang berkenaan apa yang mereka ada termasuk bentuk fizikal.

Kenyataan ramai rakan yang memperakui rupa paras adik menarik masih tidak cukup kuat untuk menolak persepsi berkenaan wajah sendiri. Pemikiran yang adik bentuk sendiri berkenaan wajah ternyata lebih kuat daripada pengesahan dilakukan orang sekeliling.

Tidak salah memikirkan berkenaan bentuk badan dan rupa, tapi terlalu banyak memikirkannya boleh menjadikan fikiran lebih kusut serta emosi terganggu.

Dr akui bentuk fizikal banyak menyumbang kepada tahap keyakinan diri dan ia pula antara faktor penting dalam membina satu perhubungan. Namun ia bukan penentu kepada perhubungan yang baik. Banyak elemen lain seperti bersikap mengambil berat dan memahami dapat menarik hati pasangan.

Selain daripada bersifat subjektif, kecantikan datang dari pelbagai aspek. Ia boleh dinilai dari sudut paras rupa, kecantikan hati, budi bahasa dan kecantikan tersendiri. Begitu juga, bentuk badan boleh berubah dan juga dilihat berbeza. Ada yang merasakan orang berbadan gempal sebagai seorang yang menarik dan sebaliknya. Penilaian bentuk badan dan rupa berbeza mengikut keinginan serta perbezaan individu.

Merasa gembira dengan apa yang ada di samping berusaha untuk memperbaiki apa diinginkan dapat membantu untuk melihat sesuatu dari perspektif berbeza. Contohnya, belajar untuk menerima kata-kata orang sebagai satu pengesahan berkenaan diri adik. Begitu juga, jika tidak selesa dengan bentuk badan, adik boleh berusaha untuk menurunkan berat badan. Cinta adalah hak setiap orang, tidak mengira paras rupa, harta, kulit warna. Lantaran itu, adik berhak bercinta dan dicintai dengan keadaan diri sekarang.

Dijawab oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon
Kaunseling Remaja: Rasa diri tak layak bercinta

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.