Kaunseling: Kecewa cinta pertama

Share on Tumblr
Kecewa cinta pertama

Hidup saya begitu menyakitkan. Saya mengenali teman lelaki sewaktu melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Cinta saya adalah cinta pertama.

Saya tidak pernah bercinta sebelumnya kerana ibu selalu berpesan supaya menumpukan sepenuhnya kepada pelajaran dulu. Saya terlalu menyukai dan menyayanginya. Sepanjang hidup, terlalu sukar saya menerima lelaki lain. Sebelum ini, seorang teman lelaki yang amat rapat menyukai saya, namun menolaknya.

Kami tiada masalah dalam perhubungan kerana kedua-dua pihak menerima perhubungan kami ini.

Pada mulanya, saya tidak mahu menyambung pelajaran di universiti yang agak jauh dan ingin terus bekerja. Bagaimanapun, demi memikul harapan ibu bapa, saya menerima tawaran itu.

Kekasih berjanji untuk melawat saya. Kini, sudah beberapa bulan saya melanjutkan pengajian, sekalipun dia tidak pernah datang menjenguk.

Saya terlalu menyayanginya sehinggakan menolak lelaki lain yang ingin berdampingan.

Buah hati pengarang jantung berubah sekelip mata. Akibatnya, saya menjeruk hati dengan sikapnya.

Kini, saya juga hilang tumpuan belajar dan berniat untuk berhenti belajar. Tolonglah saya.

Jawapan:

Benarlah seperti kata orang bahawa cinta itu tiada dasarnya. Cinta itu duka dan lara. Apabila kita mencintai seseorang, kita sentiasa menginginkan cinta itu dibalasnya.

Kita juga penuh yakin bahawa orang itulah yang terbaik untuk kita. Yakin pada sesuatu adalah baik, tapi apabila keyakinan itu tidak dapat dipenuhi, ia akan membawa banyak lagi kesengsaraan.

Dalam percintaan, banyak cabaran berlaku. Harapan yang tidak dapat dipenuhi akan membawa kepada perasaan bahawa diri tidak sebaik disangka atau diharapkan.

Alangkah hancurnya hati apabila sesuatu yang kita inginkan tidak upaya dimiliki kerana faktor tertentu. Itulah yang berlaku kepada adik.

Apabila sesuatu yang diharap dan diyakinkan tidak menjadi, adik kecewa. Tetapi itulah natijah bercinta.

Dr empati dengan apa yang adik alami. Dukanya ialah apabila adik merasakan muncul lelaki yang terbaik. Namun, ia semakin jauh dan akhirnya menghilang dari hari ke hari. Wujudnya dia tapi adik kehilangannya. Betapa menyedihkan perasaan itu.

Perasaan sedih adik ini memang perlu dikongsi dan diluahkan. Setidak-tidaknya, berkongsi kesedihan akan mengurangkan sedikit penderitaan dan kesedihan.

Bercerita adalah antara terapi terbaik meneroka dan mengurangkan tekanan perasaan dan bebanan yang begitu berat.

Adik tidak perlu memikul beban yang begitu berat sendirian. Luahkan segala perasaan sama ada melalui percakapan atau pun penulisan. Ramai penulis terkenal berjaya menulis cerita hidupnya dengan cukup indah.

Cinta sesuatu yang tidak boleh dipaksa. Apabila kita sangat mencintai seseorang tapi hati orang itu tidak kepada kita. Apabila ia berlaku, kita perlu menerima kenyataan tiada soal benar atau salah dalam membicarakan mengenai hati.

Memang menyakitkan tapi itulah pilihan yang dibuat teman lelaki. Jika dia tiada langsung perasaan cinta kepada adik, walaupun sudah lama berkasih, ia bukan sesuatu yang menghairankan.

Pada ketika ini, segala maaf atau pujukan tidak berjaya kerana hatinya bukan lagi pada adik.

Adik hormatilah pilihan hatinya. Jika kita mencintai orang sepenuh hati, kita perlu mendoakan yang terbaik baginya. Kita boleh memiliki perasaan cinta, namun ia tidak semesti memiliki orang itu.

Itulah keindahan bercinta. Cinta adalah ibarat hujan lebat. Sebagaimana lebat pun hujan, ia akan berhenti. Begitu juga cinta. Betapa kecewanya cinta kita terhadap seseorang, masa akan mengubatinya. Berikan masa untuk adik menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka.

Pada waktu sama, adik perlu belajar menerima kehadiran orang lain, sedikit demi sedikit. Kesediaan menerima kehadiran lelaki lain memungkinkan adik bertemu lelaki jauh lebih baik dari bekas teman lelaki adik itu.

Apa yang penting, hargai apa yang adik alami. Jadikan ia sebagai pengajaran untuk menjadi lebih kuat mengenal diri sendiri. Dr berharap adik akan teruskan pelajaran kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengalihkan fokus dari kekecewaan bercinta kepada perkara lain.

Indahnya cinta ini apabila ia perlu dilihat dari konsep penerimaan, tidak mudah menyalahkan diri, menjadikan diri lebih dewasa dan kuat.

Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora
Kaunseling: Kecewa cinta pertama

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.