Panduan Membersihkan Hati Untuk Hidup Tenang

Share on Tumblr
Membersihkan Hati Untuk Hidup Tenang

Jiwa tidak tenang disebabkan hati yang kotor. Untuk membersihkan hati bukanlah suatu perkara yang mudah. Ada beberapa langkah yang perlu anda laksanakan untuk membersihkan hati.

Pertama, anda perlu "membedah hati" (merenung ke dalam) untuk melihat kekotoran yang ada di dalamnya. Kedua, anda perlu sanggup mengakui bahawa kekotoran itu wujud dan sanggup membuangnya. Ketiga, anda perlu membuangnya dengan apa cara sekalipun, walaupun perbuatan itu sangat menyakitkan anda.

Jika anda dapat melalui ketiga-tiga proses ini, bermakna anda akan berjaya membersihkan hati anda. Laluan anda ke arah ketenangan jiwa akan menjadi lebih mudah dan terarah. Artikel minggu ini berkaitan dengan menjernihkan hati ke arah jiwa yang lebih tenteram.

1. Kenali Batasan Diri Anda

Hati menjadi hitam apabila anda tidak membataskan keinginan anda dengan keupayaan anda. Tidak semua yang anda inginkan akan tercapai oleh tangan. Keinginan merupakan suatu yang ideal dan bersifat imaginasi. Jika anda memaksa apa yang anda inginkan akan tercapai maka jiwa anda tidak akan menjadi tenang.

Apa juga yang wujud di muka bumi ini bukan milik anda. Anda hanya diberi pinjam untuk memiliki, mengurus dan mentadbirnya dengan baik. Akhirnya, anda perlu menyerahkan kembali perkara yang anda miliki kepada orang lain.

Hanya satu perkara sahaja yang menjadi milik mutlak anda, iaitu amalan baik atau buruk anda.

Oleh itu, angankan sesuatu yang boleh dicapai (yang bersifat murni) dan bersesuaian dengan usaha serta tenaga anda.

2. Bertindak Berasaskan Rasa Hati yang Tenteram

Hati akan menjadi hitam jika anda membuat pilihan yang salah. Jika ada dua pilihan, dan selepas anda mempertimbangkan masak-masak, buatlah pilihan yang tepat.

Jika anda memilih di luar lingkup rasional dan pertimbangan perasaan anda, bermakna anda telah membuat pilihan di luar fitrah anda. Memilih sesuatu yang di luar fitrah akan menghasilkan perasaan keluhkesah dan tidak tenteram.

3. Percaya Pada Diri Sendiri dan Percaya kepada Orang Lain

Hati akan menjadi hitam jika anda sanggup berbohong kepada diri dan kepada orang lain. Anda sahaja yang tahu akan kemampuan diri anda. Anda juga yang mengenali orang lain dan setakat mana anda boleh mempercayai mereka.

Orang yang percaya kepada diri sendiri dan percaya kepada orang lain adalah lebih yakin untuk menempuh hidup dengan tenang dan damai. Anda tidak perlu memikirkan untuk memanipulasi atau menipu diri. Anda tidak perlu untuk memikirkan perkara yang bukanbukan untuk menyenangkan hati orang lain dengan cara berbohong. Memadailah jika anda jujur pada diri sendiri dan kepada orang lain.

4. Renungkan Perkara yang Diperoleh

Hati akan menjadi hitam jika anda tidak berterima kasih. Ramai orang terlupa untuk mengucapkan terima kasih selepas dia mendapat segala yang dihajatinya.

Anda mendapat pujian daripada rakan-rakan, anda mendapat hadiah daripada ahli keluarga, anda mendapat keputusan yang baik dalam ujian bulanan dan seumpamanya. Perkara yang paling penting sekali ialah anda diberi kesihatan tubuh badan serta minda dan emosi yang stabil.

Pernahkah anda rasa bersyukur terhadap segala nikmat yang telah anda kecapi selama ini? Rasa bersyukur terhadap nikmat merupakan terapi yang paling baik untuk memberi rawatan kepada jiwa agar menjadi lebih tenang dan tenteram.

5. Yakin Bahawa Allah SWT Punca Kuasa

Hati menjadi hitam apabila anda lupa kepada punca kuasa. Segala yang wujud dan apa yang berlaku berpunca daripada Yang Maha Esa. Oleh itu, setiap usaha yang dilaksanakan wajib disandarkan kepada punca yang satu itu. Allah SWT memberikan manusia potensi hati yang paling optimum. Maka gunakanlah sebaiknya untuk membuat sebarang keputusan sama ada berkaitan dengan diri sendiri mahupun orang lain.


Panduan Membersihkan Hati Untuk Hidup Tenang

1 Komen:

faizul badri berkata...

Untuk menenangkan hati, boleh cuba kasturi syifa sebagai ikhtiar : )
http://muslimchoices.com/?p=kasturi_syifa_assyafi

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.