Kebahagiaan adalah pilihan dan Penyebab hubungan bermasalah

Share on Tumblr
Kebahagiaan adalah pilihan

Kebahagiaan satu pilihan. Hentikan rasa sedih dan suka membezakan antara kekurangan diri dengan orang lain.

Mulakan dengan membuat keputusan tepat untuk menggembirakan hati sendiri.

Menurut ahli terapi Bethenny, Dr Amador, mengejar kebahagiaan adalah hak asasi semua orang. Adakah hidup ini sempurna atau dipenuhi dengan kesakitan, kesusahan dan tragedi buruk?

"Jawapan saya ya untuk kedua-dua soalan berkenaan. Perkara buruk akan berlaku pada kita semua. Malah ada yang lebih teruk daripada kita.

"Namun bagaimana individu itu boleh mengembalikan kebahagiaan diri mereka selepas berlaku tragedi buruk dalam hidupnya seperti mengalami kejadian ditembak hingga lumpuh?

"Kita tidak perlu bercakap mengenai trauma yang ditanggung mereka namun fikirkan cara membantu orang lain untuk mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

Tujuannya bukan untuk mencetuskan kemarahan tetapi mengajak orang ramai supaya berterima kasih dan bersyukur dengan melihat kehidupan sukar mereka yang kurang bernasib baik.

Ia dipanggil tindakan refleks mental. Kesakitan adalah kesakitan sama ada kita dikhianati teman atau pasangan, bercerai, hilang pekerjaan atau masalah kesihatan kronik yang mendatangkan kesedihan.

Jika kita tidak berpuas hati dan gemar membandingkan diri dengan orang lain yang lebih teruk daripada nasib sendiri, ia bukan penawar terbaik.

Sebaiknya, fahami antara kesakitan dan kesengsaraan. Jika biarkan ia berlaku dalam hidup, kesakitan boleh mencipta kesengsaraan.

Dengan kata lain, kesakitan dan kesengsaraan bukan pilihan kita. Ia juga memberi maksud bahawa kebahagiaan turut bergantung kepada pilihan individu itu sendiri.

Untuk mengurangkan kesakitan atau kesunyian, luahkan dengan rakan yang dipercayai atau pasangan. Namun, jika mempunyai masalah kemurungan yang teruk sehingga mengganggu tidur, makan dan tumpuan serta berisiko membunuh diri, dapat bantuan segera daripada pakar berkaitan.

Rawatan berkesan akan mengurangkan kemurungan dan mengembalikan kehidupan normal bagi mereka yang menghadapi masalah jiwa yang kronik itu.

Jangan berhenti di situ saja sebaliknya teruskan mencari kebahagiaan dengan mengingati sakit sebagai pilihan dalam kehidupan.

Pergaduhan mengganggu kebahagiaan

Selain mencipta kebahagiaan, ada juga pasangan yang melalui detik pergaduhan hingga menganggap berpisah sebagai jalan terbaik.

Memang mencari pasangan dengan ciri-ciri diinginkan bukan hal yang mudah. Namun, ia bukan perkara sukar berbanding berusaha untuk mempertahankan hubungan antara pasangan suami dan isteri.

Justeru, banyak perkara yang perlu diambil perhatian terhadap masalah yang boleh timbul hingga boleh merosakkan rumah tangga sama ada yang masih baru dibina atau sudah bertahun lamanya.

Bagi mengelakkan risiko pergaduhan, perhatikan beberapa aspek penting yang boleh menjadi penyebab yang mengganggu hubungan mesra antara pasangan.

1 Mengkritik keluarga pasangan

Jangan sesekali mengkritik keluarga pasangan jika ada antara kakak, abang atau adik yang tidak disukai.

Hormati keluarga pasangan selain cuba memberi layanan yang baik kepada mereka bagi mengelakkan masalah tidak diingini.

Jika tidak berpuas hati dengan sikap keluarga pasangan, bincang dengan suami atau isteri dalam keadaan tenang dan bukan ketika marah.

2. Mengawasi aktiviti pasangan

Mungkin ada yang menganggap ia sebagai cara terbaik untuk mengelak pasangan menduakan anda.

Namun tiada gunanya jika setiap masa perlu mengawasi pergerakan pasangan tidak kira ketika melakukan hobi hinggalah aktiviti di Internet seperti di media sosial yang hanya akan merimaskan suami atau isteri.

Setiap pasangan memerlukan masa untuk bersendirian dan melakukan hobi masing-masing bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Justeru, suami atau isteri perlu memahami aktiviti kegemaran pasangan untuk mengembalikan keseronokan apabila mula bekerja atau berada di rumah.

Asalkan tidak melampaui batas sehingga melupakan atau tidak mahu meluangkan masa bersama pasangan, biarkan saja mereka lakukan hobi diminati.

3. Bertengkar di khalayak ramai

`Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri'. Itu antara bait lirik dinyanyikan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Saloma dalam filem Tiga Abdul yang sering dikaitkan mengenai suasana dalam rumah tangga.

Pergaduhan perkara biasa dalam rumah tangga. Namun, ia harus dikawal dengan baik bagi mengelakkan pasangan mengeluarkan perkataan memaki hamun dan seumpamanya.

Paling memalukan apabila pergaduhan itu berlaku di khalayak ramai sehingga menyebabkan hubungan yang dulu mesra kini berubah menjadi dingin.

Sebaiknya, kawal perasaan marah dan cuba cari tempoh untuk bertenang sebelum menyuarakan perasaan tidak puas hati kepada pasangan.

4. Membiarkan pasangan menjauh

Jika berlaku konflik dalam rumah tangga, jangan biarkan ia berlarutan hingga tiada lagi jalan penyelesaian.

Sebaiknya, cuba dekati pasangan dengan mendengar luahan rasa tidak puas hati agar hubungan bertambah erat.

Fikiran perlu lebih terbuka ketika mendengar pandangan dan luahan hati pasangan terhadap perkara disukai dan dibenci suami atau isteri.

Beri pujian, mohon maaf dan menghadiahkan pasangan dengan barangan disukai walaupun ia bukan pada tarikh istimewa bagi mengembalikan hubungan mesra.

5. Cuba memperbaiki pasangan

Kebanyakan suami atau isteri berfikir mereka dapat membantu pasangan menjadi lebih baik.

Tanpa disedari, perkara yang dilakukan dengan terus mendesak pasangan berubah bermakna anda sedang mengubahnya menjadi orang lain.

Sebenarnya, ia lebih banyak mendatangkan masalah dalam hubungan berbanding menerima dengan hati terbuka terhadap kelebihan dan kekurangan pasangan.

Kita sendiri tidak suka jika pasangan ingin mengubah diri kita bukan? Justeru, jangan lakukan perkara yang kita sendiri tidak suka kepada pasangan hanya untuk menjadikan mereka mengikut cita rasa hati sendiri.

6. Membiarkan masalah berlarutan

Pergaduhan perlu diselesaikan dengan segera. Di samping itu, elakkan daripada menimbulkan masalah lain dan berusaha mencipta suasana menyeronokkan dalam rumah tangga.

Komunikasi juga menjadi wadah penting dalam menjalin hubungan erat antara pasangan bagi mengelakkan salah faham ketika berbicara.

7. Berdusta

Jika pasangan dan anda sendiri menunjukkan sikap mahu berdamai, jangan berdusta. Elakkan sikap berpura-pura atau ego dan tidak mahu mengembalikan hubungan mesra dengan pasangan.

Tidak perlu `jual mahal', berpura-pura marah atau benci dengan pasangan jika tiada cara lain yang boleh memperbaiki suasana dingin dalam rumah tangga.

Jangan ambil risiko. Pasangan akan menyangka anda benar-benar tidak mahu berbaik semula dengannya hingga mengakibatkan suami atau isteri terdorong untuk melupakan hasrat berdamai.

8. Mencari salah


Jika mahu berdamai hentikan tabiat suka mencari salah orang. Ia termasuk perbuatan berleter, menegur dan mengkritik pasangan.

Jika ia boleh menyelesaikan masalah tidak mengapa. Namun, jika tuduhan diberikan kepada pasangan salah, sukar untuk mengembalikan semula kejernihan dalam rumah tangga.

9. Bahasa negatif

Menuduh atau mencela pasangan kerap berlaku ketika pergaduhan. Sebaiknya, elakkan penggunaan perkataan yang menghina atau menyindir pasangan.

Perbuatan seperti itu boleh merendahkan maruah pasangan. Sebaiknya, gunakan bahasa lembut atau positif seperti pujian dan penghargaan untuk memberi kesan baik dalam hubungan suami isteri.

10. Masalah silam


Selepas berdamai, jangan bercakap mengenai masalah lalu sebaliknya terus berbicara mengenai masa depan rumah tangga yang dibina.


Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Kebahagiaan adalah pilihan dan Penyebab hubungan bermasalah

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.