Terapi Warna - Rahsia Disebalik Warna

Share on Tumblr
Terapi warna
Pemahaman terapi adalah penting dalam aplikasi penggunaan warna. Meskipun kita melihat dan memahami kebanyakan warna tidak berbeza, namun menerusi pengalaman, pengetahuan dan budaya, warna memberikan banyak makna antara satu dengan yang lain.

Tanggapan pada warna

Banyak faktor terbabit menentukan penggunaan warna dalam ruang dalaman. Bahkan, kesan tanggapan terhadap warna kadang kala membuat kita keliru kerana ia bergantung kepada cara penglihatan individu yang tidak sama apatah lagi ia dilakukan dalam keadaan serta suasana berbeza.

Warna panas dan sejuk secara amnya diguna dalam menentukan kesan terapi warna. Warna panas secara visual dan psikologi dilihat membuat ruang panas namun ia memberi terapi mengalu-alukan, keyakinan selain membangkitkan selera.

Sementara, warna sejuk secara asasnya memberi terapi menenangkan serta merehatkan minda serta fizikal. Ia juga mengurangkan tekanan dan meminjamkan ketenangan.

Biru

* Sesuai bagi mereka yang banyak berfikir kerana kelembutan warnanya membantu mengurangkan tekanan. Ia disyorkan untuk membentuk kesamaan suasana serta perasaan, merasionalkan sesuatu keadaan bagi membentuk turutan dan susunan serta demi mencari kedamaian dan ketenangan. Bagaimanapun, hindari warna ini ketika sedang bersedih, menghadapi krisis peribadi atau berasa keseorangan.


Ungu

* Membantu seseorang melakukan perubahan hidup didorong persekitaran positif. Justeru, boleh dimanfaatkan untuk melakukan perubahan hidup, menggandakan usaha bagi mencapai kejayaan dan menghilangkan perangai buruk serta membebaskan diri daripada ketagihan perkara yang buruk. Cuma, elakkan kalau kita seperti orang hilang tujuan hidup dan untuk mereka yang tidak tetap pendirian, sedang kecewa dan berada dalam kesusahan serta tidak mahu bergaul dengan masyarakat.

Merah Jambu

* Sering dijadikan simbol cinta tanpa syarat. Ia mempengaruhi minda supaya menjadi lebih sensitif namun pada masa sama menyahut cabaran menerima kelemahan diri. Pilihlah warna ini ketika ingin menonjolkan perwatakan dan nilai kewanitaan, berhasrat untuk membuatkan seseorang jatuh cinta serta meluahkan kasih sayang dan menjadi pendengar yang baik. Dielakkan ketika berasa tidak selamat dan dilindungi atau kalau ada seorang yang mudah tersinggung dan berasakan seperti dilukai.

Merah

Lambang daya hidup dan cita-cita selain menyingkirkan rasa tidak bermaya dalam kehidupan harian. Kesan rona panas ini membantu menaikkan tekanan selain meningkatkan perjalanan darah dan digunakan:

* Sekiranya nafsu makan dan tenaga mula menurun.

* Hendak merangsang keupayaan diri dan sikap berdaya maju.

* Ketika membuat keputusan tegas seterusnya mempercepatkan sesuatu tindakan.

Dilarang menggunakannya;

* Sekiranya berada dalam situasi tertekan dan buntu.

* Tidak memerlukan sebarang perhatian dan mengelak tumpuan ramai.

* Jika berada dalam keadaan murung atau muram disebabkan peristiwa sedih dan prasangka negatif.

Hijau
* Sesuai bagi aktiviti kerohanian dan memulakan penghidupan. Ia membantu melembutkan hati juga mengurangkan tekanan. Digunakan jika kita memerlukan bantuan bagi memulakan hidup baru, membentuk persekitaran yang mendamaikan selain dapat menjadikan kita merendah diri apabila berhadapan dengan Yang Maha Esa. Namun begitu, elakkan daripada menggunakannya kalau sedang bercelaru dan tidak pasti dalam membuat keputusan. Begitu juga kalau kita diselubungi perasaan tidak menentu dan bermasalah selain tidak boleh menghadapi kenyataan terhadap sesuatu kejadian.

Coklat

* Simbol alam semula jadi iaitu mengambil ciri tanah yang memiliki kekerasan serta daya ketahanan. Disyor cuba sekiranya berhasrat untuk menunjukkan semangat bekerja keras dan mengharapkan kejayaan, tetapi elakkan andai menggunakan jumlah tenaga besar serta tidak berminat melakukan sesuatu pekerjaan dan hanya mahu bergembira sahaja.

Kuning

* Dikategorikan sebagai warna persembahan kerana membuatkan semuanya dilihat menyerlah. Lazimnya dijadikan warna fokal dan disyorkan jika kita memerlukan perhatian terhadap keperluan keselamatan dan perincian. Tidak disarankan guna kalau berada dalam keadaan ketakutan dan kebimbangan, selain untuk mengelak tumpuan ramai dan jika ingin berehat dari kerja dan gangguan fikiran.

Jingga

Simbol olahragawan gagah dan tegap, suasana riang ria di samping semangat membina. Ia membantu mengangkat kepercayaan diri bagi mencapai cita-cita dan sesuai digunakan:

* Sekiranya menginginkan suasana menggembirakan dan meningkatkan keinginan naluri.

* Membangkitkan perasaan serta deria rasa.

* Meluahkan kreativiti.

Dilarang memilihnya kalau ingin mengurangkan daya tarikan, berada dalam kepenatan kerana warna ini memerlukan kita sentiasa bersedia dan bertenaga selain kurang sesuai dijadikan warna untuk untuk tempat berehat dan suasana mendamaikan.


Oleh Hamidon Abdullah
Terapi Warna - Rahsia Disebalik Warna

3 Komen:

Tanpa Nama berkata...

ada kale nye btoii jgak kunk..

athiera chute berkata...

tapi ase cam btoii jagk...tapi jgan laa selalu p'caye pade mitos sume nim...

aboy cyg berkata...

haha...saye stuju.. imysm....

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.