Tip Atasi Sikap Suka Tangguhkan Kerja

Share on Tumblr
Pengembangan Diri: Tangani Sikap Menangguhkan Kerja Dengan Bijaksana 

Menangguhkan kerja adalah suatu penyakit dalam diri manusia.

Menangguhkan kerja adalah suatu tabiat yang boleh menjadi kebiasaan yang akibatnya amat buruk jika tidak dikikis dari dalam diri.

Tabiat ini berpunca daripada kepercayaan bahawa kerja boleh dibuat semasa waktu senggang atau santai. Tugasan dan hobi perlu dibezakan.

Hobi adalah sesuatu yang boleh dilakukan pada waktu lapang sedangkan kerja perlu dilakukan segera berdasarkan tempoh masa tertentu. Kebanyakan pelajar suka menangguhkan kerja apabila dia menganggap bahawa kerja dan hobi sama tarafnya. Walhal, kedua-duanya berbeza.

Suka Tangguh Kerja


Di bawah ini anda diberikan tip bagaimana untuk mengurangkan tabiat suka menangguhkan kerja.

1. Paksa Diri

Ada ketikanya, anda tidak mempunyai pilihan lain kecuali memaksa diri untuk melakukan sesuatu tugas sehingga selesai dalam jangka waktu singkat yang ditentukan. Contohnya jika guru memberi kerja sekolah dan kerja tersebut perlu dihantar pada keesokan harinya, pilihan anda hanya ada satu sahaja iaitu anda kena menyelesaikan tugasan itu pada hari itu juga.

Ada kemungkinan anda perlu berjaga sepanjang malam atau perlu berkurung dalam bilik sepanjang hari untuk menyiapkannya. Anda kena memberikan masa dan seluruh tumpuan untuk menyelesaikannya.

Sekiranya anda menangguhkannya sehingga esok, bermakna anda tidak berpeluang untuk menghantar kerja tersebut tepat pada waktunya dan kemungkinan kerja anda tidak akan dinilai oleh guru.

2. Dapatkan Bantuan

Tidak semua kerja boleh dilakukan secara berseorangan. Ada kalanya anda buntu untuk melaksanakan sesuatu tugasan.

Dua otak yang berfikir untuk satu perkara adalah lebih baik daripada satu otak yang bekerja untuknya. Fikiran yang mencapah akan menghasilkan jalan penyelesaian yang pelbagai berbanding hanya seorang sahaja yang berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Biasanya kerja anda akan selesai jika anda sepakat dan dibuat bersama-sama dengan rakan yang boleh menghulurkan bantuan.

3. Mulakan Dengan Langkah Pertama


Langkah yang paling sukar adalah langkah pertama. Langkah pertama akan diikuti dengan langkah kedua, ketiga dan seterusnya. Tanpa ada yang pertama maka tidak ada yang kedua. Jika anda tidak memulakan langkah, maka proses itu tidak akan bermula. Jadi, langkah pertama, walaupun payah, akan menentukan kejayaan anda untuk menghabiskan tugasan anda seterusnya.

4. Pahit Ubat Yang Mujarab

Manis biasanya boleh membawa mudarat. Sudah menjadi fitrah setiap yang pahit itu boleh menjadi ubat yang mujarab bagi setiap penyakit.

Untuk melaksanakan sesuatu tugas yang diberi, anda perlu berada dalam keadaan seperti sedang bertarung dan berusaha untuk melaksanakannya.

Setiap usaha memerlukan ketabahan dan kesabaran. Tabah dan sabar adalah dua perkara yang boleh menjadi penahan sakit dalam diri. Berakit-rakit ke hulu, berenang- renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

5. Buat Secara Beransur-ansur

Sehari selembar benang, lama-lama akan menjadi kain. Jika tugasan anda banyak dan terdapat waktu yang panjang untuk menyiapkannya, maka lakukannya secara beransur-ansur. Walaupun beransur-ansur, anda perlu tekal dalam melaksanakannya.

Beransur-ansur akan menjadikan anda lebih teliti dan dapat mengesan dengan mudah setiap kesilapan yang berlaku. Proses secara beransur ini memberi peluang kepada anda untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti tugas.

6. Bersedia Berhadapan Dengan Gangguan

Gangguan merupakan musuh utama dalam pelaksanaan sesuatu tugas. Gangguan ini mungkin kawan-kawan mengajak bersembang, ibu bapa mengajak anda ke bandar untuk membeli sesuatu atau adik-adik merengek hendakkan sesuatu daripada anda.

Kesemua ini antara gangguan yang perlu anda lalui. Jika anda telah menetapkan matlamat dan bersedia untuk melalui gangguan ini, maka peluang anda untuk menghabiskan tugasan anda menjadi lebih cerah.

Oleh Dr Ramlan

* Dr Ramlan (Pensyarah/Kaunselor Berdaftar Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik, Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Negeri Sembilan)
Tip Atasi Sikap Suka Tangguhkan Kerja

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.