Sikap Gadis (Perempuan) Suka Membebel

Share on Tumblr
Sikap Wanita Yang Suka Membebel

Acap kali kita dengar sembang lelaki dengan kawan-kawan, kononnya bimbang kalau kekasih membebel. Kalau silap cakap atau ada perkara yang kurang senang di matanya berlaku, mulalah si gadis buka mulut mengeluh dan tidak henti hingga membuatkan si lelaki bingit dan bosan.

Realitinya, gadis dan wanita adalah golongan yang akan dikaitkan dengan sikap membebel. Kesannya jika tidak dibendung, mampu mengeruhkan keadaan dan lebih kronik membuatkan sesebuah hubungan terputus hanya kerana sikap membebel.

Tapi pernah tak lelaki terfikir, mengapa mereka membebel dan berceramah?




Jarang sekali dijadikan topik, tapi isu ini perlu dipertimbangkan mengapa kekasih kita kerap kali membebel. Sudah tentu ada silap dan perangai kita yang tidak menyenangkannya.

Selalunya berdasarkan pemerhatian, gadis akan membebel apabila kekasihnya lewat sampai, terlupa temu janji, tertinggal sesuatu barang dan terlalu lama menghabiskan masa dengan teman-teman atau aktiviti kegemaran mereka.

Kebiasaannya mengikut kajian beberapa laman sosial dan hasil sembang kosong dengan teman-teman yang sudah lama menjalin hubungan, lelaki tetap tidak akan berkompromi jika perkara remeh-temeh mengundang pasangan untuk membebel.

Namun kali ini, cuba kita fahami, apa agaknya yang membuatkan pasangan itu mula membebel.

Selalunya si kekasih itu memang jenis suka bercakap. Lelaki ramai yang suka dengan gadis begitu kononnya mudah disenangi keluarga dan teman-teman. Tapi jika ada yang tidak kena, si gadis suka bercakap itu akan menjadi hebat membebel.

Gadis akan membebel kerana menegur sesuatu yang dirasakan perlu, inginkan suatu kepastian ataupun berasa diri tidak dihargai. Malah ada juga gadis yang membebel kerana berasa sunyi, tertekan kerana penat, menganggap lelaki (pasangan) tidak memahami dirinya ataupun tempat untuk meluahkan rasa marah dan geram.

Ramai juga gadis yang membebel sebagai tanda amaran. Ia berlaku kepada lelaki yang menjalankan kegiatan haram di belakang kekasihnya dan sikapnya itu sudah mula dihidu. Memang ramai rasanya lelaki berdepan situasi begitu.

Letak ke tepi kekurangan kekasih yang gemar membebel itu sebentar. Kerana setidak-tidaknya mereka membebel atas sikap mengambil berat dan sayangkan kita. Optimis dan kekal positif melihat perangainya itu.

Sebaliknya di sini ingin mengajak anak muda khususnya lelaki untuk memahami perasaan kekasih yang seakan `penceramah bebas' ini. Rahsianya mudah untuk cuba memahami mereka bagi memastikan hubungan itu bertahan.

Pertama sekali, jangan buat tidak tahu saja kepada mereka apabila perangai menakutkan itu bermula. Perkara paling geram apabila si dia membebel, si lelaki boleh pula buat tidak tahu. Lebih teruk ada yang terus pakai `earphone' atau pasang radio kuat-kuat supaya suara si gadis tenggelam dalam bunyi radio.

Perlu diingat, wanita tidak akan membebel sembarangan jika masa dan tarikh temu janji yang sudah dipersetujui dilupakan tanpa alasan yang kukuh atau hari lahir mereka berlalu begitu saja sedangkan anda sibuk bersorak menonton bola sepak di kedai mamak. Cuba fahami jiwanya.

Keduanya, berdiam diri dan jangan menjawab. Ada wanita yang membebel dan pasangannya pula mengeluarkan kata-kata menguji kesabaran. Antaranya yang biasa kita dengar: Awak ni tidak ada kerja ke, membebel saja! Atau paling teruk: Janganlah membebel, naik pening kepala saya ni!

Seboleh-bolehnya janganlah mengharapkan si gadis yang berdiam diri ketika anda terlupa janji atau tersilap melakukan perkara menyakitkan hati mereka. Gunakan peranan `senyap' sebagai `reverse psychology'.

Ketiga pula, belajarlah memujuk. Biasanya wanita akan membebel jika ada saja perkara menyakitkan hatinya. Sikap dan tingkah laku seseorang lelaki juga boleh menyebabkan si dia membebel tanpa sebab.

Jadi janganlah biarkan mereka merajuk sepanjang hari. Kalau boleh pujuklah dia dengan kata-kata manis yang boleh mengubat hatinya. Teman wanita akan berasa dirinya dihargai.

Keempat dan mungkin paling sukar dilakukan golongan lelaki ego adalah meminta maaf. Jangan pandang remeh dengan perkataan `maaf'. Kadang-kadang tingkah laku yang tidak disedari boleh mengguris hati dan perasaan pasangan.

Biarpun anda merasakan tidak melakukan sebarang kesalahan, jangan ego untuk meminta maaf. Kalau boleh elakkan bergaduh besar, lelaki akan setia dengan egonya dan wanita pula janganlah turut ego. Sama-samalah bertolak ansur dan `cool' demi sesebuah perhubungan yang baik dan bahagia.

Terakhir yang difikirkan perlu untuk seseorang lelaki fahami, cuba tanya apa masalahnya. Peka dengan setiap perubahan yang berlaku kepada pasangan. Kalau muka si kekasih berkerut seribu atau pertanyaan anda tidak berjawab, cubalah selidik apa masalah yang dihadapi.

Mungkin anda mengabaikannya atau perkataan anda mengguris hatinya. Percayalah, sikap membebel itu hanya sekelumit kuman saja kekurangan pada dirinya berbanding kelebihan dan sikap baiknya yang lain.

Tapi perlu diingatkan juga, gadis dan wanita jangan pula mengambil kesempatan untuk terus membebel hingga membuatkan lelaki putus asa dan diam meninggalkan kamu.

Trivia

1. Lumrah semula jadi perempuan yang memiliki paras hormon estrogen berlebihan gemar meluahkan perasaan dan pendapat seolah-olah seperti sedang membebel.

2. Sudah terbukti perempuan boleh melontarkan 30,000 kuota simbol dan kata dalam sehari, sedangkan lelaki hanya mampu melontarkan sebanyak 7,000 kuota simbol saja.

3. Lelaki akan membebel jika dirasakan wanita suka dipengaruhi saja.

4. Lelaki pula jarang membebel, tapi jika dia membebel akan disusuli dengan sikap tegas dan ada kalanya sedikit marah.

5. Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah memberitahu tujuan utama wanita terutama isteri berleter ialah untuk membuktikan kasih dan sayang kepada pasangan.

Oleh Murshid Eunos
Sikap Gadis (Perempuan) Suka Membebel

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.