10 Cara Mengendalikan Stres (Tekanan) Utk Pelajar

Share on Tumblr
10 cara untuk mengendalikan stres

Ramai pelajar yang mengadu mereka menghadapi masalah tekanan atau stres. Hal ini berlaku bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di luar sekolah.

Masalah ini perlu difahami dan dikendalikan dengan baik. Jika tidak, masalah ini pasti akan menjadi penghalang kepada anda untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Diakui ada ketikanya, akan timbul perasaan bosan, malas, tiada dorongan, fikiran buntu, kecewa, penat dan pelbagai lagi dalam kehidupan seharian. Anda perlu faham bahawa semua itu ialah asam garam dalam perjuangan.


Semua orang mahu sentiasa hidup dalam keadaan penuh motivasi, semangat, ceria, aktif, gembira, sihat dan bertenaga. Walau apapun keadaan, ingatlah bahawa kecemerlangan diri dan akademik wajib dijadikan keutamaan.

Bagaimanakah isu ini boleh ditangani dengan sebaiknya? Mari kita bincangkan bersama-sama.

Sebelum itu, kita memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan tekanan. Apakah tanda-tanda kita mengalami tekanan?

Tekanan ialah keadaan yang menekan diri kita sama ada dalam bentuk perasaan, fikiran ataupun fizikal. Antara tanda tekanan daripada segi perasaan ialah:

- denyut nadi melebihi 80 seminit

- mudah marah

- rasa malas

- bosan

- rasa kecewa

- hampa

- suka menyendiri

- suka dan sedih tidak menentu

Daripada segi fikiran, seseorang yang berada dalam keadaan tertekan akan:

- sukar memahami perkara baru

- sukar menyelesaikan masalah

- sukar membuat keputusan

- kurang kreatif

- sukar untuk mengingat kembali

- mudah lupa

- kerap berkhayal

Daripada segi tingkah laku pula, seorang yang tertekan akan:

- mengalami kesukaran untuk tidur.

- merokok berlebihan.

- mengambil minuman kafein secara berlebihan.

- makan berlebihan atau hilang selera makan.

- lewat melakukan sesuatu.

- memandu kenderaan secara bahaya.

- kembali mengamalkan tingkah laku buruk yang telah lama ditinggalkan.

Cuba nilai diri anda. Semakin banyak tanda-tanda yang disenaraikan tadi ada dalam diri anda, bermakna semakin beratlah tekanan yang sedang anda alami. Jika benar sedemikian, segeralah ambil tindakan sewajarnya.

Justeru, berikut saya senaraikan 10 tindakan segera yang boleh diambil jika anda mempunyai tanda-tanda mengalami tekanan.

1. Terima kenyataan

Kenali diri anda secara lebih tepat. Proses ini boleh dilakukan dengan meneliti hasil ujian, kerja atau maklum balas yang diberikan oleh guru atau rakan-rakan sebaya anda di sekolah.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada kaunselor di sekolah. Anda perlu berbincang dengan jujur dan dalam keadaan selesa. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri anda. Keadaan ini boleh membantu anda bertindak dengan tepat untuk menambah baik keadaan anda pada masa hadapan.

Dapatkan bimbingan daripada mereka yang sesuai. Rancang setiap aktiviti yang akan dilakukan supaya anda dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab anda sebagai pelajar dengan tepat. Fokuskan kepada tabiat dan teknik terbaik pelajar cemerlang.

Jangan beri ruang kepada sebarang perkara yang negatif. Anda perlu terima kenyataan bahawa tiada jalan pintas untuk menuju ke arah kecemerlangan. Anda perlu tekun, tabah dan jangan mudah mengalah.

2. Rancang masa dan keutamaan kerja

Allah SWT mengurniakan setiap individu dengan masa sebanyak 24 jam sehari. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Jumlah masa itu akan sama sepanjang hayat anda.

Sebagai pelajar, memang banyak yang perlu anda lakukan pada setiap hari. Anda tidak mungkin dapat melakukan kesemuanya dalam satu hari. Sehubungan itu, anda perlu menentukan urutan keutamaan. Seimbangkan perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan mengikuti keperluan hidup secara harian. Sesudah itu, lakukan tugasan yang paling penting dan perlu disegerakan.

Anda juga perlu mengelakkan diri daripada terleka dengan hiburan atau melayan rakan sosial menerusi internet tanpa tujuan. Beban kerja yang banyak akan menjadi lebih ringan jika beban itu dapat diagih dan dikongsikan secara kumpulan. Perkongsian ini menguntungkan semua pihak dan banyak masa dapat dijimatkan.

3. Perbaiki teknik mengurus

Sebagai pelajar, anda perlu mengurus buku, fail, nota dan tugasan. Anda juga perlu memastikan tarikh-tarikh penting seperti menghantar tugasan, ujian dan peperiksaan.

Untuk itu, sediakan kalendar, buku catatan atau apa juga bahan yang selesa untuk anda. Pastikan semuanya teratur dan terancang. Anda perlu tahu apa dan bila sesuatu perkara perlu dilakukan. Pastikan juga anda sentiasa terkehadapan dalam tugasan anda.

4. Wujudkan sokongan sosial

Rapatkan hubungan anda dengan ibu bapa, kawan, guru dan individu lain yang boleh membimbing serta menyokong anda ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Jangan segan untuk berkongsi masalah dan cabaran yang anda hadapi.

Hubungan yang rapat ini dapat menjadikan anda lebih yakin dan matang selain menyelamatkan anda daripada tergelincir dalam situasi buruk seperti kebuntuan fikiran dan kekecewaan.

5. Wujudkan persekitaran belajar yang selesa

Anda wajar memilih tempat yang sunyi dan jauh daripada gangguan. Namun begitu, elakkan diri daripada belajar di atas katil. Belajar di atas katil boleh menyebabkan anda tertidur meskipun anda tidak perlu tidur pada masa itu.

Setiap pelajar perlu memiliki sebuah meja selesa yang dilengkapi lampu. Pastikan meja anda sentiasa dikemaskan. Jika anda terasa tiada `mood', bahagikan tugasan anda yang banyak dan berselerak itu kepada tugasan-tugasan yang lebih kecil. Lakukan satu demi satu. Beri ganjaran pada diri anda untuk setiap tugasan yang berjaya disiapkan. Dengan cara itu, anda akan berasa lebih seronok dan bermotivasi.

6. Keluar berehat

Tindak balas tekanan akan menyebabkan otot anda menjadi tegang. Ini akan mengehadkan pergerakan badan dan kelancaran aliran darah. Kesannya, anda akan terasa sakit di bahagian belakang, tengkuk, kepala dan sendi-sendi anggota badan. Akibatnya, anda tidak berupaya menyiapkan tugasan belajar, tanpa anda sedari.

Maka itu, anda perlu berehat daripada melakukan tugasan dan keluar berjalan-jalan di tempat yang lapang serta redup mata memandang. Elok juga jika anda bersenam dan lakukan pergerakan yang boleh melegakan ketegangan otot atau senaman pernafasan yang boleh menyegarkan diri anda.

Segera berehat jika anda berasa penat. Rehat akan membantu anda memulihkan semula kecergasan otot dan kecerdasan minda. Anda perlu berehat selama lima hingga 10 minit untuk ke bilik air atau minum air mineral. Hasil kerja anda akan menjadi lebih baik nanti. Kesilapan juga dapat dikurangkan.

Sesungguhnya, inilah tujuan cuti persekolahan diberikan kepada anda. Cuti ini memberi peluang anda berehat dan berasa segar semula apabila kembali ke sekolah nanti.

7. Perbaiki teknik belajar dan mengingat

Mungkin teknik belajar yang biasa dan kaedah lama tidak sesuai untuk anda. Umpamanya kaedah belajar dan menghafal. Kaedah ini memang sukar dan cepat membosankan. Sehubungan itu, anda perlu mencari kaedah belajar baharu yang lebih sesuai dengan anda.

Jangan takut untuk mencuba kaedah belajar secara berkumpulan atau mengadakan eksperimen dan uji kaji. Cara ini pasti lebih menyeronokkan serta menjadikan anda lebih mudah faham dan mengingati sesuatu topik yang dibincangkan.

Anda juga harus mempelajari pelbagai kaedah mengingat yang lain. Anda perlu rajin mengulang kaji pelajaran yang lalu sebelum memulakan pelajaran baharu.

8. Selalu Bersenam

Pergerakan fizikal dapat membebaskan badan anda daripada tekanan. Badan yang sihat membolehkan anda menghadapi hidup dengan penuh yakin dan dinamik. Maka itu, rajin-rajinlah bersenam.

Anda boleh berenang, berjoging, bermain atau apa sahaja yang membolehkan anda berasa lebih cergas dan cerdas. Bersenam secara terancang dapat mengelakkan diri anda daripada tekanan. Lebih baik jika anda dapat bersukan dengan rakan-rakan.

9. Lepaskan tekanan secara sihat

Tuliskan perasaan marah, sedih, kecewa dan geram anda kepada orang lain di atas kertas. Aktiviti ini dapat memindahkan perasaan negatif anda secara lebih positif. Kemudian, baca semula nota itu dan hapuskan. Nota itu tidak perlu disampaikan kepada orang lain pada keesokan harinya.

Anda perlu bertindak dengan menggunakan akal yang waras, bukan dengan emosi yang amarah. Banyak rugi daripada untungnya. Nota perasaan yang dihapuskan itu akan menyelamatkan anda daripada mempamerkan kebodohan diri sendiri atau diperbodohkan oleh orang lain.

Graham Greene, seorang penulis British ada menyatakan bahawa, menulis adalah satu terapi. Mungkin inilah peluang anda untuk menjadi penulis terkenal suatu masa nanti. Mulakanlah daripada sekarang.

10. Rancang masa di luar waktu kerja atau belajar

Seberapa hebatpun anda sebagai seorang pelajar, jangan lupakan mereka yang tersayang iaitu ibu bapa dan keluarga. Jangan abaikan mereka. Ingatlah bahawa syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Tanpa doa dan restu mereka, apapun yang anda lakukan tidak akan berjaya.

Anda perlu ingat, ibu bapa dan keluarga sentiasa ada bersama kita pada masa senang dan susah. Jangan lupa untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. Gembirakanlah hati adik-beradik dan ahli keluarga anda dengan luahan kasih sayang demi keredaan Allah SWT.

Kesimpulannya, tekanan sentiasa ada dalam kehidupan manusia. Tekanan akan menjadikan hidup kita bergerak lebih aktif dan dinamik. Namun begitu, tekanan perlu diuruskan secara berkesan.

Mengurus tekanan dengan baik dianggap suatu seni kreatif demi kelangsungan hidup. Mereka yang gagal mengurus tekanan akan lebih cepat pupus dan tercicir dalam arus perubahan dan pertarungan untuk mencapai kecemerlangan sama ada di dunia mahupun akhirat.

Hanya individu yang sabar dan tekun akan meniti masa dengan tindakan yang terancang seterusnya mampu bertahan dalam menghadapi cabaran. Hidup ialah cabaran yang perlu ditakluki sepenuhnya.

Selamat meneruskan perjuangan dalam mencari kecemerlangan ilmu.

~ Skor
10 Cara Mengendalikan Stres (Tekanan) Utk Pelajar

2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

K,tapi Saya ada masalah dgn guru dan rakan-rakan disekolah.saya stress gila.mereka tu amat benci dgn Saya hanya kerana Saya pendiam dan kurang kawan.macam mane nak buat?,*nadiea,#

Tanpa Nama berkata...

terima kasih. these help me to handle my stress especially when the exam was arund the corner. -Aimi-

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.