Punca Menitiskan Air Mata

Share on Tumblr
Wanita Menangis...Lelaki Pun Menangis

Sibuk kita redakan kawan yang teresak-esak kerana ditinggalkan kekasih sedangkan kita tak sedar air mata itu lebih besar nilainya untuk dititiskan mencerminkan rasa syukur. Kali ini dikongsi jenis tangisan yang acap kali dilakukan remaja.

Air mata dengan anak muda macam kawan baik. Kebiasaannya golongan gadis yang lebih sinonim dengan episod air mata. Ada saja punca dan sebab yang membuatkan mereka tanpa segan-silu menitiskan air mata.

Alasannya hampir sama jika ditanya kepada 100 gadis. Menangis kerana sakit hati dengan percintaan dan mereka lebih mudah berkongsi babak air mata apabila tersentuh dengan sesuatu perkara.

Hakikatnya, gadis memang sensitif dan mereka lebih mudah tersentuh bukan saja pada keadaan atau sekeliling yang boleh membuatkan air mata menitis, sebaliknya apa saja yang mampu mengundang sayu di hati.


perempuan menangis

Mengikut satu kajian yang dilakukan dalam sebuah blog ke atas golongan remaja lelaki, mereka lebih terdedah untuk menitiskan air mata apabila seorang diri. Mereka akan mengambil masa untuk berfikir, seorang diri, bermain dengan imaginasi dan kemudiannya baru menangis.

Tidak kira apa saja puncanya, lelaki tidak muda untuk menangis melainkan ada sebab dan pengaruh tersendiri.

Contohnya ditinggalkan kekasih, lelaki tidak akan lekas menangis. Sebaliknya apabila berada di rumah, seorang diri mengenangkan semula kesilapan dan kesan atas hubungan yang putus, barulah rasa sedih dan air mata mula bergenang.

Berbanding golongan wanita, mereka sensitif dan perasaan itu terus bertindak balas dengan memberikan reaksi spontan. Air mata terus menitis sebelum sempat keputusan diambil. Itulah wanita.

Namun ia bukanlah sesuatu yang pelik atau tidak baik, sebaliknya rasa sensitif golongan wanita adalah identiti yang sudah lama tercatat, kaum hawa lebih mudah tersentuh berbanding lelaki yang jiwanya lebih kental dan keras.

Gadis juga ada yang keras hati dan tidak mudah menangis. Tapi perlu diketahui, sekeras mana jiwa wanita itu, egonya tumpas dengan air mata sendiri.

Mungkin tidak di luaran atau di depan orang lain, namun seseorang wanita tidak boleh menipu diri sendiri. Air mata mereka akan tetap mengalir jika tersentuh walaupun cuba ditahan sekuat mana.

Bagaimanapun ada juga golongan lelaki yang mudah menangis terutamanya apabila mereka mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga, anak kesayangan ibunya dan jenis yang gemar kedamaian.

Lelaki jenis ini akan mudah menangis bukan pada cinta atau kekasih sebaliknya mereka lebih cepat sensitif kepada keadaan membabitkan keluarga ataupun kejayaan seseorang.

Ramai juga lelaki yang tidak mahu diketahui umum sikapnya yang mudah menangis kerana bimbang akan dilabel tidak `jantan'. Persepsi itu adalah mentaliti mundur yang menceritakan personaliti seorang lelaki sebagai gagah.

Perlu diketahui, menitiskan air mata atas penyesalan dan kekecewaan adalah sesuatu yang maskulin untuk lelaki. Kepada gadis-gadis yang kepingin mencari pasangan hidup, lelaki jenis ini adalah mereka yang akan memimpin kebahagiaan.

Mengikut agama, memetik kata Ibnu Qayyim, ada 10 jenis tangis dan setiap satunya berbeza definisi. Antaranya menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati, menangis kerana takut, menangis kerana cinta, menangis kerana gembira, menangis kerana menghadapi penderitaan, menangis kerana terlalu sedih, menangis kerana hina dan lemah, menangis untuk mendapat belas kasihan orang, menangis kerana mengikut-ikut orang menangis dan akhir sekali, menangis orang munafik yakni berpura-pura menangis.

Oleh Murshid Eunos
Punca Menitiskan Air Mata

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

bagusnyee

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.