Kenangan cinta monyet

Share on Tumblr
Nostalgia cinta monyet

Perasaan terjebak dengan cinta monyet seperti menaiki rollercoaster. Ada kalanya ia membuatkan kita rasa seolah-olah terbang di awangan namun ada ketika seperti diseksa akibat cemburu buta. .

Siapa yang tidak pernah terperangkap dengan cinta monyet? Boleh dikatakan, kesemua kita pernah mengalaminya. Bila diingat kembali, pahit manis cinta monyet boleh buatkan kita senyum sendiri. Lebih banyak kenangan lucu daripada pahit.

Umum mengetahui cinta monyet adalah istilah formal yang bererti perasaan cinta terjadi antara sepasang anak muda dalam lingkungan usia remaja mahupun kanak-kanak. Istilah ini juga digunakan sebagai kata sindiran kepada seseorang yang kurang mencintai pasangannya.

Perasaan malu sebelum timbulnya rasa suka atau disebut `crush' ini turut diertikan sebagai rasa cinta seorang remaja atau kanak-kanak membabitkan faktor usia. Sebagai contoh, seorang murid suka kepada gurunya ataupun jatuh hati dengan pelajar `senior'. Dalam hal ini, cinta monyet boleh juga digambarkan sebagai cinta yang tidak akan mendapat balasan.

Biasanya perasaan cinta pada usia muda disebut sebagai hubungan yang tidak kekal lama kerana rasa sayang dikaitkan dengan cinta monyet itu sendiri bersifat sementara dan cepat hilang. Namun istimewanya, ada sesetengah kes cinta monyet ini berakhir ke jenjang pelamin.

Adakah cinta monyet dikategorikan sebagai cinta pandang pertama? Mungkin ya dan mungkin tidak. Kadangkala hubungan ini datangnya daripada perasaan suka yang melampau hingga menyebabkan kita keliru sama ada rasa itu suka atau cinta.

Selalunya, apa yang kita nampak pada pandangan pertama adalah kecantikan, ketampanan, kebaikan, keayuan, kesopanan dan bermacam lagi sifat yang dibentuk daripada pandangan pertama. Pandangan positif tanpa ragu-ragu ini menyebabkan kita suka kepada seseorang dengan tidak mengambil kira hati budi, sifat sebenar, kelakuan dan aspek lain. Menurut kajian, 60% cinta monyet berlaku semasa kita bersekolah rendah.



Fasa paling sinonim dengan cinta monyet adalah ketika zaman sekolah rendah. Kenyataan ini disokong dengan kajian membuktikan, 60 peratus cinta monyet berlaku semasa kita dalam lingkungan usia tujuh hingga 12 tahun.

Pada peringkat ini dikatakan kita mengalami kejutan budaya kerana mengenali ramai kenalan baru dan bergaul dengan semua peringkat umur. Dan mula timbul perasaan ingin mencuba untuk berpasangan dengan mengenali seseorang lebih daripada sekadar teman biasa.

Dalam masa kita melayan cinta monyet, perasaan akan berbunga-bunga setiap masa kerana ia adalah kali pertama kita berasa sebegitu. Cara setiap remaja berbeza dalam menghadapinya, ada yang cenderung untuk diam dan pasif malah ada yang agresif. Hal ini dipengaruhi keperibadian seseorang serta keadaan persekitaran.

Peredaran zaman juga sedikit sebanyak mempengaruhi corak cinta monyet. Jika dilahirkan zaman 70-an atau 80-an, kemungkinan cara anda berkenalan berbeza dengan era sekarang yang kebanyakannya melalui media sosial. Tidak terkecuali juga pergaulan dulu lebih tersipu-sipu malu dan terbatas berbanding anak remaja sekarang.

Ikuti pengalaman beberapa remaja yang menceritakan kembali detik manis mereka melayan cinta monyet di zaman remaja.

Ada posmen karat

Mohamad Firdaus Abd Rahim, 25

"Cinta pertama saya agak lewat iaitu zaman sekolah menengah. Kami bukannya rakan dari satu sekolah tapi dia tinggal berdekatan kawasan rumah saya. Waktu dulu bukan macam sekarang, pengaruh Internet masih baru, jadi setiap petang bila ada masa terluang saya akan keluar meronda di sekitar kawasan berdekatan.

"Saya kenal dia waktu bersiar-siar dengan kawan. Sekali pandang sudah terpikat. Mungkin sebab penampilan dia lain daripada awek di kawasan itu kerana bertudung labuh, jadi perasaan nak kenal membuak-buak. Selepas bertegur sapa dua tiga kali, kami berkawan dan akhirnya `bercinta'.

"Ada beberapa perkara yang tak boleh lupa waktu kami berkawan. Contohnya, waktu itu saya tak ada telefon bimbit. Jadi kami berhubung melalui surat. Bukannya dipos ke rumah tapi adik dan kakak dia yang jadi orang tengah selaku `posmen karat'," katanya.

Dikejar anjing

Nor Shafiq Shahar, 29

"Saya berkenalan dengan awek cinta monyet saya iaitu Yuslinda dengan cara yang cukup menenangkan hati. Disebabkan kami selalu pergi ke kelas mengaji bersama-sama setiap hari, makin lama saya tengok dia jadi makin suka. Supaya tak terlepas ke tangan orang lain, saya pun luahkan perasaan cinta.

"Waktu itu baru berumur sembilan tahun. Kami sebaya dan lagi `best' sebab sama hobi. Suka buat aktiviti lasak sampaikan ada satu ketika kami merayau jauh dari kawasan rumah dan melalui kawasan perumahan Cina. Ada anjing terlepas dan kejar kami. Berlari sambil pegang tangan, memang `sweet' bila kenang balik waktu itu.

"Kami berpasangan tak lama sebab saya termakan hasutan kawan. Mereka beritahu dia ada kawan lelaki baru yang lebih tampan, saya jadi marah, cuma tak bercakap dan hari berikutnya, ke kelas mengaji secara berasingan. Saya tak menyesal walaupun akhirnya sedar, kawan cuma menghasut saya tinggalkan dia atas dasar cemburukan kami yang terlalu comel bila bersama," katanya.

Skuter daya penarik

Norhidayanti Zaim, 29

"Saya masih berkawan dengan si dia hingga ke hari ini. Selama dua tahun kami berpasangan dari tingkatan dua, dia ajar saya banyak benda baru. Mungkin usia kami sudah matang waktu itu, jadi hubungan itu boleh dikatakan agak serius.

"Mulanya, saya suka tengok gaya dan penampilan sebab dia seorang yang bersahaja dan `good looking'. Bila dapat tahu dia mempunyai skuter, terus minat bertambah-tambah sebab ketika itu, skuter menjadi `trend' anak muda.

"Kami belajar di sekolah sama, tak sangka pula dia pun `usha' saya dari jauh. Apabila kawan beritahu dia sampaikan salam pada saya, kami mula bertegur sapa dan mula berkawan rapat. Tak sangka pula, tempoh dua tahun itu mencipta nostalgia sendiri dalam hidup saya.

"Saya anggap ini adalah cinta monyet sebab ia cinta pertama saya dan tak berpanjangan. Apabila saya pindah sekolah, saya dapat tahu dia `couple' dengan orang lain," katanya.


Source: HM
Apr 23, 2013
Oleh Shuhada Mansor
Kenangan cinta monyet

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.