Restu Percintaan

Share on Tumblr
Restu cinta   

Soal kahwin bukan perkara main-main. Ada insan senang jodohnya dan berkahwin tanpa halangan. Ada pula yang liat jodohnya berusaha cari pasangan tidak bertemu yang sesuai. Ada juga sudah jumpa pasangan, ibu bapa pula tidak merestui atas pelbagai alasan, lantas niat ke jenjang pelamin musnah.

Tidak kurang sebilangannya nekad melarikan diri bersama kekasih berkahwin di luar daerah atau sengaja merajuk keluar rumah sebagai tanda protes. Alam percintaan semuanya indah belaka, sanggup buat apa saja untuk kekasih sehingga ada sanggup menderhaka kepada ibu bapa. Apa saja nasihat ibu bapa, rakan atau sanak saudara langsung tidak diendahkan.

Remaja melarikan diri kerana bahang cinta ini juga antara kejadian lazim mewarnai kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendapati bahana cinta punca kes kedua tertinggi remaja lari dari rumah.

Sebagai contoh, perangkaan pada 2010 memperlihatkan sebanyak 1,309 kes lari dari rumah direkodkan kerana mengikut kekasih.

Apa juga ceritanya, perkara penting isu perkahwinan sewajarnya dijadikan matlamat utama kepada semua pasangan sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Untuk mendapatkan keberkatan, restu ibu bapa adalah aspek yang tidak seharusnya dipandang remeh.

Asas pilih menantu

Ketua Kaunselor Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Norazman Amat, berkata sebagai anak perlu mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ibu bapa mengenai calon suami atau isteri mereka sebelum berkahwin.

Katanya, tidak saja anak dan ibu bapa seharusnya mempunyai sifat toleransi dan saling memahami kehendak serta cita rasa masing-masing sebelum termetrai ikatan perkahwinan.

Jika, calon pilihannya ditolak, anak perlu akur dan mengambil manfaat daripadanya bukannya membelakangkan mereka kerana ada sebab Allah melarang berbuat begitu bagi mengelak musibah atau implikasi besar, pada masa depan.

"Patut mengikut hukum syarak apabila mencari jodoh. Empat perkara asas ialah melihat kepada keturunan, harta, rupa paras dan paling penting, agama.

"Walaupun tidak elok paras rupa tetapi jika berakhlak dan beragama lebih baik. Apabila menolak calon pilihan hati anak dengan alasan tidak sama darjat, tidak elok pekerjaannya, gaji rendah, tidak cantik atau berkereta kecil, itu lebih bersifat emosi.

"Anak wajar menawan hati ibu bapa bagi memastikan calon suami atau isteri diterima semua pihak. Malah, bakal menantu pula, jika terpaksa berlakon sekali pun, berlakonlah, asalkan dapat bersama pilihan dan cinta hati kekal hidup sepanjang hayat.

"Bagaimanapun, berlakon bukan bermaksud palsu atau tidak menjadi diri sendiri malah ia tidak pun salah apabila keadaan terpaksa. Lama-kelamaan lakonan itu akan menjadi satu budaya dalam diri mereka," katanya.

Fahami situasi anak

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu faham situasi anak yang sedang hangat bercinta dan perlu ada toleransi demi kebahagiaan mereka.

Ibu bapa juga tidak seharusnya cepat sangat membuat keputusan apabila ada perkara tidak berkenan di mata mereka, sebaliknya perlu kenali lebih mendalam bakal menantu demi mencapai situasi menang-menang antara mereka dan anak.

Katanya, mungkin ada ciri-ciri tertentu yang baik dan boleh diterima.

"Dalam kes tertentu, jika ada ibu bapa masih berdegil dan tidak merestui perkahwinan seperti enggan menjadi wali, sebenarnya ada peruntukan undang-undang, iaitu anak boleh mendapatkan permohonan daripada mahkamah syariah untuk mendapatkan wali hakim.

"Bapa yang tidak mahu mewalikan pernikahan itu, mereka akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan sebelum alasan munasabah diterima pakai dan menggunakan kuasa mahkamah untuk mengizinkan pengantin menggunakan wali hakim.

"Dalam apa saja situasinya, semua pihak mahukan perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan berjalan lancar dan tidak wujud pelbagai masalah. Oleh itu, mereka perlu mencari jalan penyelesaian terbaik demi mencipta perkahwinan yang terindah," katanya.

Panduan memilih pasangan

* Keturunan

* Harta

* Rupa paras

* Agama

1) Apa ibu bapa perlu lakukan

* Kenali calon menantu terlebih dulu sebelum menilai secara luaran

* Berbincang sekiranya calon yang dibawa tidak berkenan di hati

* Bertolak ansur dan toleransi dengan anak

* Terima seadanya tanpa mengenepikan hukum syarak sebaliknya terlalu mengikut emosi

* Anggaplah menantu seperti anak sendiri yang memerlukan didikan dan bimbingan.

* Apabila menunjukkan akhlak yang baik dalam keluarga, secara tidak langsung ia turut memberi contoh kepada anak dan menantu supaya berakhlak baik

2) Apa anak perlu lakukan

* Berbincang dengan kedua ibu bapa

* Membawa pulang berjumpa keluarga dan berkenal-kenalan

* Bercerita mengenai perkara yang baik mengenai calon isteri atau suami

* Memilih calon pasangan berlandaskan Islam 3) Apa menantu perlu lakukan (lelaki atau perempuan)

* Perlu mengetahui latar belakang keluarga pasangan terlebih dulu

* Berpakaian sopan dan menutup aurat

* Ringan tulang

* Berbudi bahasa dan bijak mengambil hati

* Sering bertanya khabar bagi mewujudkan keserasian antara bakal mentua dan menantu.

REAKSI

"Memilih jodoh boleh dianggap perkara yang subjektif kerana membabitkan soal perasaan, emosi, kesesuaian, restu ibu bapa dan lain-lain aspek. Semua bangsa walau apa saja anutan agama dan budayanya, menghormati ibu bapa dan mendapat restu daripada kedua-duanya sangat dituntut untuk menjadikan perkahwinan lebih bermakna, diberkati dan dilimpahi rahmat-Nya"

Faizal Harun, Penyunting majalah.

"Ada sebab kenapa ibu bapa tidak restu. Bagaimanapun, perlu beri penjelasan. Mungkin ada sebab tertentu mereka menolak. Jika boleh dapatkan jawapan yang memuaskan hati kita. Apabila alasan yang diberikan tidak boleh diterima, tiba masanya pertahankan pilihan itu. Ada juga ibu bapa yang membuat keputusan berdasarkan ego dan kuasa veto sebagai ibu bapa. Jika mereka berfikiran terbuka, Insya-Allah akan jumpa titik penyelesaiannya"

Khairul Iman Abdul Razak, Eksekutif.

"Perkahwinan tanpa restu keluarga ada kalanya boleh memakan diri kerana restu ibu bapa amat penting bagi menjamin keharmonian rumah tangga yang akan kita bina. Mungkin kita boleh mengikut kata hati, tetapi biasanya akan tewas juga dengan pelbagai dugaan nanti. Ibu bapa juga kena buang ego terutama seperti mementingkan darjat kedudukan dan ebih positif supaya anak dapat mengecapi kebahagiaan. Sokongan ibu bapa dan nasihat menyumbang kepada kerukunan rumahtangga"

Hud Nahquidin, Pegawai Perhubungan Awam.

"Ada kes calon isteri atau suami seorang yang baik, berbudi bahasa dan cukup didikan agama, tetapi sesetengah ibu bapa masih lagi menentang kerana bakal menantu daripada bangsa dan agama berlainan. Kadang kala anak bertemu jodoh dengan bukan sebangsa sendiri. Apabila mahu berkahwin, ibu bapa pula tidak restu. Banyak cara boleh dilakukan bagi menyelamatkan hubungan itu, cuma mereka perlu bijak mempertahankan calon pilihan hatinya. Banyakkan berdoa. Jika ada jodoh walaupun ibu bapa tidak setuju, mungkin kemudian hari Allah buka hatinya untuk menerima ahli baru dalam keluarga"

Fazlynn Azrul Raj, pekerja swasta.
Restu Percintaan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.