Isu LGBT ( Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual)

Share on Tumblr
Isu LGBT atau Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual adalah isu seksualiti yang hangat dibincangkan masa kini. Kebanyakan remaja sangat berminat berkaitan isu ini kerana LGBT mula menonjol pada waktu umur remaja. Pada peringkat umur ini, remaja masih belum cukup matang dan masih tercari-cari identiti diri.

Transeksual boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu;

- Penkid

Penkid adalah seorang perempuan yang merasakan dirinya terperangkap dalam jantina yang salah iaitu dia merasakan dirinya yang sebenar adalah seorang lelaki.

- Mak Nyah

Mak Nyah adalah seorang lelaki yang menganggap dirinya yang sebenar sebagai seorang perempuan.

Ciri-ciri seseorang mempamerkan diri sebagai seorang transeksual boleh bermula seawal kanak-kanak lagi tetapi mula menonjol dengan jelas apabila mereka remaja. Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah;

- `cross dressing' iaitu memakai pakaian seperti jantina yang berlawanan.

- Berlagak dan berminat pada perkara yang biasa dilakukan oleh jantina diingininya. Contohnya, seorang penkid akan memotong rambut pendek, memakai seluar, kemeja dan kasut lelaki, berjalan dan bercakap kasar serta berminat dengan sukan lasak seperti lelaki.

Ciri utama yang jelas pada transeksual adalah mereka membenci organ seksual mereka iaitu penkid membenci payudara dan alat kelaminnya serta mempunyai keinginan untuk menukar jantina secara pembedahan.

Dari segi kesihatan pula, keinginan untuk menukar jantina yang semula jadi boleh mendatangkan kesan dari segi fizikal dan emosi. Penkid akan cuba menyorokkan payudara dengan membongkokkan bahu dan atau memakai bengkung. Kesan fizikal yang negatif pada badan akibat perbuatan ini ialah;

- Sakit belakang akibat selalu membongkok. Jika remaja melakukannya secara berterusan sehingga dewasa, ia boleh menyebabkan bongkok yang berkekalan atau kyphosis.

- Memakai barut yang berpanjangan di dalam cuaca panas boleh menyebabkan masalah kulit seperti kegatalan dan ruam yang berpotensi dijangkiti kuman atau kulat. Selain itu ia boleh mengakibatkan sakit bahu, leher dan belakang. Jika terlalu ketat, ia menyebabkan pernafasan menjadi tidak selesa dan perjalanan darah tidak lancar.

Cara lain dengan menggunakan coli sukan yang khas untuk meleperkan dada juga mempunyai kesan sampingan yang sama, tetapi kaedah ini jarang digunakan kerana harganya mahal.

Kurangkan sifat feminin

Untuk mengurangkan sifat feminin dan meningkatkan sifat kelakian, sesetengah penkid mengambil hormon testostron. Hormon ini boleh didapati dalam bentuk pil, krim sapuan, tampalan dan suntikan. Testoseron menyebabkan haid berkurangan atau terhenti, pertumbuhan lebih banyak bulu badan terutama di muka, suara menjadi parau (pada jangkamasa panjang), meningkat nafsu syahwat dan otot menjadi lebih besar.

Ubatan jenis hormon lain juga boleh digunakan untuk memberhentikan haid. Pengambilan hormon dalam jangkamasa yang lama akan menyebabkan masalah kesukaran untuk mengandung pada masa akan datang. Namun, selagi pembedahan pembuangan ovari dan rahim tidak dilakukan, seorang penkid masih mampu untuk hamil, walaupun pernah mengambil hormon berkenaan.

Dari segi emosi pula, mereka akan mengalami banyak masalah sosial yang secara langsung akan mengundang kepada masalah mental. Ini adalah kerana, transeksualisme tidak diterima oleh masyarakat secara amnya, bertentangan dengan agama dan budaya setempat serta undang-undang tidak membenarkan penukaran jantina.

Reaksi negatif dan pandangan serong terhadap remaja penkid oleh keluarga, rakan dan masyarakat akan menyebabkan mereka mudah resah, murung, mengasingkan diri atau bertindak liar kerana memberontak. Ini meningkatkan lagi risiko mereka untuk terjebak dengan penyalahgunaan alkohol dan dadah.

Penkid akan jatuh cinta dengan perempuan, maka di sini akan menimbulkan isu homoseksualiti pula. Seperti kebanyakan pengamal homoseks, hubungan intim atau percintaan mereka tidak dapat dipertahankan dalam jangkamasa yang lama, sekaligus menimbulkan kekecewaan yang berulang-ulang yang akan menambahkan lagi masalah mental.

Luar boleh tukar, dalam tetap sama

Remaja yang ingin berjinak-jinak dengan kehidupan sebagai penkid mesti berfikir panjang dan mendapatkan runding cara dengan pakar seperti kaunselor atau doktor. Ketahuilah bahawa setiap orang adalah makhluk seksual sejak dilahirkan sehingga ke akhir hayat, di mana jantina seseorang itu ditentukan oleh Tuhan.

Mengubah bentuk badan hanyalah menukar rupa luaran saja, hakikatnya, jantina dan organ seksual tetap sama. Dalam proses mengubah bentuk luaran, kesan sampingan dari aspek perubatan boleh berlaku yang kadangkala membahayakan.

Hormati hak orang lain

Memang setiap orang berhak mempamerkan seksualiti masing-masing mengikut kehendak sendiri. Tetapi hak itu juga merangkumi menghormati perasaan orang lain, adat budaya dan undang-undang tempat tinggal.


Maka wajarlah remaja untuk menimbangtarakan antara hak seksualiti sendiri dengan hak orang lain untuk dihormati perasaan mereka (anggota keluarga dan masyarakat), agama dan undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, remaja sememangnya masih belum cukup matang dan mudah keliru dengan seksualiti atau identiti seksual mereka, maka mudah terikut- ikut dengan rakan yang mengamalkan budaya transeksualiti atau homoseksualiti.

Contohnya, seorang remaja perempuan yang pernah didera secara seksual ketika kanak-kanak akan berasa tidak selamat dengan lelaki, maka akan cuba untuk menjadi lelaki agar mereka tidak lagi diganggu apabila meningkat remaja dan dewasa. Oleh itu dapatkan sokongan atau bantuan dari orang yang pakar dalam bidang ini.

Sebarang kemusykilan atau inginkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi  kafe@TEEN atau datang sendiri ke sini untuk berjumpa dengan doktor atau kaunselor kami yang mesra remaja.

Mengambil hormon testosteron perlu dilakukan dalam pengawasan doktor kerana ia mempunyai kesan sampingan yang mungkin membahayakan dari sudut kesihatan iaitu

- Kulit menjadi berminyak, maka menyebabkan jerawat

- Kekeringan faraj

- Keguguran rambut dan kebotakan bercorak lelaki (male pattern baldness)

- Perubahan distribusi lemak pada badan iaitu lemak tertumpu di dalam perut

- Sakit kepala atau migrain

- Memekatkan darah lalu mengganggu peredaran darah

- Meningkat risiko strok, darah tinggi dan diabetes jika diambil dalam jangkamasa panjang

- Masalah mental

Oleh Nadia Hamid (BH)
Isu LGBT ( Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual)

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.