Bagaimana Kejayaan Dapat Dicapai?

Share on Tumblr
KEJAYAAN: SIKAP ATAU KEBOLEHAN?

"Your attitude, not your aptitude, determines your altitude." - Zig Ziglar Semua Orang Ingin Kejayaan

Setiap insan di dunia ini ada matlamat dan impian. Tua atau muda, lelaki atau wanita, putih atau hitam, kaya atau miskin, semuanya inginkan kehidupan yang terbaik pada masa depan. Kehendak itu fitrah dan naluri setiap individu. Jika anda tidak memilikinya, anda termasuk dalam golongan berpenyakit jiwa.

"Berbahagialah mereka yang hari ini lebih baik daripada semalam. Esoknya lebih baik daripada hari ini. Rugilah mereka yang hari ini sama seperti semalam sama seperti hari ini. Dan, celakalah merekalah yang hari ini lebih buruk daripada semalam dan esoknya lebih buruk daripada hari ini. (Maksud Sabda Nabi Muhammad SAW).

Ertinya, ingin berjaya ialah sebahagian daripada tingkah laku manusia. Kehendak itu bukan dibuat-buat. Harapan itu bukan datang daripada emosi. Kita memang dicipta Allah untuk berkeinginan tinggi dan sentiasa memperbaiki diri menjadi lebih baik daripada semalam.

Bagaimana Kejayaan Dapat Dicapai?

Bagaimanakah kejayaan hidup dapat dicapai? Ini soalan lazim. Setiap benak insan selalu bertanya soalan ini.

Bagaimanakah boleh saya berjaya. Soalan ini bertalu-talu tiba dalam sanubari kita. Spontan dan berterusan.

Jawapannya bergantung kepada bagaimana kita melihat diri kita. Anda lebih kenal diri anda sendiri. Orang lain tidak dapat mengenali anda seperti anda mengenal diri anda. Jawapan paling tepat ada dalam diri anda sendiri.

Walau apa pun jawapan, hakikatnya semua orang boleh berjaya. Anda juga boleh berjaya dan cemerlang. Dalam pelajaran anda, dalam peperiksaan anda, dalam kerjaya anda dan dalam kehidupan anda pada masa depan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Sikap atau kebolehan?

Saya selalu bertanya kepada pelajar yang mengikuti kelas motivasi saya. Bagaimanakah mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan? Mereka akan memberikan berbagaibagai jawapan. Semua jawapan mereka tepat dan betul. Ertinya semua mereka tahu cara untuk berjaya. Jawapan mereka itu pula, secara spontan boleh kita bahagikan kepada dua kumpulan - sama ada sikap atau kebolehan.

Namun begitu, jika saya bertanya, antara sikap dengan kebolehan, yang manakah yang lebih utama? Di sini pelajar akan bercanggah pendapat. Pengkaji kejayaan dan pakar motivasi merumuskan jawapannya. Kejayaan itu disebabkan kerana 80 peratus dan 20 peratus kebolehan. Ertinya, untuk berjaya tidak sukar, bukan bergantung kepada kebolehan semata-mata.

Penyakit Orang Pandai

Anda mungkin tidak percaya. Ramai orang pandai semasa di sekolah gagal dalam pelajaran dan kehidupan. Anda juga mungkin tidak percaya, ramai pula mereka yang tidak berapa pandai, tetapi menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran ataupun semasa dalam alam pekerjaan dan kehidupan.

Untuk memahami situasi ini, mudah saja. Sudah pasti anda biasa mendengar kisah klasik pertarungan antara arnab dengan kura-kura. Arnab makhluk yang cepat, pantas dan bijak. Keupayaan itu dilengkapi dengan berkebolehan manakala, kura-kura ialah makhluk yang lambat dan lemah.

Sifat itu mewakili orang yang tidak pandai, kurang kebolehan. Namun begitu dalam pertarungan itu, siapakah yang menang? Jawapannya ialah kura-kura. Pelik ya? Tidak.

Mengapa arnab kalah? Arnab tewas kerana sikap sombong, takbur, mudah leka dan suka memandang rendah kepada orang lain.

Mengapa kura-kura menang? Kemenangan itu disebabkan sifat sabar, merendah diri, tabah, tidak putus asa, yakin diri dan sedar akan keupayaan dan kekurangan dirinya yang sebenar.

Justeru, jika anda sedar diri anda tergolong dalam kalangan mereka yang pandai, bersyukurlah. Berterima kasih kepada Allah, SWT kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan anda. Semua itu turut membantu menjadikan anda pandai. Elakkan satu penyakit yang menimpa orang pandai - sombong, takbur dan mudah leka.

Orang yang tidak Pandai, Ramai yang Berjaya.

Jika anda termasuk dalam kumpulan orang tidak berapa pandai, janganlah kecewa dan mudah putus asa. Anda sebenarnya berpotensi besar untuk menjadi orang yang cemerlang dan hebat pada masa depan. Lazimnya, orang yang tak berapa pandai dilengkapi Allah SWT dengan satu keistimewaan iaitu sikap, faktor inilah yang menjadikan anda berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.

Paling istimewa, jika anda memang dalam kalangan mereka yang pandai dan pintar serta ditambah pula dengan SIKAP yang cemerlang, masya-Allah. Sudah pasti anda akan menjadi insan yang hebat dan luar biasa suatu masa nanti. Andalah yang pasti menjadi tokoh tersohor dunia dalam bidang yang anda pilih, suatu masa nanti. Insya-Allah. Bersyukur dan yakinlah kepada-Nya.

Semua Orang Boleh Berjaya

Kesimpulannya, semua orang boleh berjaya dan cemerlang.

Sama ada anda seorang yang pandai ataupun lemah dalam pelajaran di sekolah. Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Adil. Dia Maha Bijaksana. Jika ditakdirkan seorang itu, tidak berapa pintar, dilengkapi-Nya pula dengan SIKAP yang positif. Jika ditakdirkan kita seorang pandai dan berkebolehan, diberikannya cabaran. Menjaga SIKAP. Oleh itu, cubalah berusaha mengenali diri kita sendiri. Di mana kekuatan dan kelemahan diri. Dari situ kita dapat melangkah masa depan yang lebih tepat dan yakin ke arah KEJAYAAN. Tidak terkecuali ANDA. Untuk berjaya dan cemerlang, jagalah SIKAP. Wallahuaklam.

Sikap pelajar berjaya

1. Taat ibu bapa

2. Hormati guru

3. Tabah dan gigih

4. Rajin dan tekun

5. Bersikap terbuka

6. Sentiasa ingin tahu

7. Proaktif

8. Tidak putus asa

9. Bermatlamat

10. Suka menolong rakan

Sikap pelajar gagal

1. Berfikiran negatif

2. Merasa rendah diri

3. Tidak yakin diri

4. Mudah putus asa

5. Tidak percaya kepada guru

6. Suka bertangguh

7. Berkawan dengan rakan yang negatif

8. Malas, Suka bertangguh

9. Memandang rendah orang lain

10. Terlalu suka hiburan

Peribahasa Sikap Positif

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau

Patah sayap bertongkat paruh, namun aku tetap terbang juga.

Belakang parang pun kalau diasah akan menjadi tajam

Air yang menitik boleh menjadikan batu lekuk dan berlubang

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.

"The heart of the problem is the problem of the heart"



Bagaimana Kejayaan Dapat Dicapai?

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.