Dibuang keluarga kerana dosa zina

Share on Tumblr
Remaja kecewa dibuang keluarga kerana zina
Saya perkenalkan diri sebagai Cinta. Saya mengenali teman lelaki bernama J dari laman sosial. Daripada hubungan sebagai rakan maya hinggalah ke hubungan yang lebih serius.

Kami mula bertemu dua tahun lalu dan kali kedua bertemu pada penghujung tahun yang sama.

Pertemuan pertama membawa kepada bibit-bibit cinta sehinggalah pada pertengahan tahun lalu kami bertemu di satu tempat yang mana kami sendiri rancang. Mulanya hubungan sekadar ringan-ringan dan meleret kepada berat.

Waktu itu juga saya merelakan diri dinodai. Pertama kali saya merelakan diri dinodai, semuanya atas nama cinta. Akhir tahun lalu saya didapati positif hamil.


Saya cuba memberitahu J, tapi jawapannya amat menghampakan dan menghancurkan hati saya. Tergamak dia menyuruh saya menggugurkan kandungan. Sudahlah berzina kemudian dia paksa saya membunuh. Saya enggan dan bertekad menjaga kandungan dengan baik. J sudah melarikan diri. Saya amat kecewa, tapi masih menafikan perasaan kecewa itu.

Sekarang saya sudah melahirkan bayi comel. Bila saya tatap bayi ini, besar dosa yang saya lakukan. Keluarga amat kecewa dengan sikap saya yang terlalu menurut nafsu. Tapi ini juga bukan salah saya seorang kerana hidup saya memang tertekan dan kurang dipedulikan keluarga.

Apakah tiada ruang untuk saya bertaubat? Apakah insan seperti saya terlalu jijik di mata masyarakat. Saya tahu kelemahan dan sedar kekurangan saya.

Dr, saya memang sudah berubah, tapi ibu dan ayah sudah membuang saya dalam kehidupan mereka. Sekarang saya merempat. Apakah kami yang melakukan dosa berzina ini tiada ruang untuk bertaubat?

Terlalu sedih rasanya hati ini. Bayi saya langsung tiada dosa dan dia adalah anugerah daripada Allah. Tidakkah kami yang terlanjur ini diberi ruang atau peluang untuk memberitahu masyarakat bahawa kami memerlukan sokongan?

CINTA,
Kelantan

Wanita Menangis

Jawapan

DR empati dengan Cinta. Betapa sukarnya kehidupan apabila musibah hebat tidak mendapat sokongan orang yang amat disayangi seperti keluarga. Secara psikologi, setiap individu ingin mempunyai rasa dihargai, dipunyai dan disayangi.

Apabila adik tidak mendapat rasa kasih sayang, kepunyaan dan penghargaan, memang Dr faham akan kesedihan adik. Jiwa adik kosong sehingga ada kalanya seperti hanya badan saja yang wujud, jasadnya sudah hilang.

Mengenai sikap keluarga yang membuang adik, lumrahnya hati keluarga akan terluka apabila mengetahui anak yang disayangi dan dipelihara sebaik-baiknya melakukan sesuatu yang dianggap memalukan.

Setiap ibu bapa mempunyai keinginan supaya anak-anak mereka menjadi manusia yang soleh, taat dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Sememangnya setiap ibu bapa pasti menginginkan hanya yang terbaik terhadap anaknya.

Justeru, apabila adik 'tersilap' dalam langkah kehidupan, secara psikologi dan realiti, keluarga berasa rasa kasih sayang dan penghargaan yang mereka berikan sudah dikhianati. Kepercayaan semakin hilang dan pupus hingga timbul satu perasaan untuk tidak mengambil berat terhadap adik. Secara psikologinya, perasaan mereka adalah lumrah.

Hati keluarga yang terluka boleh diubati melalui faktor masa dan perubahan tingkah laku adik. Ruang masa perlu diberikan kepada keluarga untuk mereka bersedia menerima adik kembali. Selain itu, ia perlu diiringi dengan perubahan diri yang bersungguh-sungguh membuktikan adik tidak lagi terbabit dengan perlakuan zina.

Buangkan sikap putus asa untuk menghubungi mereka dengan rasa rendah diri dan penyesalan. Selalunya, perbuatan baik yang berulang-ulang kali akan menjadi lazim sehingga boleh menjadi peneguhan positif. Ini bermaksud jika adik melakukan perkara baik kepada keluarga berulang kali, insya-Allah Dr doakan keluarga akhirnya akan dapat menerima adik kembali.

Hidup Cinta penuh dengan dugaan dan ujian. Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan menimpa Cinta mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu.

Hikmah itu kadangkala manusia sedari selepas sesuatu ujian yang menimpa atau langsung.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (Surah al-Mulk 67 : 2)

Dalam menjalani ujian atau musibah yang melanda diri, manusia sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh reda. Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketakwaan dan kebijaksanaan.

Dalam kitab Jami al-Tirmizi disebutkan, Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah". (http://www.ikim.gov.my).

Persoalan sama ada apakah tiada ruang untuk adik bertaubat dan apakah insan seperti adik terlalu jijik di mata masyarakat boleh dijawab seperti berikut.

Sebagai manusia, kita suka lupa atau salah. Namun manusia yang baik itu bukan yang tidak pernah melakukan kesalahan, tapi orang yang baik itu mereka yang segera sedar dan Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Taubat adalah kembali kepada Allah SWT selepas melakukan maksiat. Taubat adalah rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar mereka dapat kembali kepada-Nya. Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa daripada ampunan Allah betapa pun dosa yang diperbuat manusia.

Bahkan Nabi Muhammad s.a.w membenarkan hal ini dalam sebuah sabdanya yang berbunyi: "Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (daripada kesalahan tersebut)."

Begitu juga, seperti terung-kap dalam hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Musa Al-Asy`ari: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan pada malam hari sampai matahari terbit dari barat."

Adik juga perlu mencari sokongan pihak yang dapat membimbing ketika ini. Jika adik ikhlas untuk berubah, pasti akan ada sinar kebahagiaan dalam hidup.


Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon
Dibuang keluarga kerana dosa zina

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.