Surat Cinta Untuk Si Manis

Share on Tumblr
Pesanan Buat Seorang Suri dan Miss Single

Kepada si manis wanita peliharaan ALLAH S.W.T,

Mengapa dirimu sering bersedih dengaan ujian yang sedang dilalui? Mengapa matamu yang jernih itu sering dibasahi air mata untuk seseorang yang tidak akan mendatangkan manfaat kepadamu?

Janganlah dibazirkan air matamu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah telah lupakepada Pemilik nyawa?

Sekarang... pejamkan mata dan rasailah gerak hati yang bersih. Dapatkah dirimu rasakan yang DIA bersama dan sedang memujuk dan memelukmu bersama dengan kalimah- kalimah suci yang terangkum menjadi satu kitab cinta umat Islam yakni al-Quran? Ingatlah... dirimu tidak pernah keseorangan tatkala berasakan dunia ini meminggirkanmu.

Ingatlah si manis, saat dunia memandang lemah dan mengenepikanmu, ALLAH S.W.T masih kekal bersama. Senafas pun ALLAH S.W.T tidak meninggalkanmu. Tidakkah dirimu berasa begitu istimewa? Selangkah dirimu mendekati TUHAN, sehasta DIA menghampiri.

Tahukah dirimu bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Setiap manusia itu pasti melalui pancaroba berdasarkan kemampuan. Mengukur kemampuan itu adalah di luar kebolehan insan yakni hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahui.

Anggaplah bahawa ujian itu sebagai tarbiyah agar tidak alpa dalam kehidupan. Kadang kala dirimu berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya. Ada ketika lain dirimu berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri sehingga air mata menitis membasahi wajah yang mulus.

Namun fahamilah hakikat seorang hamba. ALLAH berhak ke atasmu. Suka dan duka tetap menjadi nikmat dan kurnia yang dianugerahkan. Jika ingin mengakhiri kehidupan ini dengan kebaikan maka mulakanlah dengan langkah dengan amalan yang diredhai. Sekiranya memilih untuk menghabiskan sisa waktu dengan keburukan, maka sepanjang kehidupan pasti diselubungi dengan kegelapan sehingga detik nafas yang terakhir.

Tapi ingatlah wahai si manis, ALLAH S.W.T tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, hadapilah ia dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama hamba-NYA yang sabar. Percayalah dengan kata-kata ALLAH S.W.T ini kepada hamba-hamba-NYA,

“ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya TUHAN kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah.”- Al- Baqarah: 286

Si manis juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang  dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu kelak. Malah insya-ALLAH, dirimu akan berdiri cemerlang dengan kehendak-NYA. Ingatlah kepada Yang Khaliq, Maha Pencipta. DIA akan sentiasa berada di sisi tidak kira ketika susah mahupun senang.

Wahai si manis, hentikanlah tangisanmu. Bersihkan wajahmu dengan wuduk supaya nur kebahagiaan kembali terpancar di wajah. Tabah ya, si manis dan teruskan perjuangan dengan penuh keyakinan. Berdoalah kepada ALLAH S.W.T agar membawa pergi dukamu saat titisan air itu mengalir membasahi anggota bagi mensucikanmu.

Raupkan wajah dengan air mutlak bagi menyinari wajahmu yang sendu. Usapi tanganmu serata-ratanya dengan harapan sentuhan-sentuhan lalu yang bergelang dosa dapat disucikan. Sentuhi pula ubun-ubun dengan kejernihan air yang mengalir agar dapat meringankan duka yang sedang membeku dan menyinggahi pundakmu.

Sucikan pendengaran agar dirimu hanya mendengar bait-bait indah yang mampu mententeramkan dan semoga penyucian sebahagian kaki dapat membawa langkah-langkah menuju keindahan syurga. Justeru, ikhlaslah bersimpuh dan bersujud menghadap ALLAH S.W.T, Yang sangat Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hamba-NYA.

Bermula saat ini, berhentilah daripada meratapi nasib kerana rintihan sendu yang meratapi keadaanmu itu datangnya daripada bisikan syaitan durjana. Mohonlah kepada-NYA agar diberi kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup.

Si manis ciptaan ALLAH  S.W.T,

Coretan peringatan ini dibuat untuk dirimu jua wanita-wanita terhebat yang lain. Ingatlah... dirimu dan insan di sekeliling hanyalah penumpang sementara yang diberi pinjaman nafas hidup di dunia ALLAH yang fana ini. Dunia ini umpama perjalanan di dalam hutan yang penuh dengan duri dan berkongsi pula dengan si jinak dan si buas. Kadang kala dirimu akan alpa dengan keindahan dan ketenangannya.

Lupa kepada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika tidak berhati-hati, dirimu akan terluka dicucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Akhirnya, dirimu akan merintih dan mengaduh kesakitan. Menangis dan mengharapkan pertolongan.

Oleh itu... berhati-hatilah kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang dilalui itu atau mungkin menyangkakan si jinak akan terus bermain manja mendekatimu. Hakikatnya, si jinak mampu menjadi buas jika ada yang memujuk menunjukkan kekuatannya.

Mereka hanya menunggu masa untuk menunjukkan kekuasaannya kerana telah terlupa akan status hamba yang dipeganginya. Andai kata dirimu tersilap langkah dan terlalu jujur menilai, tidak mustahil akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu.

Dalam mengharungi hidup yang penuh ranjau berduri, dirimu akan berhadapan dengan masalah yang menyesakkan jiwa dan minda. Tetapi si manis, jangan khuatir... ALLAH kan ada? Lalu berdoalah selalu dan mintalah pertolongan untuk dituntun ke jalan lurus. Benar... masalah itu akan meragut ketenangan hati.

Fikiran disogok dengan kepedihan dan kenangan lalu hingga membawa minda menerawang entah ke mana dan akan membuatkan jiwa tidak pernah tenteram. Waktu itu mulalah fi kiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan mulai timbul. Hati tidak keruan memikirkan masalah. Sebagai insan lemah, Pencipta yang Maha Esa akan mula dilupakan.

Jangan... jangan jadi seperti itu. Jangan dilupa siapa yang mencipta dirimu dan apakah hakikat kehidupan yang sebenarnya sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Pujuklah hati dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya dirimu akan berasa lebih tenang. Jangan menangis lagi ya...

Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.”- Ali Imran:139

Wahai si manis,

Andai jiwamu terhimpit dengan penyesalan, sering berasa gusar di atas kealpaan suatu ketika dahulu bahkan masih terasa diri dipalit dosa-dosa hitam, maka menangislah. Jika dirimu mengalirkan air mata keinsafan, itu lebih bermakna. Cara itu mampu mendekatkanmu dengan-NYA. Mintalah kepada- NYA keampunan dengan sungguh-sungguh. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun.

“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-KU maka AKU mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan AKU tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-KU nescaya KU- ampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-KU dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-KU tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan- KU, nescaya AKU datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula.”-Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah

Jadikan kisah silam sebagai pengajaran yang bermakna. Sematkanlah di dalam hati supaya dirimu tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguhlah kepada tali agama dan ingatlah kepada ajaran Islam.

Percaya dan yakinlah sepenuh hati bahawa ALLAH akan mengampuni dosa-dosa dan mengurniakan maghfi rah buatmu. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Namun, dengan kesilapan jugalah akan menguatkan kita.

Si manis, kenapa harus menunggu esok untuk tersenyum? Kembalilah tersenyum bermula pada saat ini, saat dirimu sedang membaca nukilan bisu ini...

Kita sangat beruntung dilahirkan menjadi seorang muslimah. Setiap gerak tingkah sentiasa ada pedomannya. Walaupun perkara itu kecil, hati akan menjadi sangat senang dan mudah dengan landasan kehidupan yang diberi petunjuk. Bukankah begitu?



Hidup memang ada cabaran. Terutamanya kepada orang yang beriman. Pasti mereka akan diuji. Ini adalah ketetapan ALLAH yang perlu diterima. Walau bagaimanapun, seseorang yang diuji sepatutnya perlu tabah dengan sebarang ujian. Kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan harta benda dan kematian kerana ALLAH itu lebih berhak atas segala- galanya. ALLAH ingin menguji cinta hamba-NYA adakah setebal cinta-NYA kepada hamba-NYA.

Yakinlah bahawa ALLAH S.W.T itu Maha Melihat dan Maha Mendengar. Tiada satu pun yang akan tersembunyi dan terlupa kerana DIA menjadi saksi kehidupan ini. Hidup akan terus berjalan meski penuh dengan tangisan sehingga sampai waktunya. Ingat... DIA tidak akan membebankan setiap hamba dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh hamba-NYA. Pasti tidak!

Kembalilah untuk tersenyum dan tabah dengan ujian. Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi berpahat kukuh. Pesan terakhir, jangan lupa untuk bersolat dan bersujud sepenuh hati kerana di situlah punca kedamaian dan kebahagiaan. Bersedialah untuk mengejar cantiknya ufuk fajar sebelum ia terbenam dan tidak muncul kembali...

~ Siti Farrah Shahwir & Noraini Ismail
Surat Cinta Untuk Si Manis

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

saya suka

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.