Dosa popular di hari raya

Share on Tumblr
Seperti kebiasaan,Aidilfitri disambut meriah dengan tradisi bermaaf-maafan serta ziarah menziarahi antara satu sama lain.

Tradisi ini sebenarnya satu ibadah yang sangat digalakkan serta sebagai tanda meraikan kemenangan setelah berpuasa pada Ramadan.

Anas RA menceritakan, bahawasanya ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Namun hari raya juga selalunya lubuk yang mengundang kepada dosa secara sedar dan tanpa kita sedari.

Hari raya sepatutnya menjadi hari untuk mendapat keredaan daripada Allah dan bukan kemurkaan-Nya. Mari kita bermuhasabah serba sedikit mengenai dosa popular yang sering diamalkan masyarakat kita ketika menyambut hari raya.

* Bersentuh-sentuhan

Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Hari raya sering dijadikan 'lesen' untuk lelaki dan perempuan bukan mahram bersalam-salaman dan bersentuhan antara satu sama lain.

Bersentuhan antara lelaki dan perempuan adalah haram dan tiada pengecualian pada hari raya. Namun ia semakin dilihat sebagai perkara biasa dalam konteks masyarakat hari ini.

* Aurat antara ipar

Perkara ini juga sering dipandang ringan kebanyakan umat Islam. Perkahwinan abang, adik atau kakak ipar dengan adik beradik kita tidak menyebabkan aurat kita, terutama wanita, 'halal' untuk dipandang ipar duai kita. Misalan adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah, sedangkan abang iparnya berada di situ.

Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

Apatah lagi pada musim perayaan, semestinya ramai berhimpun di rumah dan kita hendaklah konsisten dalam menjaga amanah yang diberikan Allah ini.

* Wangian wanita

Golongan wanita memakai wangian dan solekan ala artis pada musim perayaan sebelum keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram. Kadangkala dari jauh lagi kita boleh menghidu bau wangi-wangian yang dipakai secara berlebih-lebihan ini.

* Pakaian wanita

Ini antara perkara yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini. Lebih malang lagi apabila mereka memakai pakaian yang memperlihatkan susuk tubuh dengan sempit dan nipis ketika bertandang.

Tidak hairan, hari raya bukan saja hari untuk kita menikmati santapan pelbagai juadah makanan, malah menjadi santapan mata yang mengundang dosa.

* Meninggalkan solat

Meninggalkan solat pada hari raya kerana terlalu sibuk berhari raya adalah sesuatu yang sangat malang.

* Dosa bertempoh

Hari raya juga umpama hari membalas dendam terhadap dosa yang ditahan dan ditinggalkan pada Ramadan. Malah, memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadan.

Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadan, maka Syawal bolehlah bergaduh kembali.

Selain itu, Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat seperti bersyahwat melalui telefon atau 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, malangnya dibuangnya jauh-jauh.

Itu antara dosa yang sering kita terlepas pandang atau memang sengaja diperkecilkan. Semoga Aidilfitri kali ini membawa sejuta rahmat dan menjadi platform untuk kita terus-terusan mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Petikan artikel oleh Mohd Hassan Adli Yahaya



Dosa popular di hari raya

4 Komen:

Pendeta berkata...

Setuju dengan ulasan ini. Tapi masa yang kepada sang suami jgn smpi berdosa kerana meninggalkan tanggungjawab sebagai suami kerana masalah batin sendiri. Setuju tak?

Tanpa Nama berkata...

macam nasihat nak jual makjun / air kuat batin je...huhuu

TabibNordin Kelantan berkata...

setuju...yg jenis batin lemah je meracau tk tentu pasal dan tak dengar nasihat.

Hadin John Lennon berkata...

nasihat nak jual makjun/air kuat batin? tapi saya tengok blog tu bgs apa Pendeta?

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.