Mengisi cuti dengan aktiviti berfaedah utk pelajar IPT

Share on Tumblr
Isi cuti dengan aktiviti berfaedah

Selepas menduduki peperiksaan akhir semester, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan kembali ke kampung halaman untuk bercuti selama dua bulan, manakala pelajar tahun akhir meninggalkan kampus selepas menamatkan pengajian masing-masing.

Inilah masanya pelajar IPT menenangkan minda selepas penat belajar sepanjang satu semester sebelum sesi pengajian 2012/2013 bermula pada September ini. Sementara, peperiksaan semester dua yang baru tamat akan diumumkan keputusannya dalam tempoh cuti ini.

Isu yang ingin penulis timbulkan ialah pengisian ketika bercuti. Pelajar sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk melakukan aktiviti yang berfaedah dan membantu diri. Pelajar seharusnya juga mengambil peluang untuk menimba ilmu pengetahuan misalnya, melalui pekerjaan sampi-ngan. Pengalaman bekerja ini sangat berharga kerana selepas menamatkan pengajian ia mungkin boleh membantu anda dalam memohon pekerjaan kelak. Berikut adalah beberapa aktiviti berfaedah yang mungkin boleh dijadikan pilihan.

Pembanci projek penyelidikan

Lazimnya ketika cuti semester pensyarah akan menjalankan penyelidikanyangmemerlukan pembantu untuk mengutip data di lapangan. Mereka memerlukan pembanci (enumerator) untuk mengedarkan soal selidik kepada responden kajian dalam kalangan orang awam.

Jika berminat cuba bertanyakan pensyarah yang mungkin memerlukan khidmat anda. Anda akan dibayar elaun yang berpatutan mengikut jumlah set soal selidik yang berjaya dikumpul daripada responden sehingga tamat sesuatu penyelidikan itu.

Guru tuisyen

Perkembangan semasa menunjukkan cukup banyak pusat tuisyen diwujudkan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Jika anda berminat, cuba memohon sebagai guru tuisyen yang mungkin diperlukan di pusat tuisyen swasta yang berhampiran.

Cubalah teroka di pasar raya atau premis perniagaan termasuk restoran makanan segera yang mungkin memerlukan pekerja sambilan. Sebelum ini, ramai juga pelajar saya bekerja secara sambilan di premis seumpama itu ketika mereka bercuti.

Lazimnya, antara pekerjaan yang ditawarkan termasuk juruwang, jurujual, penghantar barang, pelayan (waitress) dan sebagainya.

Membantu keluarga

Anda boleh membantu keluarga atau saudara-mara jika mereka menjalankan perniagaan produk atau perkhidmatan. Langkah ini sekurang-kurangnya memberi pendedahan dan pengalaman baru berurusan dengan pelanggan serta boleh menjana sedikit wang saku.

Menyertai aktiviti sukarela

Anda juga boleh terbabit dalam aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan jika berminat. Pembabitan dalam aktiviti seumpama ini boleh mewujudkan jaringan dengan pelbagai pihak.

Pelajar Islam juga boleh menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak jawatankuasa masjid atau surau di kawasan tempat tinggal anda. Tambahan pula, Ramadan akan hadir tidak lama lagi tentunya banyak aktiviti keagamaan bakal diadakan. Pembabitan anda tentunya membantu melicinkan aktiviti yang dijalankan.

Mengambil ujian memandu

Pada masa kini, memiliki lesen memandu sudah menjadi satu keperluan termasuk pelajar IPT. Kebanyakan ibu bapa berkemampuan menyediakan kereta atau motosikal untuk kemudahan anak masing- masing bergerak semasa di kampus.

Menduduki ujian memandu ketika cuti panjang ini adalah satu tindakan yang akan memberi manfaat kepada pelajar bukan saja ketika di kampus, malah sebagai langkah persediaan apabila bekerja nanti.

Menyertai program universiti

Terdapat persatuan pelajar peringkat universiti, fakulti mahupun kolej menganjurkan program berbentuk pendidikan dan khidmat masyarakat ketika cuti semester.

Anda boleh mengambil peluang dengan menyertai program berkenaan. Program seumpama ini bakal mendedahkan anda dengan pelbagai pengalaman menarik lagi menyeronokkan.

Melancong

Gunalah masa bercuti ini untuk pergi melancong ke destinasi menarik dalam negara yang boleh diteroka. Jika berkemampuan pergilah melancong ke luar negara dan alami suasana berbeza daripada Malaysia.

Dengan melancong anda boleh merasai pengalaman baru sambil melihat keindahan persekitaran dan alam ciptaan Allah. Daripada aktiviti melancong ini juga, anda dapat mempelajari sesuatu yang tidak ada ketika belajar di IPT. Pasti anda akan menghargainya.

Oleh Dr Mohd Yahya

* Dr Mohd Yahya, Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia



Mengisi cuti dengan aktiviti berfaedah utk pelajar IPT

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Kedai Hadiah Online

Artikel Terkini

Catatan Popular

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.