Lelaki cepat ungkap cinta sukar dipercayai

Share on Tumblr
Terlalu cepat luah perasaan bukti lelaki kurang matang, tidak serius dalam berpasangan

Hidup ini bagaikan dua permukaan syiling yang berbeza dan perbandingan itulah yang melengkapi kehidupan kita. Begitu juga dengan kisah percintaan yang ditempuhi setiap individu berpijak di muka bumi ini.

Kisah percintaan yang dilalui setiap individu berbeza dan secara semula jadi, ia bergantung pada sikap pasangan masing-masing. Ada lelaki agresif meluahkan perasaan dialami manakala tidak kurang sebaliknya. Ada lelaki pasif dan sukar meluahkan ungkapan cinta terhadap tersayang lalu menyebabkan tidak semua wanita mampu menerima kenyataan itu.

Perlakuan jejaka sukar menyatakan isi hatinya kadang-kadang membuatkan keadaan bertambah sukar, hingga ada ketika wanita meragui perasaan sebenar pasangan terhadapnya. Alasan lelaki, mereka lebih selesa menunjukkan cinta dalam bentuk aksi atau tindakan. Perkara ini berlaku kerana mereka didorong faktor hormon kelelakian.

Perkara itu juga tidak terbatas kepada wanita, golongan yang terkenal dengan sikap ingin sentiasa dimanjakan tetapi tidak semuanya berhati lembut. Ada juga wanita sukar menerima kenyataan cinta yang disampaikan lelaki yang belum cukup dikenalinya atau mahu mendengar ungkapan itu dilafazkan pada waktu sesuai.

Dalam kajian yang dikendalikan penyelidik Institusi Teknologi Massachusetts di Amerika Syarikat (AS), lelaki terlalu cepat mengungkapkan perasaan cinta, tidak dapat dipercaya. Kajian juga mendapati, wanita mahukan lelaki mengambil lebih sedikit masa untuk melafazkan cinta iaitu apabila hubungan mencapai ke tahap serius.

Kajian itu juga menunjukkan, ramai wanita berpendapat sukar untuk menerima ungjkapan cinta diajukan terlalu cepat. Ini kerana mereka enggan berhadapan dengan kehilangan. Bahkan keadaan bertambah kekok, apabila perhubungan yang baru terjalin itu tidak pernah membabitkan perasaan istimewa.

Beberapa wanita yang ditemui penulis berkongsi pendapat serupa. Kata mereka, perasaan kasih, sayang atau cinta yang timbul perlu disimpan dulu hingga perhubungan yang dijalin benar-benar kukuh serta kedua-dua pihak bersedia meneruskan perhubungan ke peringkat lebih tinggi.

Lelaki Macho

Wanita yang ditemui mengakui, tidak perlu tergopoh-gopoh meluahkan kata cinta. Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan kekecewaan atau kebosanan hingga menyebabkan cinta yang pada awalnya berbunga, menjadi layu.

Menurut mereka, perhubungan akan lebih indah jika dimulakan dengan persahabatan. Ketika itu, setiap individu akan lebih mengenali hati budi rakan serta perangai mereka yang sebenar.

Lelaki yang terlalu mudah meluahkan perasan cinta adalah lelaki yang tidak cukup matang dan tidak melihat jalinan ikatan sebagai tanggungjawab berat, menurut pandangan kumpulan wanita ini.

Erina (bukan nama sebenar), 28, berkata. menerima ungkapan cinta daripada lelaki yang tidak dikenali latar belakang dan hati budi bukanlah sesuatu yang dimahukannya. Erina berkata, walaupun dalam usia sekarang, beliau sedang mencari cinta serta pasangan hidup, namun ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

Luah Erina, pengalamannya berkenalan dengan seorang lelaki selama dua bulan, membuatkan hidupnya kurang selesa dan diburu ketakutan pada suatu ketika.

“Saya berkenalan dengan seorang lelaki selepas beberapa kali terserempak dengannya ketika menunggu lif di pangsapuri saya. Saya tertarik dengan penampilannya, membuatkan saya tidak teragak-agak untuk memberi nombor telefon.

“Pada awalnya, dia hanya menelefon saya selepas mengetahui waktu kerja saya sudah tamat dan kami akan berborak di talian selama beberapa jam. Kami berbual mengenai pelbagai perkara dan dia tidak pernah mengajukan soalan peribadi atau mengambil tahu latar belakang saya. Ini menjadikan persahabatan itu makin menyeronokkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Namun, keadaan berubah, kata Erina. Rakan lelaki itu mula memantau pergerakannya dan sering mempersoalkan ke mana dia pergi jika pulang lewat ke rumah. Bahkan, ada kalanya tiba-tiba saja muncul di tempat letak kereta.

“Pada mulanya saya menjawab soalannya dan memberitahu mengapa saya pulang lewat. Namun, keadaan menjadi merimaskan apabila dia kadang kala muncul di tempat letak kereta menantikan kepulangan saya dan bertanya itu ini.

“Ketika itu, saya masih tidak memandang berat sikapnya yang pelik dan menganggap dia risaukan saya kerana pulang lewat ke rumah. Tapi lama-kelamaan, dia seakan-akan hilang penghormatan dan mula menelefon saya di tengah pagi serta bercakap hal pelik,” jelasnya.

Eirina memberitahu, keadaan menjadi semakin pelik apabila lelaki itu dengan bersahaja berbicara soal perkahwinan dan memanggilnya dengan panggilan ‘bakal isteri’ serta ‘sayang’ sedangkan mereka tidak pernah keluar bersama apatah lagi meluahkan rasa hati.

Apabila ditegur tindakan lelaki itu, Eirina akan diberi pelbagai jawapan yang tidak enak didengari hingga membuatkan dirinya takut untuk meneruskan perkenalan yang terjalin secara tidak sengaja itu.

“Kenalan baru saya itu sering bercerita mengenai impiannya untuk berkahwin dengan saya dan mengatur kehidupan selepas itu. Sedangkan, kami tidak pernah mengenali latar belakang masing-masing. Dia juga suka melafazkan rindu kepada saya dan memberitahu sentiasa termimpi-mimpikan saya.

“Seram apabila mendengar percakapannya walaupun pada usia ini, saya sepatutnya sudah mempunyai pasangan dan merancang untuk berkeluarga. Tapi, tidak mungkin saya akan menerima lelaki pelik dan individu sepertinya yang mudah bermadah kasih sedangkan tidak tahu latar belakang masing-masing.

“Bimbang dengan perangai kenalan baru saya itu, saya terus mengambil keputusan untuk tidak menjawab panggilannya dan menghindari lelaki itu. Selepas seminggu saya mendiamkan diri, akhirnya dia berputus asa dan tidak mencari saya lagi,” katanya menarik nafas lega.

Sementara itu, Rosmalina Abdul Kadir, 27, berpendapat perasaan yang bersarang perlu disimpan hingga perhubungan yang dijalin benar-benar kukuh dan sanggup memberi komitmen.

Rosmalina berkata, perhubungan cinta yang terjalin antara dua hati tidak sepatutnya terjalin dalam keadaan gopoh-gapah. Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan kekecewaan atau kebosanan hingga cinta yang pada awalnya berbunga, menjadi layu.

“Dalam soal menjalin hubungan, saya lebih suka jika ia dimulakan sebagai kawan. Ini kerana tindakan itu mampu menunjukkan perangai sebenar lelaki yang ingin dikenali saya. Langkah ini juga membolehkan kita saling mengenali dan mesra berbanding dengan keputusan yang dibuat terburu-buru.

“Bagi saya, lelaki yang terlalu mudah meluahkan perasan cintanya adalah lelaki yang tidak cukup matang dan tidak melihat jalinan ikatan sebagai tanggungjawab berat. Biarpun ia mengambil sedikit masa, pasangan seharusnya sama-sama sedia untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dan bukannya hanya bertepuk sebelah tangan,” katanya.

Seorang kakitangan industri teknologi maklumat, Fun Ng, 28, pula melihat tindakan lelaki melafazkan kata-kata cinta dengan mudah sebagai individu yang tidak menggunakan akal logik atau memandang serius perhubungan. Di sebalik itu, katanya, lelaki seperti itu bagai memendam agenda tersendiri dengan menggunakan kata-kata hikmah untuk menarik perhatian wanita.

Ng berkata, dalam soal percintaan, setiap pasangan perlu benar-benar mengenali dan memahami hati budi masing-masing. Luahan cinta bukanlah penentu ikatan terjalin. Malah, katanya, banyak lagi cara lain boleh dilakukan untuk membuktikan kesungguhan lelaki dalam bercinta.

“Pasangan baru berkenalan tidak sepatutnya cepat meletakkan harapan untuk hidup bersama. Ini kerana ia adalah satu tanggungjawab yang berat dan memerlukan komitmen tinggi. Jika anda belum bersedia, janganlah memberikan kata-kata jaminan yang boleh menyebabkan kekecewaan kelak.

“Cuba kenali hati budi pasangan masing-masing. Jangan mudah terpedaya dengan luahan hati lebih-lebih lagi jika hubungan terjalin itu terlalu segar dan fahaman mengenai diri masing-masing masih samar. Bagi wanita, anda juga perlu bijak menilai sejauh mana kesungguhan lelaki. Usah hidup di atas janji manis ditaburkan pasangan.

“Lelaki perlu berfikiran matang sebelum berani tampil meluahkan perkataan sayang terhadap kekasih. Ini kerana tidak semua wanita suka kata-kata hikmah yang dilafazkan melulu,” katanya. ~ Berita Harian
Lelaki cepat ungkap cinta sukar dipercayai

3 Komen:

Tanpa Nama berkata...

kalau mau bertindak mikir dulu boy . .
apalagi soal cinta ..
jngan d anggap sepele . .
karena klo ce tuh dah ke ambil hati nya . .
pasti dah bakal k bawa perasaan ..
dan susah buat d hilanginnya lgii klo kmu goresin luka d hati nya . .
buat kmu boy ..
tolong .. pake perasaan mu sedikit buat ce ..

Tanpa Nama berkata...

menakutkan je dengar cerita-cerita diatas..huhu seram

Tanpa Nama berkata...

hmm..setelah membaca artikel diatas, mmg kadang lelaki itu cepat meluahkan perasaan, tetapi sesetengah lelaki meluahkan perasaan untuk menjalinkan ikatan yang yang sah disisi agama, apabila agama diletakkan no.1 dalam hidup...ianya untuk mengelakkan dosa, bahkan sesetngah lelaki membiarkan keluarga mencari pasangan untuknya disebabkan dia redha keatas jodoh yang diberikan padanya..tetapi apabila dia berserah pada keluarga, keluarga pula myuruh lelaki tersebut mencari sendiri disebabkan sesetengah perempuan zaman sekarang yang lain didepan org tua,dan lain yang jadi dibelakang orang tua...kalau lelaki tersebut menyukai seseorang perempuan bukankah lelaki itu akan meluahkan perassaan dengan cepat memandangkan dia mahukan ikatan yang sah cepat belangsung bagi memelihara pandangan,serta menangkis segala bisikan syaitan,..terdapat cara untuk perempuan mengetahui kejujuran lelaki itu..dimana jika lelaki itu menjaga solatnya insya allah amanlah kehidupannya. mudah sj nak risik lelaki..pergilah berjalan ketempat yang jauh yang melibatkan perjalanan 2.3 hari, mintaklah muhrim bg perempuan tersebut memerhatikan setiap langkah lelaki tersebut..sampai bila lelaki tersebut boleh berlakon?...tapi klu lelaki seperti diatas sehingga pagi2 menelefon dah macam tak betul je untuk dijadikan pasangan...done~

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.