Cerpen : Derita Cinta

Share on Tumblr
Engkau cantik, engkau manis Inai. Senyummu ah, bagai Neelofa. Apabila berjalan, setiap mata menjeling pandang. Rambutmu bagai mayang pinang terbuka dari kelopaknya, lebat berkilat disinari mentari, seolah cemburu oleh kecantikanmu. Di kampung ini, engkau bagai sekuntum mawar di tengah belukar, hingga tidak sedikit orang yang bergaduh dan berbalah hanya kerana berebutkan engkau!

"Jangan gila bayanglah, Det!"
"Alah mak, apa tahunya erti sebenar sebuah cinta".
"Inai tu cantik. Selayaknya jadi isteri seorang anak raja. Yang engkau tu, apa ada?"
"Mak, jangan kata aku tiada apa. Aku ada hati, ada perasaan.
"Engkau tu kerja menoreh getah saja. Mana layak beristerikan dia"
"Sudahlah mak. Peduli apa dengan status kerja aku. Yang penting, Inai menjadi isteriku!"

Setiapkali bersua dengan Inai, apabila matanya yang bagai bintang kejora itu menatap wajahku, ketika bibirnya yang bagai delima merkah itu menutur kata, terasa olehku seolah dunia ini seluruhnya milikku; sebuah kebahagiaan yang tidak terungkapkan oleh sejuta kata.

"Mengapa engkau terlalu baik padaku, Det?' Inai menanyaiku.
"Inai!"
"Hairan, aku ada beribu sahabat, aku ada beratus saudara-mara, namun kasih yang engkau tunjukkan padaku, mengatasi mereka semua!"

Memang, aku sayangkan Inai. Aku cintakan Inai. Aku kasihkan Inai. Buatku, dialah insan yang paling bererti padaku. Betapa kalaulah dia menjadi isteriku nanti. InsyaAllah, akan kuberikan sepenuh kebahagiaan padanya. Kebahagiaan yang kekal abadi sepanjang hayat.

"Engkau ingat, engkau dapat memperisterikan dia, Det?"
"Apa tidaknya?"
"Engkau ingat engkau kaya?"
"Inai tidak memandang kekayaan"
"Engkau ingat engkau lawa?"
"Engkau jangan mempermainkan aku, Jendol. Aku tahulah yang aku tak kacak, tak lawa. Tapi jadilah, kerana rupaku seperti manusia!"

Jengkel rasa hatiku apabila Jendol mengetawakan kata-kataku. Hendak rasanya kutumbuk mukanya. Tapi kerana Jendol itu lebih besar dan kuat dariku, aku terpaksa mengalah.

Aku akan bekerja kuat. Aku nak mengumpul duit sebanyak-banyaknya. Lepas itu, pinang Inai. Lepas kahwin nanti, aku akan buat rumah baru. Tentu seronok hidup berdua. Tentu tiada orang yang nak menegur, kalau aku dengan Inai, asyik nak bercengkerama sepanjang hari. Lepas itu, kami akan punya anak. Anak yang comel dan nakal. Dan hidup kami bahagia.

Bagaimana kalau pinanganku ditolak keluarga Inai. Keluarga Inai tentu keberatan bermenantukan aku. Aku hanya bekerja menoreh getah. Berapa sangatlah pendapatanku. Ah, persetankan itu semua. Kalau pinanganku ditolak, aku akan bawa Inai lari. Kami akan kahwin. Kahwin koboi.

"Det, mengapa engkau bekerja bermati-matian begini?"
"Kerana engkau, Inai!"

Alangkah bahagianya, ketika Inai tersenyum padaku. Bibirnya membentuk panorama yang indah. Betapa kalaulah aku dapat mengucup bibir itu. Selama ini, Inai tidak pernah mengizinkan aku, walau sekadar untuk merasai kelembutan tangannya. Sedangkan aku ingin sekali memegang tangannya. Aku ingin mengusap rambutnya. Aku ingin mencium pipinya yang selembut kulit bayi itu. Namun Inai tidak pernah mengizinkannya. Malah, terkadang dia memarahiku apabila aku cuba-cuba menggatal.

Aku pernah mengajak Inai berjalan-jalan, melihat keindahan kota. Aku pernah mempelawa dia makan angin di tepi laut. Aku pernah mengajak dia menonton wayang, namun Inai menolak. Katanya, tak manis jalan berdua. Tambahan pula kami belum berkahwin. Tunggulah setelah berkahwin nanti.

Aku faham. Inai gadis kampung yang masih tebal dengan susila ketimurannya. Aku menghormati pendirian hidupnya. Aku menghargai keluhuran budinya. Dan aku menyanjungi ketulusan hatinya. Inai, aku cinta padamu. Aku sayang padamu. Engkaulah ratu hatiku.

"Engkau benar-benar nak pinang Inai, Det?"
"Sungguh mak!
"Engkau ingat Inai sudi?"
"Lebih dari sudi!"
"Engkau ingat engkau larat menanggung isteri?"
"Saya akan bekerja kuat!"
"Bagaimana kalau pinangan engkau ditolak?"
"Saya akan bawa Inai lari!"
"Takkan sampai nak buat begitu?"
"Kerana saya cintakan dia!"

Di kampung Inai tidak berpekerjaan selain membantu keluarganya. Suatu hari Inai menyatakan hasratnya hendak berhijrah ke kota. Di kota dia hendak bekerja dengan emak saudaranya. Emak saudaranya seorang pengusaha restoran. Inai hendak bekerja kerana hendak mengumpul duit. Dia tidak mahu, lepas kahwin nanti, semua terbeban padaku. Meski keberatan, namun aku merelakan Inai pergi.

Seminggu selepas Inai pergi, aku tak lalu makan. Seminggu aku tak menoreh. Seminggu aku tak turun ke sawah. Dan seminggu juga lembuku tak berjaga. Selama itu, aku asyik termenung sahaja. Aku bimbang, bimbang sungguh. Inai seorang gadis cantik jelita. Bagaimana kalau ada kutu yang terpaut hati. Bagaimana kalau Inai dikebas orang. Bagaimana aku nanti.

Cerpen Cinta

Mengenang itu, kalau bersayap mahu rasanya aku terbang bawa Inai pulang. Dua minggu, Inai tak juga pulang. Sedang resah hatiku hanya tuhan yang tahu. Bagaimana kalau Inai terpengaruh dengan kehidupan kota. Di kota itu ramai perompak, ramai penyangak, ramai penipu dan penyamar. Bagaimana kalau Inai terpedaya. Akan hanyutkah dia oleh kebuasan kota. Mengenang semua itu, setiapkali lepas sembahyang, sering aku bermohon agar Tuhan melindungi Inai.

Tiga minggu, Inai tak juga pulang. Sedang tubuhku kata orang tinggal kulit membungkus tulang. Kurus bagai pokok sedang menunggu kematiannya. Mak suruh aku jumpa bomoh Wak Semaon. Maka kata, aku disampuk hantu penunggu pokok mangga. Mak tak tahu aku jadi begini kerana rindukan Inai.

Beberapa orang budak nakal mengejekku. Mereka kata aku kena Aids. Aku marah bukan main. Aku hambat budak-budak tu bertempiaran lari. Mana-mana yang dapat, aku sesah mereka dengan batang senduduk. Gempar sekampung apabila aku menyesah budak-budak itu hingga birat-birat. Malam itu juga, emak budak-budak itu mengadu pada Tok Sidang. Apabila Tok Sidang mengadu pada emak, emak memarahi aku. Tapi aku tak peduli. Biar bagaimanapun keadaanku, namun hatiku jangan sesekali disakiti.

Menjelang minggu keempat, Inai akhirnya pulang juga. Dan aku bagai orang kejatuhan bulan, riang bukan main.

"Mengapa engkau jadi begini, Det?"
"Aku rindukan engkau!
Alangkah syahdunya apabila Inai menatap wajahku. Wajahku yang cengkung dan mataku yang jauh terperosok.
"Engkau akan pergi lagi, Inai?"
"Aku terpaksa Det. Aku nak membantu keluarga. Aku juga nak bersedia untuk masa depan kita!"
"Pulanglah selalu, Inai!"
"Susah Det. Tugasku terlalu banyak!
"Aku tak mahu engkau terseksa di kota!"
"Aku tahu menjaga diri!"
"Aku bimbang, Inai!"
"Tiada apa yang nak dibimbangkan. Aku tetap setia padamu. Percayalah!"

Dengan hati yang amat berat, aku merelakan Inai pergi. Aku berusaha membaiki hidupku. Aku nak bekerja kuat. Aku nak kumpul duit sebanyak-banyaknya. Lepas itu, aku nak pinang Inai. Aku tak mahu lagi berpisah dengannya.

Kelmarin aku dapat surat dari Inai. Inai ceritakan, dia kesunyian hidup di kota. Inai ceritakan, dia rindukan suasana kampung, dengan burung-burung terbang riang dan sawah padi menghijau subur. Inai ceritakan, dia rindukan air sungai yang jernih, dan keseronokan ketika memancing. Inai jua cerita, betapa dia sering merindukan sayuran kampung, dengan kelazatan pucuk ubi masak tempoyak campur ikan keli. Dan Inai ceritakan, betapa dia sering merindukan aku. Andai bersayap, mahu rasanya aku terbang menemui Inai, pada saat ini juga.

Hasil jualan getahku pada bulan ini dapat RM328.00. Kelmarin, Angah, adikku yang belajar di USM minta RM120.00 untuk yuran tutorial. Lepas itu Adik Usu yang menuntut di USM juga, minta RM150.00 juga untuk yuran tutorial. Acik, adikku yang masih menuntut di sekolah menengah, minta RM30.00 untuk tambang bas. Tolak-tolak semua, tinggal lagi RM28.00.

Bagaimana aku nak pinang Inai?

Dapat duit hasil jualan pisang dan sayuran di kebunku, aku beri pada mak. Mak ni pun satu hal lagi. Kalau aku tak beri, mulutnya berkeriau macam murai tercabut ekor. Tapi kalau abang dan kakakku tak beri barang satu sen pun, dia senyap sahaja. Dalam hal itu, aku sering berjauh hati pada mak.

Benarlah kata orang, mujur tak dapat diraih, malang tak dapat ditolak. Suatu hari tersebar cerita, Inai dipinang orang. Dia bertunang di rumah mak saudaranya, tuan punya restoran tempat dia bekerja. Mulanya aku tak percaya. Mana mungkin dia tergamak mengkhianatiku. Tetapi Jendol, orang yang menceritakan semua itu padaku, beriya-iya mengakuinya. Namun aku tetap percaya. Aku tahu, Jendol berminat pada Inai, namun Inai tak menyukainya. Kata Inai, Jendol itu pemalas, kutu embun dan berat tulang.

Inai langsung tak menyukainya.

Namun kemudian, hatiku hancur luluh dan duniaku terasa gelap gelita, apabila kutahu yang Inai memang telah bertunang. Geramnya hatiku, hinggakan, pokok mangga yang lebat berbuah, bergegar kuterajang. Pangkin kecil bawah pokok itu, tempat aku sering bersua dengan Inai, dan termenung setelah kepergian Inai, aku pecahkan dan aku lempar merata. Lepas itu aku termenung dan meraung macam orang gila. Tubuhku yang kurus, makin bertambah kurus.

"Engkau kejam Inai!'
"Engkau kejam"
"Engkau tidak setia"
"Engkau mengkhianati cintaku"
"Engkau ...."

Pokok mangga yang lebat berbuah, bergegar aku terajang. Aduh mak, sakitnya apabila kakiku membengkak. Beberapa biji buahnya yang hampir masak, berguguran. Dan sebiji antaranya, menimpa batang hidungku. Apabila melihat buah mangga itu, aku teringat, Inai sukakan mangga muda yang dicicah dengan kicap dan lada. Lepas kahwin nanti, tentu Inai mengidam mangga muda. Teringat itu, aku naik darah. Nak rasanya aku tebang semua pokok mangga yang ada. Namun aku tak mahu menyakiti Inai. Aku tetap
sayangkan dia, meski dia mengkhianatiku.

Sejak Inai bertunang, hidupku tak tentu arah lagi. Jika dahulu aku merana, kerana berpisah dengan Inai, kini aku sengsara kerana Inai menjadi milik orang. Walau kemanapun aku pergi, aku teringatkan Inai. Ketika berkebun, aku sering terbayang, Inai datang dengan senyum simpulnya.

Ketika bersawah, aku sering berharap agar dia pulang dengan senyum manisnya. Ketika menoreh, aku berangan yang Inai sedang membantuku. Kian hari, kian kerap aku termenung. Aku termenung ketika menoreh. Termenung ketika di kebun. Termenung di sawah. Termenung ketika mengembala. Di masjid. Atas titi. Ketika mandi di sungai.

"Oii Det, engkau nak mati ke?"
"Mengapa mak.?"
"Yang engkau termenung atas pokok kelapa itu, fasal apa?"
"Saya rindukan Inai!"
"Dah. Orang suruh ambil kelapa, lain yang dibuatnya!"

Sengsaraku kian hari, kian parah. Ketika menoreh, busut jantan di kebun getahku, sering kusangka, Inai. Ketika bersawah, orang di tengah sawah, kusangka Inai. Ketika mengembala, lembu aku sangkakan Inai. Ketika mandi disungai, tunggul di tebing kusangkakan Inai. Betapa parahnya aku. Aku teringatkan kata-kata emak. Aku hanya menoreh getah. Hidupku serba kekurangan. Sementara Inai gadis yang cantik jelita. Dengan keadaanku yang serba kekurangan, siapalah aku untuk bakal menjadi suami Inai.

Inai akhirnya pulang juga. Tapi aku tak ingin lagi menatap wajahnya. Memang aku tak sanggup memandang wajah insan yang melukai dan mengkhianati cintaku. Meski rinduku padanya setengah mati, namun untuk menatap wajahnya, yang telah menjadi tunangan orang, aku tak sanggup.

"Det...!"
"Inai..."
"Mengapa engkau, Det?"
"Mengapa pula engkau, Inai?"
"Mengapa Det?"
"Mengapa engkau menerima pinangan orang. Mengapa engkau memungkiri janji. Mengapa engkau mengkhianatiku. Mengapa engkau zalim, Inai!"
"Sudahlah. Jangan kita berjumpa lagi!"
"Aku belum bertunang Det. Memang benar aku dipinang orang. Namun aku menolaknya. Yang bertunang itu teman sekerjaku, yang punya nama yang sama. Kerana dia tiada keluarga, majlis itu dibuat dirumah emak saudaraku yang jua tuan punya tempat aku bekerja!"
"Inai, betulkah? Oh Tuhan!" Ketika itu, aku terasa seolah mentari yang sekian lama gerhana, tiba-tiba bersinar semula.
"Siapa yang buat cerita ini?"
"Jendol!"
"Itulah engkau. Suka sangat dengar cakap orang!" Inai memarahiku.

Geram hatiku pada Jendol bukan main. Aku menanggung sengsara tak tentu arah kerana dia. Ikutkan hati, nak rasanya aku kerjakan dia sampai jadi tempoyak. Lepas itu, benam dia kekubang kerbau. Namun apabila mengenangkan yang Jendol itu lebih besar dan kuat dariku, aku terpaksa mengalah. Taku pula aku, kalau-kalau aku yang dikerjakannya. Bagaimana kalau aku yang dibenamnya ke kubang kerbau.

"Kita bertunang, Det!"
"Inai...!"
"Aku tak mahu lagi berpisah denganmu"
"Inai, aku tak berduit!"
"Lembumu kan banyak. Takkan tak boleh jual barang seekor".
"Ya tak, ya juga! " Aku menepuk dahi.
"Kita tak akan berpisah lagi, Det!

Ketika itu, aku terasa sesuatu yang sungguh indah. Dunia seluruhnya menjadi milikku. Aku ditabalkan sebagai raja, dan Inai permaisuri. Ketika aku cuba cium pipinya, Inai menjeling tajam.

"Nantilah!" katanya.
Seminggu kemudian, aku hantar lamaran meminang Inai. Keluarga terpaksa terima. Mereka tahu antara aku dan Inai tak bisa berpisah lagi. Tarikh kahwin akan ditetapkan sebulan lagi. Sebulan. Aku rasa macam satu kurun.

Terpaksa juga aku menunggu. Dan Inai akan jadi milikku. Jauh disudut hatiku, ketika bersendirian, aku sering membayangkan, pada malam pengantin nanti, dalam kamar yang serba indah, dalam hangatnya dakapan Inai, akan kubisikkan padanya;
"Inai, mulai saat ini rasmilah Inai jadi isteri abang. Abang harap semoga Inai dapat menjadi seorang isteri sebaik mungkin. Abang berjanji akan memberi sepenuh kebahagiaan pada Inai. Jadikanlah pengalaman dahulu sebagai pengajaran, dan mulai saat ini, segala dugaan akan kita tempuhi bersama. Semoga tuhan sentiasa bersama kita!"

Inai akan memelukku dengan penuh perasaan. Air mata gembiranya mengalir dipipi gebunya.

Tamat

Nukilan: Rusman Shariff
Cerpen : Derita Cinta

15 Komen:

Tanpa Nama berkata...

hemmmm

perjalanan cinta yang begitho mengharukan...

Tanpa Nama berkata...

uuuurrrmm..feel kurang..membosankan..cuba lagi..

Tanpa Nama berkata...

Cerita ini sangat mengharukan..Saya membaca sangat sedih..

Tanpa Nama berkata...

cerita , ini ada skit kena mengena dengan sya n kekasih . . . . . mmang best lah nie cerita . . . .

Tanpa Nama berkata...

ceritaa ini sama sperrti yang ku alami....

Tanpa Nama berkata...

kalau dh jdh xkn kemana..paras rupa dan darjat bukan ukurannya..

Tanpa Nama berkata...

bosan je bace citer ni.. mcm citer org zaman lama..

akk aregh ndablex berkata...

.. mztti crpen inii mslalu,.. tpii mmpnyaii mkna yg bner* d blang kuatt

Tanpa Nama berkata...

lumayan siech......
tp,,
kurang mantep lw baca tanpa secangkir kopi dan sekeping rokok...

met jumpa di laen hari..
wskum

Tanpa Nama berkata...

jln crita yang ok.. i like it.

Tanpa Nama berkata...

UUURRRMMM...... BORED... TRY AGAIN...

Tanpa Nama berkata...

jalan cerita cinta yang begitu menharukan.... :)

Tanpa Nama berkata...

cer nya dha best , tapii .. namanya ndakk best , hehe .

Tanpa Nama berkata...

hhhhhmmm,,,,,cinta adalah sebuah misteri

Tanpa Nama berkata...

hihihi

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.