Kes kaunseling : Kecewa dengan sikap tunang

Share on Tumblr
Kecewa dengan sikap kasar tunang
Saya adalah anak kedua daripada empat beradik dan kini berusia awal 20-an. Dalam usia yang semakin dewasa, keluarga begitu sibuk menguruskan soal jodoh saya walaupun sebenarnya saya tidak terfikir lagi mengenai perkara itu.

Tambahan pula mereka hendak menjodohkan saya dengan jejaka yang saya tidak kenali dan senangi. Saya sudah pun mengenali lelaki tersebut dan pada pandangan saya dia seorang lelaki yang tidak serius dalam banyak hal serta suka berfoya-foya.

Oleh kerana tidak mahu dituduh menderhaka saya terpaksa juga bertunang dengan lelaki pilihan keluarga dan pelbagai masalah melanda saya sepanjang pertunangan itu.

Tunang saya selalu berkasar dan melemparkan kata-kata kesat kepada saya serta keluarga. Apa yang saya hairankan, keluarga tidak marah dengan apa yang diperlakukan oleh tunang terhadap saya dan mereka.

Saya sentiasa bersabar dan beberapa kali mengajaknya berbincang untuk kebaikan kami bersama tetapi dia tetap dengan sikapnya yang ego dan terus berperangai buruk terhadap saya dan keluarga.

Kini saya bertekad dengan keputusan muktamad untuk memutuskan pertunangan kami daripada saya terus makan hati dengan perbuatannya yang saya rasa amat melampau tetapi dia bersikap tidak endah dengan keputusan saya.

Apa yang patut saya lakukan kerana tidak tahan lagi bergelar tunang kepada lelaki sedemikian.

Maklum balas
Islam sangat berhati-hati dalam menetapkan ketentuan-ketentuan untuk menjamin kebahagiaan isteri dan kemantapan keluarga iaitu dengan memberikan hak kepada wanita untuk mengambil keputusan menerima atau menolak lamaran seorang lelaki.

Tidak ada seorang pun yang dapat memaksanya berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya kerana kehidupan suami isteri tidak mungkin ditegakkan atas dasar paksaan dan tekanan. Begitupun, terdapat beberapa garis panduan yang perlu difikirkan oleh wanita dalam pemilihan pasangan hidupnya. Jika sekadar suka-suka sahaja tetapi tidak memenuhi ciri-ciri lelaki yang beriman, ibu bapa bertanggungjawab serta berhak untuk menolak pinangan tersebut. Bapa khususnya perlu mempastikan bahawa anaknya itu dikahwinkan dengan seorang lelaki yang beragama dan berakhlak.

Seringkali penerimaan seorang wanita untuk ditunangkan atas dasar pilihan ibu bapa adalah semata-mata kerana menghormati keputusan mereka sekalipun belum lagi terfikir tentang perkara tersebut. Keinginan untuk mendapat restu ibu bapa adalah tinggi. Restu daripada mereka dapat memberi keberkatan dan menjaminkan kebahagian di dunia dan  akhirat.

Sesungguhnya anak yang mengambil kira perkara ini adalah seorang anak yang baik dan taat kepada ibu bapanya. Begitupun, penerimaan sesuatu pinangan itu belum tentu atau tidak bererti tercapainya kata sepakat atau persetujuan di antara kedua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan.

Kadangkala beberapa masalah timbul di sepanjang alam pertunangan sehingga mengakibatkan diri tertekan. Ada masalah yang boleh dikendali tetapi tidak kurang juga yang menghadapi jalan buntu sehingga memaksa kepada perpisahan. Atas dasar ini jugalah merahsiakan pertunangan adalah suatu kebijaksanaan bagi pihak wanita. Dalam erti kata lain, seandainya terjadi sesuatu pembatalan pinangan yang telah diumumkan, kehormatan, harga diri dan nama baik wanita serta keluarganya tidak tercemar.

Oleh itu, sekiranya terdapat mana-mana pasangan yang benar-benar tidak dapat bertahan lagi dengan sikap tunangan, berpegang teguhlah dengan pendirian dan cuba sedaya upaya meyakinkan kedua-dua ibu bapa supaya memahami perasaan tanpa menyakiti hati mereka.

Inilah fungsi pertunangan, berkenal-kenalan dengan bakal suami atau isteri serta seluruh ahli keluarganya supaya sebarang keputusan yang akan dibuat tidak merugikan diri pada kemudian hari. Seandainya diri sendiri tidak mampu untuk melakukannya, bantuan saudara mara yang lain seperti bapa saudara yang dihormati atau guru yang disegani oleh kedua-dua ibu bapa boleh bertindak sebagai orang tengah di dalam menyelesaikan kekusutan yang dialami. Barangkali dengan menasihati mereka dan memberi penjelasan lanjut mengenai kedudukan sebenar, ibu bapa dapat melihat rasional kepada permintaan itu.

Berpisah ketika di alam pertunangan adalah lebih baik daripada bercerai-berai setelah mendirikan rumahtangga lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak.

~  Noraini Ahmad

Kes kaunseling : Kecewa dengan sikap tunang

3 Komen:

Tanpa Nama berkata...

sy betol2 terharu dgn ape yg dye bagi kat sini..kalu boleh kte jgn lah jadi mcm ni.syg lah org yg kte syg selame ni jgn lah kte biya kan dye merane..

@FIQ BLOG berkata...

hmmm, T_T

Tanpa Nama berkata...

SY SGT BORING DGN SIKAP TEMAN SY,SUDH BYK KALI SY IGN BRUBH DRI SY UTH DIA TETAPI TIADA APA2...DIA SEJAK KBLKNGN NI MAKIN BERUBH DIA X AMBL TAU PSL SY SEBENRNYA SY PON DH JAD TUNANG DIA.SY PON XFHM APA DIA TGH FKIR SKRG HARI KENDURI SMKIN SMPAI TAPI HIDUP SY DGN DIA MASIH BERMSALH...

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.