Kelebihan membina matlamat dalam kehidupan

Share on Tumblr
Ketahuilah bahawa kejayaan dalam banyak perkara sebenarnya bergantung pada jangka masa yang kita perlukan untuk berjaya.

Kejayaan bukan dapat diraih dalam sekelip mata. Kejayaan yang besar memerlukan masa yang lama untuk mencapainya. Oleh itu, kesabaran dan ketekunan amat penting, jika tidak maka cita-cita mereka hanya tinggal impian.

Janganlah mudah mengeluh, tabahkan hati dan percayalah bahawa kejayaan sudah sedia menanti mereka yang berusaha gigih.

Kelebihan membina matlamat:

Matlamat meningkatkan komitmen diri.

Secara tidak langsung apabila anda mempunyai matlamat, maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sekiranya anda terlalai mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan, bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.

Matlamat membantu anda membuat keputusan.

Dalam kehidupan seharian, anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Menurut kajian, mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar lima peratus saja.

Yang lain, sama ada langsung tidak, mempunyai jadual harian atau jadual sekadar menjadi hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Mengapa perkara ini berlaku? Jawapannya adalah sebab kita bukannya robot yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa yang ditetapkan.

Saya sendiri tidak yakin bahawa jadual merupakan penyebab kejayaan seseorang.

Sebagai manusia kita tertakluk pada begitu banyak faktor luar jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi emak meminta anda menjaga adik, atau ayah meminta anda pergi ke kedai. Kemudian, jadual anda ialah membuat kerja sekolah tetapi televisyen pula menayangkan perlawanan akhir bola sepak.

Semuanya perkara itu adalah antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar. Dengan adanya matlamat, anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan perancangan tersebut tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda.

Anda boleh mengulang kaji mengikut masa yang ditetapkan, tetapi anda perlu menggantinya semula dan belajar pada waktu yang lain. Apa yang penting ialah anda tetap belajar dan setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya.

Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.

Apabila anda mempunyai matlamat, anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan yang ada pada diri anda.

Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa dengan guru setelah mengetahui ada bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami.

Anda mungkin bertemu dengan rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingatlah, tidak ada rakan yang mahu membantu anda pada saat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Matlamat pengukur kejayaan.

Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Matlamat perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan kecil yang diraih setiap hari.

Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap hari anda berjaya? Bagaimanakah anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang.

Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang, maka anda dikatakan berjaya. Hari demi hari tanpa disedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

Oleh itu, pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga matlamat itu tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menjadikannya satu realiti.

Semoga maklumat ini dapat membantu membina matlamat dan berjaya. Mulakan usaha anda dengan senyuman, selamat berjaya.

Oleh Mohamad Fazil Mohd Isamudin
Kelebihan membina matlamat dalam kehidupan

1 Komen:

Kem Gemilang berkata...

tahniah... rencana yg cukup menarik.. mohon share kat blog saya.. tq

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.