Mencari cinta Ilahi - Lewat solat

Share on Tumblr

Pasti ramai di antara kita yang melakukan ibadat solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran dan ibadah yang lain. Namun, berapa ramai antara kita mendirikan ibadah ini dengan penuh rasa cinta dan rindu kepada Allah s.w.t.? Solat mengajar kita erti cinta. Lima kali setiap hari kita dilaungkan untuk menuju cinta Allah yang abadi. Orang yang solat itu beruntung, kerana sekiranya solatnya yang didirikan dengan penuh kecintaan, maka ia akan dibalas dengan cinta yang lebih kudus dan agung. Prinsip ini dinyatakan melalui sebuah Hadis Qudsi, iaitu setiap kali seorang hamba mengingati Allah, maka Allah akan mengingatinya dalam majlis dan khalayak yang lebih baik daripada yang ada pada manusia.

Dalam seumur hidup, seseorang yang menunaikan solat akan berdiri dalam solatnya itu sebanyak 372,300 kali dan sujud sebanyak 744,600 kali (dengan anggaran umur selepas baligh 60 tahun). Alangkah indahnya jika setiap kali berdiri, rukuk dan sujudnya itu dilakukan kerana mencari cinta Allah? Sebagaimana kesukaan anak menghadap ibu, atau kecintaan seorang kekasih berhadapan dengan kekasihnya, maka begitulah kita dengan Allah s.w.t. Kita akan rasa terseksa jika berjauhan. Begitulah, seseorang yang mencintai Tuhannya akan terseksa apabila berjauhan daripada mengingati-Nya. Solat itulah penawar rindu bagi kita yang merindui-Nya. Setiap kali kita berdiri, rukuk dan sujud umpama langkah-langkah ketika berjalan. Sehari selangkah, lama-kelamaan pasti akan sampai jua. Allah s.w.t. amat kasih kepada hamba-hamba-Nya, lebih-lebih lagi hamba yang mencari cinta-Nya. Justeru, adalah wajar kita menjadikan cinta Allah s.w.t. sebagai matlamat tertinggi yang ingin kita capai sepanjang hidup kita yang terlalu singkat ini. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan majulah kamu menuju Allah, wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu akan dirahmati.


Prinsip cinta diajar kepada kita, melalui kisah percintaan suci antara Adam dengan Hawa yang dirakamkan di dalam al-Quran dengan begitu indah. Cinta mereka akhirnya dipisahkan setelah satu insiden yang berlaku akibat bujukan Iblis. Mereka dihantar ke dunia yang rendah. Kedua-dua kekasih ini dipisahkan dengan jarak ribuan batu, masing-masing menderita bersendirian, kerinduan. Tahun demi tahun pun berlalu sepi, tanpa berita. Setelah puluhan tahun, akhirnya cinta agung mereka bertaut kembali, setelah melalui pengalaman yang menyeksakan dek bahana perpisahan. Namun, yang lebih menyeksakan ialah perpisahan mereka dengan Hadrat Allah Azza Wajalla di Syurga dan ditempatkan di sebuah kehidupan yang serba jauh dan rendah yang bernama dunia. Maka bermulalah satu episod baru cinta Adam dan Hawa. Susah senang anak Adam sepanjang zaman, dalam meniti arus kehidupan ini, hanya dengan tujuan untuk kembali mendapatkan cinta Allah s.w.t. yang abadi yang pernah dinikmati oleh Adam dan Hawa di Syurga. Secebis kisah cinta dalam al-Quran ini, adalah suatu pelajaran yang membuktikan bahawa cinta adalah suatu perkara penting di dalam hidup manusia.

Di dalam bacaan al-Fatihah semasa solat, kita akan bertemu dengan kalimah ``Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang''. Rangkap kata Pemurah dan Penyayang itu diulang dua kali, menjadi pengapit kepada ayat ``Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemelihara alam ini''. Bukankah kalimah cinta di dalam al-Fatihah yang sering diulang-ulangkan ini sudah cukup membesarkan mata hati kita mengenai hakikat bahawa Allah itu amat menyayangi diri kita?

Bukti kasih sayang dan cinta Allah ada di mana-mana. Dia menjadikan haiwan ternakan untuk manusia makan dan tunggangan. Daripadanya juga dijadikan susu untuk minuman dan pelbagai gunaan. Daratan dihamparkan untuk kemudahan kita bergerak. Daripadanya tumbuh beraneka pohon, tumbuh-tumbuhan, sayuran dan bijirin. Daripadanya juga terbit sumber tenaga dan kewangan kepada kita. Lautan dibentangkan untuk manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh. Lautan juga menyumbangkan beraneka makanan laut yang menyegarkan dan perhiasan yang mahal harganya. Matahari memberi cahaya untuk kita hidup. Ia juga sumber tenaga dan kesihatan. Bulan menyeimbang sistem pasang surut lautan dan kestabilan bumi. Pergerakan matahari dan bulan menjadi tanda untuk kita mengukur masa. Allah s.w.t. menjadikan semuanya ini untuk manusia. Semua ini dijadikan-Nya untuk kita berbakti, membalas budi dan kasih sayang-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah pasti kamu gagal menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nahl 16:18). (Sila baca ayat 3 hingga 17 surah an-Nahl dari perspektif cinta Allah kepada hamba-Nya dan jangan malu untuk menitiskan air mata kerinduan kepada-Nya). Justeru, seorang yang beriman wajar menghormati dan mengasihi apa yang ada di alam ini sebagai bukti cintanya kepada Dia Yang Maha Pencipta.

Hidup tanpa cinta, umpama empangan yang sedang kekeringan. Manusia yang kering hatinya daripada basahan cinta Allah adalah manusia yang kering, kasar, keras, sombong dan kosong hatinya. Kasar dan lunak hati kita tertakluk sebanyak mana peratus kegersangan dan jumlah cinta yang ada dalam hati. Kebanyakan manusia hari ini gersang daripada menyintai Allah. Kemelut dunia yang berlaku di dunia hari ini lahir daripada manusia yang tiada belas kasihan sesama manusia dan cinta kepada Tuhannya.

Cinta dan benci umpama cahaya dan gelap yang saling berlawanan. Cinta itu merubah segala kegelapan, seperti matahari dhuha yang menerangi bumi pada waktu pagi. Bacalah al-Quran, tetapi kali ini dengan beralas perasaan cinta, rindu dan kasih sayang. Sujudlah dengan perasaan mencari cinta yang murni. Senyumlah dengan hati yang pengasih. Pasti solat, bacaan al-Quran, senyuman dan segala amalan yang dialas cinta itu membawa perbezaan yang amat besar pada hidup kita. Tidak hairan, jika hati yang gersang bagai empangan yang tandus kontang itu, kini dibasahi semula dengan keindahan dan keagungan cinta kepada Allah s.w.t.

Salah satu sifat orang beriman ialah penyayang dan amat menyintai Allah s.w.t. Firman Allah bermaksud: Dan orang-orang yang beriman amat menyintai Allah. Prinsip kasih sayang ini diajar oleh Baginda dalam beberapa hadis sahih, seperti ``Orang yang pengasih dikasihi oleh ar-Rahman. Kasihlah apa sahaja yang ada di muka bumi, kamu akan dikasihi mereka yang di langit.'' Mengasihi Allah dan Rasul menjadi kriteria bagi kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang, sehingga Allah dan Rasul lebih ia kasihi daripada ibu bapa dan anaknya. Tidak sempurna iman seseorang sehingga aku ia kasihi melebihi orang lain. Justeru, sifat seorang Muslim yang benar-benar beriman itu ialah pengasih, pembelas kasihan, pemaaf dan sangat cintakan Allah dan Rasul.

Cinta itu adalah kuasa yang mampu menarik manusia ke arah kebenaran. Aspek keindahan cinta yang ada dalam Islam sudah cukup untuk menarik jutaan manusia agar kembali menikmati keindahan cinta Allah s.w.t. yang agung itu. Islam tidak memerlukan keganasan, kerana keganasan membawa petaka dan menjauhkan manusia daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Hanya dengan rahmat Allah kamu akan bersikap lunak terhadap mereka. Jika kamu bengis dan keras hati, pasti mereka akan melarikan diri daripadamu. Maka hendaklah memaafkan mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka mudah-mudahan kamu akan dirahmati.

Di sebalik cinta yang kita dambakan kepada manusia sebenarnya ada rahsia cinta Allah. Kita menyayangi ma-nusia kerana ia adalah kekasih, pasangan suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara atau sahabat. Siapakah yang mencetuskan perasaan kasih dan cinta ini? Perasaan kasih dan cinta itu sebenarnya datang daripada Allah s.w.t. Perasaan belas kasihan kita terhadap anak yatim, ibu tunggal, orang tua yang sakit, orang fakir miskin, orang dalam kesusahan dan kemalangan tidak lain adalah terbit daripada percikan sifat kasih sayang Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya. Maka, sekiranya kita ingin meraih pandangan rahmat-Nya, maka kita hendaklah membantu orang-orang yang lemah dan teraniaya, kerana di situ tersisip rahsia kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita. Justeru, cinta Allah s.w.t. itulah yang paling layak untuk kita kejar, kerana ia adalah sumber segala kecintaan dan kasih sayang sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ghazali dalam `Kimia as-Saadah'nya. Kisah kasih sayang Barqa' amat baik untuk diperhatikan. Ia meleburkan wang haji semata-mata untuk menampung perbelanjaan anak yatim yang kelaparan selama tiga hari. Dengan keikhlasannya, ratusan ribu haji umat Islam pada masa itu diterima oleh Allah s.w.t., sebagaimana yang diceritakan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. Banyak lagi kisah cinta dan kasih sayang yang agung seperti ini. Mungkin suatu hari kita termasuk di kalangan mereka yang mempraktikkan cinta agung dan meraih cinta Allah s.w.t. itu. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Sekiranya kamu membelanjakan harta seluas bumi, kamu tidak akan dapat melunakkan hati mereka, tetapi Allah sahajalah yang melembutkan antara hati-hati mereka.

Perkataan cinta hari ini menjadi kotor kerana kita menggunakannya dengan cara salah. Cinta sudah dimurahkan dan dipermudah melalui budaya luar yang melanda masyarakat kita yang terbit daripada bisikan hawa nafsu. Cinta yang asalnya murni, kini kerap kali dikait dengan cara mendapatkan kepuasan jasad. Jangan kecundangkan cinta murni suci dengan hawa nafsu. Ramai anak muda hari ini memperalatkan nafsu atas nama cinta. Tujuannya hanya untuk mengambil kesempatan. Habis madu, sepah dibuang. Mangsanya ialah anak-anak gadis yang jujur dalam mencari `cinta sejati'. Berhati-hatilah, kerana takrif cinta bagi lelaki ada kalanya bersalut nafsu, sementara takrif cinta wanita bagi wanita pula ialah keinginan untuk dicintai dan mendapatkan perlindungan. Pasti kedua-dua takrif ini selamanya akan disalah ertikan. Justeru, tidak hairan hari ini ramai menjadi mangsa cinta plastik. Akibatnya, ialah penyesalan yang terpaksa ditanggung oleh diri sendiri, ibu bapa dan keluarga selama-lamanya.

Cinta yang dibina berasaskan panduan syariat boleh memelihara kemuliaan diri wanita dan menyelamatkan lelaki daripada menjelma menjadi haiwan pemangsa yang rakus. Cinta yang dibina atas kecantikan, akan hilang apabila kecantikan itu luntur. Cinta yang dibina atas asas ketampanan dan kekayaan akan melayang apabila ketampanan dan kekayaan itu lebur. Cinta yang berkekalan ialah yang dibina di atas asas-asas yang kekal. Yang kekal itu maknawi, bukan fizikal. Cinta yang berkekalan dibina di atas nilai agama dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri agama dan akhlak perlu dijadikan keutamaan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, Pilihlah yang mempunyai akhlak dan agama, kamu akan berbahagia. Lihatlah pada mereka yang sudah berumah tangga berpuluh tahun, bagaimana mereka saling mencintai antara satu dengan lain. Cinta yang murni itu indah. Ia membawa kepada cinta Allah yang hakiki. Cinta Allah itu adalah kemuncak segala keindahan rasa yang pernah dikecapi oleh manusia. Alangkah indahnya jika umat ini balik ke pangkal jalan, setelah sesat dalam cinta palsu yang tiada kesudahan.

Rata-rata manusia telah melupakan aspek cinta dalam hubungannya dengan Allah s.w.t. termasuk bagi mereka yang menunaikan solat. Hablum Minannas dan Hablum Minallah adalah konsep yang berakar umbi daripada perkara cinta. Perhubungan apakah yang paling rapat sesama manusia, jika tidak melalui perhubungan cinta? Daripada cinta lahirnya kasih sayang. Kasih sayang itu adalah hasil dalam menterjemahkan perasaan cinta. Kerana cinta Allah, maka Dia sayang dan sentiasa memberi kita rezeki walaupun tanpa diminta. Belas kasihan itu datangnya daripada perasaan cinta. Kenikmatan cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Kita mudah sangat jatuh cinta pada dunia yang bergemerlapan ini. Kita tidak dilarang untuk menimba dan menikmati kebaikan dari dunia ini. Ia adalah suatu tanggungjawab kita di bumi Allah ini. Yang salah ialah apabila kita terlalu cinta pada dunia sehingga melupakan sumber kebahagiaan yang hakiki itu. Tanggungjawab kita adalah untuk menghidupkan agama-Nya supaya kehidupan kita itu makmur.

Memang tidak dinafikan, kadang-kadang ada kesulitan dalam memahami cinta Allah sebab ia tinggi. Pasti seseorang pernah rindukan Mekah, merindui Rasulullah, merindui ibu bapa, guru, ulama yang soleh dan lain-lain yang seumpama itu bukan? Maka, kategori cinta yang seperti inilah yang menjadi anak tangga pertama menuju cinta Allah. Tidak akan ada cinta Kaabah, melainkan sebenarnya kita menyintai Pemilik Kaabah. Tidak kita cintakan Rasulullah, melainkan sebenarnya kita cintakan Allah s.w.t. Begitulah analogi seterusnya dalam memahami cara menuju cinta Allah s.w.t. Justeru, jalan menuju peningkatan cinta antara yang terpenting ialah melalui solat hamba kepada Penciptanya.

Kerana kita cinta maka kita harus membina tamadun yang berjaya. Dan tamadun ini mestilah berasaskan aja-ran Islam yang diajarkan kepada kita oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada larangan untuk kita berjaya dan tidak ada sekatan untuk kita nikmati kejayaan kita itu. Hanya kita dilarang berhenti mencintai Yang Maha Esa, demi kebaikan kita juga. Justeru, ada baiknya kita memulakan langkah untuk mencari cinta Allah ini melalui solat. Semoga kita berjaya meraih cinta Allah s.w.t. suatu hari nanti, sebagaimana inti sari yang terkandung di dalam doa Rasulullah s.a.w.: Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan. Wallahu A'lam.


Ditulis Oleh KALAM MAS
http://www.blackbrown.com.my

E-mel:
sisipanseni@blackbrown.com.my

Mencari cinta Ilahi - Lewat solat

5 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum....saya siti noorul afizah bt muhamad...alhamdulillah...setelh saya baca arikl ini saya rasa terharu dan brasa amat kerdil krana slma in sya terlalu lalai sbgai manusia dan lupa tanggungjawab mausia.....saya berharap saya dapat mencari cinta sebenar dalam khidupan saya....kpada yang mencipta blog ini saya ucapkan tima kasih n saya harap awak akn mengluarkan log seperti ini lagi...saya sentiasa mendoakan kebahagiaan awak dan hrap usaha awak ini akan diberkati n brgna untuk semua org....amin

ALWAYS togther 5AR berkata...

saya harap semua pelajar sekolah sek.men.siong dari kelas 5 ar akan buka blog ini......chik sayang ampa semua...chik harap kita semua dapat cari cinta sebenar dalam khidupan kita...t law ampa dah baca artikl ini msty ampa suka...angat taw kngan kita semua....kat sini chik naka tlis nama kita semua lah k....guru kelas kita ustaz yusuf n isteri beliau mak ndak,ketua kita abdul fattah,pnolong kita nur aqilah....mula dari kanan kelas kita akram,shafizi,akila,yanie,mai,atiqah,shahida,syahirah,mat cob,fatah,mat jat,matwan,saya chik[siti noorul afizah],raudhah,zafirah,balqis,zakiah,shahira,firdaus zakaria,fawaz,amirul rani,azwan,hazwani,syafinat,aqilah,rizan,umey,najihah,shahidan,nazmi,ikhwan,amirul amir,asiah,huda,jamilah,shikin,fadhlin,ainun,izham,sabri,firdaus aziz,n last sazwani syakila at n9

Tanpa Nama berkata...

Tiada kasih yang lebih manis daripada kasih cinta dan tiada kasih yang lebih ngeri daripada putus cinta.

Tanpa Nama berkata...

Allahuakbar...secara xsedar..tiba2x mnitis jg air mata mngenagkan dosa2x ku,,xstimpal dgn smua nkmat yg Allah beri kpd ku..='(

Belajar Cinta berkata...

Cerita cinta yang sangt mengharukan.. jom baca juga RUKUN & SYARAT MENIKAH

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.