Dilema calon menantu

Share on Tumblr Bertubuh `rendang' atau pendek, tiada ijazah dan bukan kakitangan kerajaan antara alasan yang diberikan bakal mentua untuk menolak lamaran tiga pemuda yang berminat menyunting gadis idaman masing-masing untuk dijadikan suri rumah tangga.

Kesukaran menawan hati bakal mentua yang dihadapi pemuda ini akan Kak Ani bincang dalam kongsi rasa kali ini berdasarkan pengalaman dilalui mereka yang sudah bersedia menamatkan zaman bujang, tetapi hasrat itu terhalang kerana sikap bakal mentua yang terlalu memilih.

Pemuda pertama yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, sudah mempunyai pilihan hati iaitu gadis sama negeri yang dikenali sejak di bangku sekolah. Gadis itu mempunyai kerjaya yang agak baik seperti juga dengan Mat, seorang pegawai kerajaan. Selepas beberapa tahun bekerja, Mat sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga. Bagi memenuhi hajat Mat, keluarganya yang diketuai bapanya sendiri bertandang ke rumah si gadis dengan hasrat untuk merisik dan melamar.

Kedatangan mereka disambut baik oleh keluarga gadis. Dalam pertemuan itu ibu gadis itu lebih banyak bercakap untuk mengetahui latar belakang Mat. Dari lirik mata ibu gadis itu yang tak habis merenung membuatkan Mat berasa tidak sedap hati. Perasaan gelisah itu makin menebal apabila ibu gadis itu yang pada awalnya sibuk di depan melayan mereka, tiba-tiba tidak muncul sehinggalah rombongan keluarga Mat meminta diri untuk pulang.

Dalam perjalanan pulang, gadis itu menelefon Mat memberitahu ibunya tidak berapa berkenan dengan Mat. Alasan yang diberikan ibu gadis itu ialah tubuh Mat pendek.

Terkejut Mat mendengar alasan yang dianggap tidak masuk akal. Kalau hendak dibandingkan, Mat dan gadis itu sama tinggi. Tubuh gadis itu agak `rendang' berbanding Mat yang bertubuh `kecil'. Mungkin pada mata orang lain, gadis itu tidaklah cantik sangat, tetapi apabila hati dah berkenan, Mat tidak pentingkan lagi kekurangan yang ada pada gadis itu, Mat memang `terpukul' dengan kata-kata ibu si gadis yang sedikit sebanyak menghiris hatinya.

Perasaannya bertambah pedih apabila pakaian ayahnya turut dijadikan isu oleh ibu gadis itu untuk menguatkan alasan mereka menolak lamarannya.

"Apa yang tak kena dengan pakaian ayah? Kalau saya dikatakan pendek, apa kurang pula dengan tubuh ibu gadis itu yang juga `rendang'?"

"Pelik betul, yang hendak kahwin anak, bukannya emak.

Saya dan anaknya sama-sama suka, sepatutnya ibu restui sajalah hasrat kami untuk berkahwin.

"Nampaknya saya kena tunggu ibu gadis itu mati dulu, barulah dapat meneruskan hasrat berkahwin dengannya," kata Mat dengan nada marah dan kesal.

Kes kedua, seorang pelajar, Basri (bukan nama sebenar), yang masih menuntut di seberang laut, juga mengambil keputusan mencari calon isteri yang baru selepas hasrat untuk bertunang dengan gadis yang bertakhta di hati selama ini ditolak oleh kedua-dua ibu bapa gadis itu dengan alasan mahu bermenantukan seorang kakitangan kerajaan. Bapa si gadis lebih berminat memilih guru sebagai calon menantu dengan alasan kakitangan kerajaan lebih terjamin hidup anaknya. Apabila mendengar syarat diletakkan bapa si gadis itu, Basri terlebih dulu menarik diri. Belajar pun belum tamat, dan Basri sendiri belum tahu pekerjaan yang boleh dilakukan selepas tamat belajar nanti.

Nasib baik Basri bukan jenis yang terlalu taksub bermain dengan perasaan cinta kerana baginya ketentuan jodoh terserah kepada Tuhan. Baginya mungkin ada gadis lain yang lebih baik untuk dijadikan isteri dan dia bersedia membuka hati untuk dimiliki gadis lain.

Kes ketiga pula, pemuda yang mahu dikenali sebagai Am, memiliki syarat yang cukup sempurna untuk menjadi calon menantu. Am lepasan kolej, seorang pegawai kerajaan, berperwatakan menarik, masih melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah menerusi program pengajian jarak jauh. Malangnya, ciri- ciri yang dimilikinya itu belum mampu menawan hati keluarga gadis idamannya yang inginkan calon menantu berijazah. Kalau dikira syarat yang dikenakan itu, Am kena tunggu segulung ijazah sebelum dapat memasuki gerbang perkahwinan. Masalah Am sekarang, dia sudah bersedia untuk berkahwin dan mampu menyara isteri dengan pendapatannya sekarang.

Apabila ketiga-tiga kes ini diajukan kepada Kak Ani untuk mencari jalan penyelesaiannya, apa yang Kak Ani nampak halangan yang ada itu sengaja diadakan seolah-olah menjadi lumrah dunia bahawa setiap yang baik tidak akan melalui jalan mudah.

Perkahwinan adalah sunnah yang digalakkan dan menjadi wajib jika seseorang itu sudah tidak mampu membendung nafsu untuk berkahwin.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab sepatutnya mereka merestui keinginan anak masing-masing untuk mendirikan rumah tangga.

Tindakan ini lebih baik daripada membiarkan anak bebas bergaul dengan bukan mahram.

Masalah bentuk fizikal tak cukup tinggi, tiada kelulusan setaraf, tidak bekerja di jabatan kerajaan tak boleh dijadikan alasan untuk menghalang niat suci mendirikan rumah tangga. Bagi Kak Ani jika seseorang itu pandai mencari rezeki, tahu hukum halal haram, tidak kira bekerja di sektor awam, swasta mahu pun bekerja sendiri, dan mampu membahagiakan pasangan masing- masing sudah lebih daripada cukup untuk menjadi menantu pilihan.

Apa yang terjadi sekarang, kebanyakan ibu bapa terlalu terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang meletakkan kebendaan sebagai jaminan hidup bahagia.

Perkahwinan perlu dibuat secara besar, hantaran perlu diuar-uarkan dan calon menantu perlu setaraf dengan pekerjaan atau kelulusan anak.

Semua kriteria ini tidak ada dalam ajaran agama kita tetapi diadakan untuk menyulitkan urusan pernikahan. Tak rugi jika seseorang itu mengadakan majlis sederhana untuk menyatukan dua hati.

Kalau untuk mengadakan majlis perkahwinan besarbesaran sebagai cara menutup mulut orang, sampai bila-bila tidak ada kepuasan, masih ada cacat cela di sana sini. Sama ada kecil atau besar majlis perkahwinan, kita tidak boleh tutup mulut orang untuk mengata.

Apa yang penting, kita tahu apa yang kita buat dan kemampuan yang kita ada.

Menganjurkan urusan perkahwinan mengikut kemampuan lebih baik daripada membuat secara besar-besaran yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam masalah hutang.

Oleh Noraini Ismail Dilema calon menantu

6 Komen:

jiwa.lalat berkata...

xde jodoh le tu

Najwa Najihah berkata...

Setuju Kak Ani. Hm, tapi... Bukan semua ibu bapa dapat terima dan berfikiran macam ni.

Tanpa Nama berkata...

erm, setiap dugaan itu adalah untuk menguji kita...hadapi lah dgn tenang, sabar dan berhemah....

Tanpa Nama berkata...

sy setuju.....bersyukur la dgn ape yg kita ade kerana ade lg org yg lagi susah dr kita

Admin berkata...

LISTEN ONLINE RADIO AND WATCHING FREE
MOVIE ONLINE ,SPORTS ONLINE LIVE.
FOR WATCHING MOVIE ,NEWS ,AL JAZEERA ,SPORTS
VISIT LINK > CLICK TO WATCHING <
SINGAPORE RADIO >CLICK TO LISTEN <<
LISTEN HINDI RADIO VISIT LINK >>CLICK TO LISTEN <<
 WATCHING HINDI MOVIE CHANNEL VISIT LINK >>KLIK TO WATCHING<<
DI SINI ADA ,THR GEGAR,HOTFM,KLFM,JOHOR FM DAN MACAM MACAM LAGI,TERDAPAT LEBIH KURANG 175 BUAH STESEN RADIO YANG BEROPERSI DI MALAYSIA BOLEH DI DENGARI DI SINI SECARA PERCUMA >KLIK TO LISTEN<<
LISTEN INDONESIA RADIO ONLINE CLICK >> CLICK TO LISTEN <<
Teradapat juga siaran tv malaysis seperti pas tv ,tv selangor,tv kelantan, rtm1 ,rtm2,mobtv,dan banyak lagi.... >KLIK TO WATCHING<<

Tanpa Nama berkata...

smua mnusia d dunia ney x da yg smpurna...jgn tlmpau memilih..jd renung2kn la..:-)

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.