Cuba bunuh diri bukan penyelesaian masalah

Share on Tumblr Membunuh diri bukan jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Tanpa mengira usia, baik muda mahupun yang berusia, gejala bunuh diri terus berleluasa.

Apakah agaknya yang membelenggu hidup mereka sehingga tekad menamatkan riwayat hidup sendiri?

Bunuh Diri

Perkara penting yang harus dilihat terhadap gejala awal bunuh diri:

* Perubahan tingkah laku dalam tempoh dua minggu sama ada terlalu ceria atau mengasingkan diri.

* Putus cinta? Bagaimana sokongan keluarga dan rakan?

* Dalam laman sosial juga kadangkala ada yang menyatakan hasrat untuk 'pergi jauh' atau 'meminta maaf'.

* Pencapaian akademik atau kerjaya sama ada sering mengambil cuti sakit dan mengadu tiada semangat untuk bekerja atau bersekolah.

* Mudah marah, mendengar muzik yang luar biasa maksud dan rentaknya.

* Perubahan biologi seperti sukar tidur, kurang selera makan hingga menjadi terlalu kurus atau sebaliknya tidur berlebihan dan makan melebihi kadar biasa.

* Tidak menjaga penampilan diri terutama tahap kebersihan diri dan rupa paras.

* Pernahkah remaja terbabit cuba untuk membunuh diri?

Tindakan

Sekiranya berhadapan dengan situasi sebegini, mereka yang paling rapat dan sebaik-baiknya ibu bapa perlu segera memberi sepenuh perhatian terhadap perubahan anak dengan tindakan berikut:

* Menjadi pendengar setia. Adakalanya remaja tidak dibiasakan oleh ibu bapa untuk meluahkan pandangan mereka kerana dianggap biadap atau kurang sopan. Ibu bapa harus meyakinkan anak-anak bahawa mereka adalah teman yang sedia mendengar sebarang rungutan dan luahan hati mereka.

* Yakinkan kepada anak remaja walaupun usia meningkat remaja, ibu bapa masih sayang dan ambil berat kehidupan mereka.

* Setelah wujud kepercayaan. Bincang dengan pakar atau kaunselor tindakan selanjutnya yang patut diambil. Yakinkan anak untuk berjumpa pakar psikiatri atau kaunselor untuk kebaikan dan elakkan daripada perasaan malu kerana kemurungan adalah penyakit yang perlu dirawat.

* Sekiranya anda sendiri mengalami gejala yang disebutkan di atas, dapatkan bantuan orang yang paling rapat seperti guru dan sahabat jika hubungan dengan keluarga renggang.

Kes 1

Jam 10.30 malam, Zura (bukan nama sebenar), 26, menerima kehadiran seorang rakan dalam keadaan cemas. Kakaknya mahu membunuh diri.

"Dia beritahu saya, kakak telefon sambil menangis dan cakap nak bunuh diri. Saya terus telefon kakaknya dan cuba berkomunikasi dengan lembut. Kami berkawan baik dan saya antara orang yang dipercayainya," katanya.

Menurut Zura, rakannya penuntut matrikulasi sangat tertekan dengan kehidupan sepanjang tempoh tiga bulan kerana masalah pembelajaran, tunang dan keluarga tunangnya.

"Tunang lebih memihak kepada emaknya yang menyalahkan rakan saya kerana pelajaran semakin merosot. Tunangnya itu daripada keluarga berpendidikan dan berjaya.

"Ibu tunang berasa rakan saya penyebab segala masalah anaknya kerana banyak masa dihabiskan bersama dan menganggap sikap mengongkong rakan memberi kesan kepada pelajaran anaknya.

"Kegagalan anaknya menyebabkan si ibu tidak dapat menerima kenyataan dan sentiasa mencari salah rakan saya.

"Keluarga tunangnya pun sudah ada calon lain yang dikatakan lebih cantik dan pandai. Apabila rakan saya mengadu kepada tunangnya, dia hanya diam dan menyalahkan dirinya.

"Pada masa sama, rakan saya itu ada masalah pelajaran menyebabkan dia mengulang satu semester," kata Zura.

Menceritakan kembali detik malam cemas itu, Zura masih teringat kata-kata rakannya itu.

"Dia bertanya kalau dia terjun dari jejantas, adakah kepalanya akan pecah? Saya katakan padanya, nanti kepala kakak pecah dan tak cantik masa mati, orang rasa ngeri bila nak tengok muka," katanya.

Timbul idea Zura untuk berkata demikian kerana dia tahu, rakannya itu seorang yang mementingkan kecantikan.

"Mungkin disebabkan kata-kata itu, dia tak jadi hendak terjun dan berpindah ke landasan kereta api.

"Selepas tiga jam dia meluahkan perasaan dan saya cuba menenangkannya, kami bergegas menuju ke landasan. Dia sedang menangis semasa kami tiba di sana.

"Saya cuba pujuk dia selama satu jam di landasan dan akhirnya berjaya bawa dia keluar. Dia bernasib baik sebab tiada kereta api yang melalui rel ketika itu.

"Kami cuba bawa dia berjalan-jalan dan makan sebelum pulang untuk meredakan perasaannya," katanya.

Menurut Zura, rakannya berusia 20 tahun semasa kejadian adalah anak sulung daripada empat beradik yang mempunyai sikap sukar mempercayai orang lain dan pendendam.

"Baginya, tunang adalah segala-galanya kerana itu cinta pertamanya dan terlalu menyayangi serta mempercayainya," jelas Zura yang kini masih mengingati kejadian itu.

Kes 2

"Kenapa dulu apa yang saya hendak boleh dapat, tapi bila saya hendak mati tak dapat?" luah seorang pesakit yang cuba membunuh diri.

Amira (bukan nama sebenar), 23, dimasukkan ke hospital selepas menelan 50 biji ubat penahan sakit.

Tindakan Amira yang berkelulusan ijazah itu menyebabkan organ dalamannya rosak akibat tekanan toksik ubat yang diambil berlebihan dan kini terpaksa menghadapi kesan memudaratkan kepada dirinya.

Menurut Pakar Klinikal Psikiatri, Ketua Unit Intervensi dan Sokongan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN), Dr Zuraida Ahmad Sabki, punca tekanan pesakit itu ialah tidak tahan dengan kerenah ibu bapa yang terlalu memaksanya mendapat kecemerlangan akademik sejak kecil.

"Mereka hanya mahukan gred A dalam pelajarannya dan pernah menerima hukuman tidak dibenarkan ke mana-mana selama sebulan kerana gagal dalam pelajaran.

"Akhirnya, dia terpaksa memenuhi kemahuan ibu bapanya jika ingin mendapatkan sesuatu," katanya.

Tambahnya, sebelum cubaan membunuh diri, dia pernah menyatakan hasrat untuk mengambil cuti selepas berada di luar negara selama tiga tahun.

Tetapi terpaksa membatalkan hasratnya kerana bapanya tidak mahu dia membuang masa mencari wang.

Dia berasa hidupnya kosong lantas menelan ubat berlebihan supaya keinginannya mati dalam tidur berhasil.

Namun, nasibnya malang kerana mengalami kesan buruk lain yang harus ditanggung seumur hidupnya.

Menurut Dr Zuraida, keinginan untuk membunuh diri didorong oleh faktor biologi, psikologi, sosio budaya dan keadaan persekitaran seseorang.

Faktor biologi seperti penyakit serius dan kronik, ketagihan alkohol atau dadah dan kecacatan anggota badan, menghadapi masalah keluarga yang huru-hara dan tekanan daripada luar belum cukup untuk mempengaruhi seseorang untuk menamatkan riwayatnya.

Tetapi sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang mengalami masalah mental seperti kemurungan atau ahli keluarga yang membunuh diri, sejarah hitam lampau, masalah personaliti yang terlalu bergantung kepada orang lain dan impulsif serta ditambah dengan ketiadaan kasih sayang daripada ibu bapa, seseorang itu sangat berisiko untuk mencederakan diri atau menamatkan riwayatnya.

Kajian di Barat mendapati 27 peratus hingga 39 peratus kes bunuh diri berlaku dalam tempoh enam minggu daripada malapetaka dan trauma dalam hidup.

Antaranya membabitkan kehilangan orang yang disayangi, sumber kewangan, kecacatan kekal dan konflik dalam diri.

"Kegagalan dalam pelajaran terutama dalam keluarga yang mementingkan kecemerlangan akademik tanpa memikirkan emosi dan perasaan akan menyebabkan jiwa kosong.

"Ini berbeza dengan pelajar yang tidak cemerlang tetapi mendapat kekuatan emosi daripada keluarga akan mampu menyeimbangkan kekurangan dalam pencapaian akademik dan berusaha meningkatkan kemampuan mereka," katanya.

Tambahnya, antara kumpulan yang berisiko tinggi adalah yang berusia 15 hingga 34 tahun atau anak sulung.

Kajian mendapati keluarga yang tidak memainkan peranan baik, berpecah belah serta tiada kawalan sosial, moral dan agama terhadap anak mendorong keinginan untuk membunuh diri.

"Remaja berasa kekosongan hidup mereka sebagai suatu pengalaman menakutkan sekali gus akan membayangkan kematian sebagai penamat segala kedukaan dan keresahan.

"Pada peringkat umur belasan tahun, remaja berisiko mendapat penyakit mental seperti skizofrenia yang akan mendengar bisikan suara yang menghinanya, tertawa dan lebih parah lagi apabila menyuruh untuk membunuh diri.

"Mereka akan cuba merawat kegelisahan diri dengan mencuba dadah dan ubat penenang sekali gus menjadikan diri mereka ketagih dan akan kerap mengambil ubat berlebihan dengan harapan akan 'terus tidur'.

"Dalam jangka masa panjang, 10 peratus daripada mereka yang pernah mencuba untuk membunuh diri akan mengulanginya dan berakhir dengan kematian," jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan mereka yang bermasalah sama ada kemurungan, konflik hidup, trauma atau kegagalan dalam percintaan akan berasa sukar untuk mereka datang bersendirian mendapatkan pertolongan.

Mereka menghadapi kesukaran mempercayai orang lain, tiada keyakinan diri, kesukaran meluahkan emosi dan kadangkala tidak tahu membezakan perbuatan yang baik atau buruk.

Penting bagi ibu bapa, guru, sahabat dan rakan sekerja memerhatikan gejala awal seperti perubahan ketara dalam tingkah laku mereka dalam tempoh dua minggu sama ada terlalu ceria atau mengasingkan diri.

Di Jepun, bunuh diri sama maknanya dengan harakiri yang membawa maksud perbuatan mengambil nyawa sendiri dengan sengaja.

Namun, berbeza sedikit di negara matahari terbit itu yang melakukan harakiri dengan menikam atau memburaikan perutnya apabila mendapat malu atau dihukum mati berbanding gantung diri, terjun bangunan dan minum racun.

Islam mengharamkan umatnya mencederakan diri apatah lagi menamatkan riwayatnya. Apabila ditanya mengenai larangan ini kepada sesiapa saja yang beragama Islam pasti ramai yang sedar hakikat ini.

Namun apabila menghadapi tekanan yang tidak dapat dikawal, perasaan ingin membunuh diri akan wujud dalam diri mereka yang lemah semangat dan mencari jalan singkat untuk menyelesaikan segala masalah dan tekanan yang dialami.

Menurut penceramah bebas, Hassan Mahmud Al Hafiz, perbuatan membunuh diri bukan jalan yang benar kerana dalam Islam ia berdosa besar.

"Tiada putus asa bagi orang yang sihat kerana membunuh diri bukan jalan yang betul dan ia keputusan orang yang tidak waras.

"Isu bunuh diri harus dikaji dengan mendalam kerana banyak faktor yang membawa kepada idea untuk membunuh diri iaitu ibu bapa, media dan pembangunan pesat," katanya.

Jelasnya, ibu bapa tidak harus meletakkan sasaran yang tinggi khususnya terhadap pembelajaran anak-anak dengan cara paksaan.

"Fokus untuk mendapat A dalam setiap pelajaran secara memaksa bukan cara yang betul sebaliknya ibu bapa harus memberikan motivasi kepada anak-anak.

"Dalam agama juga diajar untuk berusaha dan bertawakal jadi mereka harus menekankan ilmu agama walaupun ingin melihat anak-anak berjaya kerana paksaan sebegini hanya akan membawa kemudaratan kepada anak-anak," katanya.

Jelasnya, ibu bapa ialah orang paling dekat dengan anak-anak dan fitrahnya mereka harus mendidik anak-anak sebaik mungkin bukan hanya mementingkan dunia tetapi juga akhirat.

Tambahnya, pembangunan pesat akan membawa pengaruh luar yang membimbangkan khususnya kepada remaja.

"Orang luar yang datang akan membawa penyakit sosial yang mendorong remaja ke arah kehidupan yang mementingkan gaya tanpa memikirkan kesan buruk.

"Misalnya, percintaan dan gaya hidup yang diikuti itu akhirnya akan membawa kepada masalah bunuh diri apabila berhadapan dengan kekecewaan. Maka tindakan seperti orang tiada agama ini akan menyebabkan mereka melakukan perbuatan bunuh diri.

"Selain itu, media juga harus memainkan peranan penting khususnya televisyen dalam memaparkan tayangan drama atau jalan cerita yang ditayangkan khususnya dari luar negara.

"Drama yang menayangkan cerita cinta khususnya kepada anak-anak remaja akan memberi pengaruh kepada mereka untuk mengikut aksi yang ditayangkan.

"Media harus menjalankan dakwah bersepadu bagi memberikan pendidikan jiwa kepada penonton dengan menerapkan cinta paling suci kepada Allah dan tidak hanya mementingkan cinta kepada manusia saja bagi memberikan keseimbangan dalam kehidupan dunia dan akhirat," katanya.

Beliau turut menasihati remaja atau sesiapa saja yang berniat membunuh diri supaya berfikir secara sihat dan tidak mudah berputus asa dalam meneruskan kehidupan. Cuba bunuh diri bukan penyelesaian masalah

3 Komen:

Zairi Faiezil berkata...

Salam..

Kes bunuh diri sudah lazim dalam masyarakat kita ataupun diluar negara. Tetapi yang menyedihkan mereka sanggup lakukan demikian disebabkan putus cinta semata-mata.

Mungkin mereka terlalu taksub dan terlalu menyayangi pasanganya dan tidak dapat menerima hakikat sekiranya hubungan mereka putus dipertengahan jalan..

Sekian.

Tanpa Nama berkata...

Aq pnah rasai btapa tdak iginnya untuk hidup..Tp,,alhamdulillah,,aq diberi ksedaran..
Pada wakti itu,aq bknnya brasa untuk mmbnuh diri.Nmun,,ktika aq berkhayal dan trmnung,,fikiran ku mlayang ke arah kematian..

Tanpa Nama berkata...

aq sdg mnghadapi simptom itu skrg..tah bpe kli aq amik mc..mcm2 lg..aq xtw nk wtp..

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.