Cerpen: Cinta di gerbang Babul Al-Aziz

Share on Tumblr
"ASTAGHAFIRULLAH HAL AZIM". Penaka buah nangka jatuh. Berdebuk terduduk di sofa setebal 8 inci. Punggung debab Mek Senah tenggelam dalam sofa warna coklat berpetak papan dam. Teragak membuah sebiji penampar di pipi lembut tanpa mekap. Mek Senah memuntahkan bara panas berasap dari mulutnya. Intonasinya tidak terkawal lagi. Mencerlung ke arah anaknya. Busur mata cuba membelah dada ingin melihat teori yang dibuat sendiri.

Salwana menampakkan rasa protes. Membidas amarah yang bergayut di lidah emaknya. Renungan membulat terbeliak persis dirasuk jembalang. Salwana mencuka sambil menyelak kebenaran. Meminggir diri daripada jelingan emaknya. Takut pada penyekeh yang mungkin hinggap lagi di kepala. Rasa ngilu sejak tadi masih berdengung. Dia tidak terkhilaf lagi. Persetujuan antara dia dan tunangnya dalam talian tadi masih terpeta di mata hati. Pilihannya pada landasan yang tepat.

"Pakai SMS saja?"

"Pakai Facebook lagi." Jejari lembut mendepa ke arah komputer riba yang sudah lama menjadi perantaraan mereka berdua.

"Mana adatnya?" Mek Senah sedang mencipta leternya sambil mudik ke hulu dan ke hilir. Rasa tidak puas hati bergayut pada hujah Salwana.

"Dia tak dapat balik." Keterangan digubah buat memujuk emaknya.

"Aku malu." Kerut di dahi Mek Senah menampakkan kerisauannya.

"Mek, orang dah bincang dengan dia. Dia dah setuju." Salwana cuba menyimpul perhatian emaknya. Sabar menunggu hati panas emaknya menyejuk.

"Putus macam tu saja? Cincin di jari kamu tu macam mana?" Mek Senah masih dibalut bingung. Tidak tahu perancangan anak dan bakal menantunya. Setakat ini suara kerasnya terhenti. Bagi Salwana, perbincangan dalam telefon sudah memadai. Perbualannya sudah cukup berhemah dan berdiplomasi. Tidak ada pergolakan di hati lagi.

Masing-masing sudah bersetuju menurunkan cap mohor. Jailani memilih untuk bermukim di Sarawak. Bisnesnya sudah maju. Sudah membina perniagaan sendiri di pekan Satok. Selain menjadi pembekal ikan terubuk masin ke hotel-hotel di bandar Kucing, Jailani juga mengusahakan restoran sendiri. Sudah tiga cawangan restoran dibuka di pekan Satok. Sudah ada banglo sendiri.

Salwana tidak betah meninggalkan butik elegannya. Batik dan songket semakin popular. Butik Hazel yang beroperasi di tengah pusat bandar Kota Bharu tidak menyukarkan peminat batik. Dari pelanggan biasa hingga ke VVIP. Salwana sememangnya mempunyai kredibiliti yang menarik, anggun dan cepat mesra. Batik eksklusif lukisan tangan amat popular, manakala songket juga adalah hasil tenunan tangannya. Kebanyakan penggemar batik lebih tertumpu kepada busana siap yang bermotifkan bunga-bungaan melebar dengan dedaun paut memaut. Juga berkonsepkan satu lakaran untuk satu pasang batik.

Usahanya sejak 10 tahun lalu sudah mendominasikan beberapa rangkaian Butik Hazel termasuk di Kuala Lumpur. Padanya kepuasan bekerja adalah puncak segala minatnya. Justeru itu dia menolak untuk pindah ke Sarawak. Meskipun berat hatinya memutuskan pertunangan yang sudah tiga tahun tertangguh. Mek Senah cuba menolak sangka yang mungkin sekadar gurauan daripada anak dan bakal menantunya. Apa pun dia akur dengan pilihan waras anaknya.

"Dia dah halalkan cincin dan barang-barang hantaran tu." Salwana mengatur bicara meyakinkan emaknya. Namun masih ada riak halus di tasik perasaan emaknya beranjak bersama duka.

"Kamu ni tolak tuah. Orang sebaik Jailani tu kamu tolak. Umur sudah lebih 30 tahun. Kamu tak nak zuriat ke?" Mek Senah mencari punca kesimpulan anaknya. Kalah dengan tindakan Salwana. Rasa hangat di dada mula menyejuk.

"Bukan jodoh orang agaknya."

Salwana sebenarnya telah mendaftarkan diri pada agensi pakej umrah selama dua minggu. Tekadnya sudah bulat walau pun tanpa ditemani sesiapa. Persiapan sudah dibuat. Dia menghela keluhan panjang. Segala memori lama di minit perkasihan dulu telah dibungkus dalam khazanah kenangan. Sudah dibuang dari jemala ingatan.

Sebelum berangkat, Salwana didatangi kad undangan dari Kuching, Sarawak. Diamatinya dengan debar jauh ke dupa hatinya. Salwana menghidupkan sedikit ingatan yang terkilan. Namun hatinya mengajak untuk tidak menyesal. Jailani tidak pulang ke Kota Bharu lagi. Dia sudah membina empayarnya sendiri di Sarawak. Anak Sarawak menjadi pilihan hatinya.

Salwana sudah berada dalam penerbangan menuju destinasinya, memakan masa lapan jam untuk ke Jeddah. Seramai 37 jemaah yang diketuai dua orang mutawif bersamanya menaiki bas pula menuju ke Madinah Al-Munawwarah. Perjalanan selama enam jam itu dipenuhi dengan nyanyian merdu Ustaz Mizan bertalbiah. Suara-suara lunak jemaah turut sama bertalbiah beramai-ramai.

Seketika di celah Ustaz Mizan dengan sedikit penerangan.

"Assalamualaikum jemaah sekalian. Sekejap lagi kita akan sampai ke Madinah. Untuk makluman semua, penuhilah kesempatan tuan-tuan dan puan- puan bersolat dalam Masjid Nabawi. Gandaan pahalanya 1,000 kali ganda."

Seperti ada kekuatan dalam suasana keletihan mengiringi perjalanan yang panjang. Rombongan mereka ditempatkan di Hotel Al-Saha berhampiran masjid An-Nabawi. Berjalan kaki membutuh masa lima minit untuk tiba di masjid. Salwana tidak ketinggalan mengumpul hasrat agar dapat bersujud di Ar- Raudhah dan Makam Nabi SAW. Tiga hari di Madinah memberi kesan yang menakjubkan pada lawatan umrahnya. Jam 10.00 pagi waktu Madinah, Salwana dan rombongannya menaiki bas semula menuju ke Makkah Al-Mukarramah.

Dua mutawif mengetuai lawatan ini sambil bertalbiah beramai-ramai dalam bas memenuhi waktu enam jam ke Makkah. Mereka singgah di Miqat Bir Ali bertujuan melafazkan niat umrah dan ihram. Sebaik menempatkan bagasi masing-masing, langsung terus berjalan kaki beramai-ramai dalam jarak 200 meter memasuki Masjidil Haram. Ustaz Bukhari memulakan doa bila semua tapak kaki menjejaki lantai marmar. Mata hati tertumpu kepada deretan tong-tong air zam-zam. Ustaz membenarkan jemaah membasahi kerongkong dengan kedinginan penuh kenikmatan air zam-zam. Salwana menghirup sepuas- puasnya kembali segar dan bertenaga. Seperti ada aura di hadapannya. Teruja menikmati keindahan Kaabah yang tersergam di hadapan buat pertama kali pada alat indera lihatnya. Iris mata tidak mengerdip lagi. Tanpa sedar, empangan air matanya pecah membasahi pipi.

Seperti biasa Ustaz Bokhari memulakan peringatan buat semua.

"Jemaah sekalian. Tengok lampu hijau di atas kepala kita. Ini pintu Babul Al-Aziz. Ingat semua, di tangga ini pengecaman kita. Kita sedang berdiri di hadapan Kaabah. Sekejap lagi kita sama-sama akan memulakan tawaf sebanyak tujuh keliling. Ikut saya dan Ustaz Mizan. Kalau ditakdirkan ada sesiapa yang terlepas pandangan atau terputus hubungan, ingat di sini kita jumpa semula. Faham semua."

Salwana di belakang ustaz memulakan tawaf, menuruti doa yang dibacakan. Mereka beramai-ramai mengangkat tangan beristilam dan mengucup tangan di setiap bucu Hajar Aswad dan bucu Rukun Yamani. Selesai tujuh keliling, mereka menunaikan solat sunat bersujud di atas marmar putih bersih. Berhadapan pintu Baitullah, Salwana memohon doa pada Allah yang menjadi rahsia di laman hatinya. Air mata kedaifan dan keinsafan tidak henti menemani doanya.

Selesai mengerjakan tawaf, mereka beramai-ramai berjalan ke Batnul Wadi menunaikan Sai bagi menyempurnakan rukun umrah. Bermula di Bukit Safa ke Bukit Marwah. Berjalan kaki sejauh 420 meter berulang alik penuh keyakinan sebanyak tujuh kali. Salwana seperti diberi tenaga luar biasa bagi melaksanakan rukun Sai. Menyudahi rukun umrah dengan bergunting rambut sejemput dan bertertib.

Hari-hari berikutnya, Salwana bersama teman-teman sebilik, Hamidah dan Hasnah seperti biasa berjalan kaki di setiap waktu solat mengisi tempat berhadapan Kaabah. Dia teringat suara lunak Ustaz Mizan memberi kata semangat.

"Adik kakak saya yang dihormati. Rebutlah 60 rahmat masa tawaf. Juga 40 rahmat bersolat dalam Masjidil Haram dan 20 rahmat masa kita pandang Kaabah. Digandakan lagi 100 ribu kali bagi setiap solat yang dikerjakan."

Salwana semakin istiqamah mengerjakan ibadahnya. Mereka bertiga berzikir dan membaca al-Quran sementara menanti azan Subuh. Tiba-tiba Salwana bangun untuk mengambil wuduk semula. Apabila dia kembali ke tempatnya tadi, Hamidah dan Hasnah sudah tiada. Salwana meneruskan solatnya. Di celah-celah manusia dia ke gerbang Babul Al-Aziz sebagaimana tempat yang dijanjikan apabila terpisah kawan. Salwana duduk di situ melayani aspirasi sambil tangannya membilang tasbih berzikir pada Allah memohon petunjuk- Nya.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam." Salwana tergaman melihat selarik senyum cukup menarik daripada Ustaz Mizan.

"Saya perhatikan Salwana duduk di sini sejak pagi tadi. Nasib baik saya kenal jemaah kita pada tanda di telekung belakang kepala Salwana tu. Kenapa?"

"Sebenarnya saya kehilangan Hamidah dan Hasnah. Tak tahu di mana mereka sekarang. Jadi saya duduk di sini seperti perjanjian kita. Saya agak mereka akan cari saya di sini."

Ustaz Mizan berjalan mengiringi Salwana kembali ke hotel. Salwana seperti lemah tidak bermaya. Sebetulnya dia sejak pagi tadi belum makan hingga ke petang. Hanya mengisi perutnya dengan air zam-zam untuk mendapatkan kekuatan. Ustaz Mizan menemani Salwana di dewan makan, sambil bertanya kisah kekeluargaan supaya dia tidak sunyi. Ada kemesraan terjalin. Salwana dilihat semakin bertenaga semula. Hamidah dan Hasnah rupanya sudah berehat di bilik.

Tiga belas hari berlalu, jemaah diarahkan mengemas bagasi masing-masing untuk bertolak semula ke Jeddah dengan bas yang disediakan. Mereka melalui Laut Merah sambil berzikir diketuai oleh Ustaz Bokhari.

Mereka transit di KLIA sementara menunggu pesawat ke Kota Bharu. Salwana dan Ustaz Mizan seperti ada keserasian. Akhirnya Ustaz Mizan melafazkan sesuatu yang menjadi kejutan buat Salwana.

"Sudikah Salwana menerima lamaran saya?" Ustaz Mizan nampak gugup. Dia merekahkan senyuman di bibir sambil menantikan jawapan.

"Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Syukur."

Oleh Wan Asyeah Wan Nawang

Info Pengarang


WAN Asyeah Wan Nawang dilahirkan pada 10 Mei 1955, di Kampung Tikat, Kota Bharu, Kelantan, menceburkan diri dalam genre cerpen, puisi drama radio dan novel kanakkanak. Mendapat pendidikan awal di Redang English School, Kampung Banggol, Kota Bharu, hingga ke Sultan Ibrahim School, Pasir Mas, Kelantan. Pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan lebih 30 tahun. Puisi pertamanya disiarkan dalam Majalah Filem terbitan Singapura dan sebuah lagi puisinya dalam Majalah Sinar Zaman Terbitan Kuala Lumpur berjudul Tersisih, disiarkan pada Oktober 1975.

Cerpennya, Mimpi Siti Dewi mendapat hadiah penghargaan Utusan/Public Bank. Bertemu Cinderella mendapat Hadiah Sastera Negeri Kelantan. Paling istimewa, menulis puisi khas untuk majlis santapan Sultan dan Raja Perempuan Kelantan. Sempena ulang tahun keputeraan baginda pada, Mac 1998. Pada 2003, menerima Pingat Jubli Perak selepas diberi kepercayaan oleh Ketua Polis Kelantan menghasilkan sebuah sketsa, Perjalanan Ke Wad 26. Dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, di Stadium Sultan Muhamad, Kota Bharu.

Cinta di gerbang Babul Al-Aziz
Publication: BM
Date of publication: Mar 13, 2011
Section heading: BM Dua
Byline / Author: Oleh Wan Asyeah Wan Nawang




Cerpen: Cinta di gerbang Babul Al-Aziz

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.