8 tugas penting zaman remaja

Share on Tumblr Kini, tugas dan perkembangan remaja merujuk kepada masalah yang biasa dihadapi oleh setiap individu pada peringkat berlainan dalam perkembangan hidupnya.

Bagi remaja perkembangan ini adalah masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan pada masa peralihan daripada peringkat kanak-kanak ke peringkat dewasa.

Masalah ini tidaklah semuanya unik, tetapi ia adalah kerumitan yang harus diatasi sekiranya remaja mengharapkan kejayaan dalam hidupnya sebagaimana orang dewasa. Setiap remaja akan menghadapi masalah sama ada emosi, rohani dan sosial. Kejayaan remaja menghadapi dan mampu mengatasi masalah yang dihadapinya akan menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya. Melalui bimbingan dan nasihat ibu bapa, remaja akan dapat menghadapi apa juga masalah dalaman dan luaran yang dihadapinya.

Ahli psikologi Barat, Robert J Havighurst menyenaraikan lapan tugas penting yang memerlukan perhatian lebih pada zaman remaja.

# Pertama, membentuk perhubungan baru yang lebih matang dengan rakan-rakan yang sama umur tidak kira lelaki atau perempuan
# Kedua, boleh memainkan peranan dalam kehidupan sosial yang baik sama ada lelaki atau perempuan
# Ketiga, menerima hakikat bentuk badan sendiri dan menggunakan kelebihan diri dengan berkesan
# Keempat, mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa dan orang dewasa yang lain
# Kelima, bersedia untuk berkahwin dan bertanggungjawab terhadap kehidupan keluarga
# Keenam, bersedia untuk bekerja
# Ketujuh, memperoleh satu set nilai dan satu sistem etika sebagai panduan tingkah laku untuk membentuk satu ideologi
# Kelapan, mengingini dan menerima tanggungjawab serta tingkah laku bersosial.

Justeru, remaja keseluruhannya mempunyai keperluan biologi dan kehendak yang serupa. Kadangkala ini dikenali sebagai keperluan asas diri. Keperluan ini termasuk lapar, dahaga, melakukan aktiviti seperti sukan dan sebagainya. Keperluan ini mestilah difahami oleh ibu bapa yang mempunyai anak remaja.

Tugas dan tanggungjawab remaja sebenarnya tidak boleh lari daripada pembangunan isu sosial. Pembangunan yang dimaksudkan adalah pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang dilaksanakan oleh remaja. Remaja mestilah mengelakkan daripada terjebak ke dalam kegiatan tidak sihat.

Antara keperluan personaliti remaja yang sangat diperlukan adalah untuk meningkatkan status, kebebasan, pencapaian dan falsafah hidup yang memuaskan. Remaja biasanya akan meletakkan hiburan sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka. Bagaimanapun, hiburan mestilah tidak sampai melalaikan dan mengganggu usaha untuk mencapai cita-cita.

Berkaitan dengan salah laku remaja, ahli psikologi barat, Hirschi T melalui Teori Perbezaan Persatuan menyatakan remaja tidak berminat atau berhasrat untuk melakukan salah laku atau terlibat dalam aktiviti tidak sihat sebelum dia menggabungkan diri dengan mereka yang terbabit dengan aktiviti berkenaan. Hanya setelah mereka ‘belajar’ dan terdedah kepada unsur-unsur negatif, barulah mereka akan melibatkan diri dengan perkara berkenaan.


Justeru, bagi menangani masalah dan salah laku remaja memerlukan kebijaksanaan dan fikiran rasional. Remaja perlu didekati secara psikologi, tidak menghalang secara total apa yang menjadi minat mereka. Setiap remaja sudah mempunyai minat masing-masing, malah minat berkenaan ditanam, disemai dan dipupuk sejak kanak-kanak lagi.

Mereka juga tentu ingin memperkembangkan minat mereka yang sekian lama dipupuk. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi sokongan, biarkan anak meneruskan minat mereka itu hingga berjaya, asalkan tidak melakukan perbuatan negatif dalam kehidupan. Ibu bapa bagaimanapun perlu meningkatkan tahap pengawasan terutama ketika anak keluar rumah selepas tengah malam.

Ibu bapa mestilah bijak mendekati remaja dengan menerapkan nilai-nilai murni dan moral serta mempamerkan contoh yang baik. Penerapan nilai-nilai yang baik ini secara perlahan akan dapat menyerap ke jiwa remaja yang dahagakan bimbingan dan nasihat.

Remaja tidak wajar dimusuhi kerana kecelaruan mereka memilih nilai yang baik dalam hidup. Cita rasa mereka tidak harus dipinggirkan dengan arahan demi arahan. Lazimnya yang mencetuskan keganasan adalah disebabkan ibu bapa tidak memahami perasaan dan jiwa anak mereka. Di sekolah pula, peranan guru mengukuhkan nilai-nilai yang baik dalam jiwa remaja. Pengukuhan ini boleh dilakukan melalui pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, nasihat dan bimbingan yang berkesan daripada guru akan memberikan panduan dan kesan yang baik kepada remaja.

Identiti budaya generasi muda mestilah tidak menyimpang daripada nilai-nilai budaya yang kita anuti sekarang. Media mempunyai potensi untuk mempengaruhi budaya remaja. Oleh itu, media perlulah memaparkan nilai-nilai budaya yang baik yang perlu diamalkan setiap remaja. Elakkan remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan penggunaan pil khayal yang boleh merosakkan masa depan remaja.


Pelbagai usaha boleh dilakukan oleh ibu bapa dan guru antaranya mengenal diri remaja, mendidik jiwa, mendidik supaya mengenang jasa, membentuk identiti dan jati diri ke arah menjadikan remaja yang berani menuju ke depan, tidak berputus asa dan penuh harapan.


Sesungguhnya, ibu bapa dan guru mempunyai pengaruh yang boleh dilakukan ke arah kebaikan bagi melaksanakan pendidikan berterusan. Matlamat pendidikan seharusnya mengubah daripada perkara buruk ke arah kebaikan. Nilai kebaikan yang menjadi budaya dan jati diri remaja adalah hasil daripada pendidikan yang berkesan.

Hanya melalui pendidikan dan bimbingan akan dapat menyelamatkan remaja. Ibu bapa dan juga guru dapat mendekatkan diri dengan remaja melalui pendidikan yang diberikan kepada mereka. Justeru, keberkesanan pendidikan di rumah dan di sekolah amat penting bagi mendekatkan dan menerapkan remaja dengan keimanan dan akhlak.

~ Utusan 8 tugas penting zaman remaja

1 Komen:

semanis apple berkata...

setuju sgt..sebab x semua masalah remaja dilakukan oleh kehendak sendiri....kekadang keadaan dan masa juga memainkan peranan

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.