Percutian bersama teman

Share on Tumblr Percutian yang dirangka tentunya menjadi lebih bermakna apabila dilakukan bersama teman tersayang. Tidak kira bersama keluarga, mahupun rakan-rakan. Jika sebelum ini, anda tidak berpeluang menghabiskan masa untuk bersantai bersama mereka, maka aktiviti percutian ini merapatkan jurang kemesraan yang agak lama ditinggalkan.

Di sini disarankan beberapa aktiviti percutian yang menarik untuk dilakukan bersama teman dan insan tersayang. Lupakan seketika fail yang melambak di atas meja, apa kata anda memohon cuti tahunan yang masih berbaki lagi.

Pulau

Memilih pulau atau pantai sebagai destinasi percutian adalah suatu pilihan yang ideal. Pilihan di tangan anda, sama ada ingin bercuti di pulau-pulau di Malaysia atau luar negara. Selain menikmati keindahan laut membiru bersama insan tersayang, anda juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti air yang menarik serta mengujakan.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti mencabar, jangan ketinggalan untuk meluncur atau bermain jet ski manakala mereka yang mencintai keindahan dasar laut, bolehlah menyelam atau snorkeling. Ia pasti menjadi aktiviti yang paling mengujakan. Apa yang penting, pastikan anda tidak mudah panik, mahir berenang dan ditemani mereka yang pakar. Bukan itu sahaja, pada sebelah malam pula, anda boleh menikmati hidangan makan malam berasaskan hidupan laut di seleksi restoran yang terdapat di pesisiran pantai sambil ditemani tiupan bayu laut dan deruan ombak yang mengasyikkan. Keterujaan bergembira bersama insan tersayang lebih dirasai apabila melakukan barbeku di tepi pantai.

Layanan istimewa di hotel

Menginap beberapa hari di hotel juga merupakan satu pilihan yang menarik. Di sana, anda dan teman tidak perlu memikirkan soal makan atau mengemas bilik. Boleh dikatakan segala-galanya sudah disediakan oleh pihak hotel. Tidak perlu memilih hotel yang menghidangkan pemandangan pantai kerana hotel yang berpangkalan di kota juga ada keistimewaan tersendiri.


Sebaik-baiknya pilih hotel yang lokasinya strategik dan berhampiran dengan gedung beli-belah, restoran dan pengangkutan awam. Sekiranya, bosan 'memerap' di dalam bilik, anda dan teman boleh meluangkan masa bersama membeli-belah, menonton wayang atau berjalan-jalan mencuci mata dengan menaiki pengangkutan awam. Jika penat berjalan, apa kata anda merehatkan badan dengan mengunjungi spa yang beroperasi di dalam hotel atau setidak-tidaknya hiburkan halwa telinga dengan menyaksikan nyanyian di kelab hotel.


Keriangan taman tema

Bersantai dan bersuka ria di taman tema permainan dan air memang menyeronokkan. Seleksi permainan yang ditawarkan memberi peluang kepada anda dan teman merasai keseronokan bersama terutama bermain permainan yang mencabar. Namun begitu, jangan terlalu seronok sehingga mengabaikan tahap keselamatan diri. Antara taman tema yang boleh dikunjungi adalah Taman Tema Genting Highlands; Cosmic World Times Square, Sunway Lagoon; A Famosa Water World atau Lost World of Tambun.


Rehat bersama di spa

Meluangkan masa bersama yang tersayang tidak semestinya memerlukan anda melancong atau ke destinasi percutian yang memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Barangkali, spa atau pusat kecantikan yang menawarkan pakej rawatan bersama pasangan boleh menjadi pilihan. Pastinya, ia memberikan pengalaman yang menyeronokkan memandangkan pada hari ini, kebanyakan spa menyediakan pakej rawatan untuk suami dan isteri serta pakej parti kecantikan bersama teman-teman perempuan antara lima hingga 10 orang. Sambil badan diurut atau melakukan proses refleksiologi, anda boleh berbual-bual bersama teman tentang pelbagai isu. Lagipun dekorasi spa yang cantik dan tenang membuatkan anda melupakan seketika kesibukan kota dan tugasan harian.

Restoran lokasi pertemuan

Menikmati percutian atau meluangkan masa bersama teman tersayang tidak semestinya dilakukan di lokasi yang jauh atau memerlukan tempoh hari yang lama. Tahukah anda, menikmati hidangan makanan di restoran yang terbaik dan menawarkan seleksi menu yang lazat sudah memadai untuk menggembirakan hati anda dan teman-teman. Sambil menjamu selera, pastinya suasana kemesraan itu akan wujud apabila disusuli dengan gelak tawa, jenaka dan topik yang dibincangkan. Jika ingin menyuntik kelainan pada sesi pertemuan itu, apa kata anda dan teman berpakat memakai baju mengikut tema atau motif yang sama. Pasti mood hari tersebut lebih istimewa terutamanya apabila merakamkan foto.

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF Percutian bersama teman

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

to miezamiozami~~~pe kate nnt kte g sumer tmpt yg dcngkan nk x??? hehe

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.