Penangan cinta siber

Share on Tumblr Saya berusia 23 tahun, masih belajar, dikurniakan Allah SWT cukup sifat dengan ibu bapa yang mendidik mengenai agama sejak kecil. Suratan takdir menemukan saya dengan suami orang di alam siber. Lelaki berusia 38 tahun itu juga bapa beranak lima.

Dia bertugas di perantauan dengan anak-anaknya berada di Malaysia. Setiap malam, kami bersembang di laman siber. Pada awalnya perbualan kami hanya sekadar mengisi masa kesepian dirinya. Namun, akhirnya perbualan itu bertukar menjadi hubungan kasih sayang. Pada Mei lalu, kerjanya di perantauan itu selesai dan kembali ke Malaysia. Bagaimanapun, kami tidak pernah bertemu. Hajat memang ada tetapi tertangguh kerana saya amat takut tidak dapat mengawal diri lalu terjebak ke kancah maksiat.

Dia pernah mengusulkan kami berkahwin. Sebenarnya puan, dalam soal untuk berpoligami mungkin saya boleh menempuhnya tetapi saya tidak mahu melukakan hati isteri dan anak-anaknya. Lagipun, dia tidak ada masalah dengan isteri dan anak-anaknya, sebaliknya amat mengasihi mereka. Cuma malangnya, dalam keinginannya mengisi kesepian di perantauan, dia terpikat dengan saya. Saya sebenarnya amat sayangkannya, tidak mahu kehilangannya dan sentiasa membayangkan kebahagiaan hidup di sisinya.

Saya juga sedar dia sudah berkeluarga. Saya cuba memutuskan hubungan yang berusia enam bulan ini tetapi saya tidak berupaya. Bukan hanya mendengar suara, membaca sebaris SMS kirimannya pun membuatkan saya sukar untuk meninggalkannya. Saya benar-benar minta maaf pada isteri dan anak-anaknya jika pada akhirnya kelak, hubungan kami perlu dihalalkan. Namun pada masa sama, saya masih cuba untuk keluar daripada hubungan ini.

FAINA

JAWAPAN


Faina yang baru terjebak dengan sangkar cinta berdebu akibat cuba bermain-main dengan apinya yang kini jelas dengan terbakar hati. Jutaan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana anda masih berada di belakang tembok iman yang dibina oleh keluarga dan diri anda dengan izin Allah.

Faina, di usia yang sebegini muda, anda ibarat bunga mawar mekar di atas jambangan, yang bukan saja rupanya cantik tetapi baunya harum. Semua yang melintasi jambangan itu pasti akan teringin bukan saja menatapnya, malah mencium baunya dan paling ramai mahu memilikinya walaupun untuk memetiknya perlu merasa bisanya duri itu.

Namun lelaki tetap lelaki. Walaupun dia sudah ada tanggung jawab lima anak dan seorang isteri mereka tetap saja berasa mereka raja dalam perhubungan cinta dan sanggup melakukan apa saja demi memiliki cinta yang terbina. Ini prinsip lelaki yang masih tinggi dengan egonya.

Dalam hubungan anda dengannya, dia akan melakukan apa saja asal dapat memiliki anda. Ini kerana, anda bukan saja cantik tapi lebih penting lagi muda belia ibarat ulam yang belum dijamah dan pastinya dia akan terus memburu anda dengan apa cara sekali pun. Dinding yang dapat melindungi dan menahan hasratnya yang bertaraf ‘buaya tembaga’ dan punya modal seperti golongan berada, yang sudah masak dengan cara dan gaya memikat dan memerangkap mangsa, maka dia akan berusaha mati-matian memburu anda.

Pada masa sama, sanggup meninggalkan lima anak dan isterinya yang terluka demi memuaskan nafsu kepada anda tidak lain dan tidak bukan bertahan untuk tidak mengikut dan memenuhi hasratnya untuk berjumpa dengannya walau di mana pun tempat pertemuan. Anda harus belajar melihat kes ini secara positif sebagai mana nasihat orang bijaksana: “Cuba lihat betapa banyak nikmat Allah SWT yang ada padamu, maka ikatlah ia dengan rasa kesyukuran dan bukan mencemarinya dengan melanggar perintah Allah SWT dan merampas dan melukakan hati kaum sejenismu, sedangkan jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkarinya (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrhim:7).

Oleh itu syukuri kecantikan dan usia anda dengan tidak melawan perintah Allah SWT walaupun anda sangat terdorong melakukannya.

Nasihat saya, jadilah dirimu sendiri kerana anda dalam penciptaan ini ada sesuatu yang lain, yang tidak seorang pun menyerupai anda dan sebaliknya. Anda juga tidak seperti orang lain jadi mengapa anda harus melakukan seperti orang lain, akur dengan kancah cintakan suami orang. Belajarlah daripada pesanan orang tua-tua, jika anda pernah melukakan, anda tidak akan dapat selamat dari dilukai. Apatah lagi anda masih muda , terlalu banyak masa dan kesempatan mencari pasangan yang sepadan dengan anda.

Anda juga ada kelebihan dari segi wajah, oleh itu jangan cepat terpesona dengan pujian apa apatah lagi daripada lelaki yang jauh lebih berusia. Belajarlah membuat pilihan yang tidak melukakan orang lain. Bukankah sedari awal, tujuan asal anda hanya suka-suka saja tetapi kenapa harus melukakan hati orang lain?

Sebab itu Angelo Battero menulis: “Tidak ada orang yang paling menderita yang lebih daripada orang yang tidak menjadi diri sendiri, wujud tidak menjadi jasadnya sendiri dan tidak menjadi fikirannya sendiri.”

Pesanan ini menegaskan jika membuat tindakan dan keputusan mestilah kerana diri sendiri bukan kerana pengaruh orang lain dan bukan atas kemahuan orang lain. Oleh kerana fitrah hidup, tidak akan sesiapa yang berhak membuat kita menurut perintah dan hajat sesiapa atas apa sebab sekali pun. Oleh itu anda pemegang dinding kebal untuk tidak tunduk kepada pujuk rayu dan tidak mengharapkan embun kasih orang sudah berpunya hingga perlu menjadi pengemis untuk teruskan hidup. Belajarlah untuk berdikari baik dari segi mental, emosi dan hati. Allah SWT jadikan kita mata untuk melihat kewajaran dan mata hati untuk membuat keputusan untuk terus memburu bayang atau mahu terus gila bayang. Rasailah bahawa langit masih tinggi dan bumi masih lebar untuk anda bergerak. Mengapa harus menyempitkan hati dan perasaan hingga anda sendiri terpenjara di dalamnya?

Cinta itu dianugerahkan bukan untuk membuat kita buta, hingga tidak tahu yang mana wajar yang mana tidak, tetapi cinta dianugerahkan kepada hati yang tahu siapa pembakar perasan itu padanya dan mencintai pembekal cinta dulu sebelum mencintai orang yang dicintainya. Akhirnya belajarlah iktibar kesalahan, hargailah harga diri ,watak, potensi diri sendiri dan tidak boleh melebur ke dalam keperibadian orang lain. Akhir sekali hayati pesanan penyair ini: “Adakalanya Allah SWT menganugerahkan nikmat dengan cubaan, walaupun sangat besar dan telah menguji sebahagian kaum dengan nikmat” .

Jangan sampai kejelitaan anda menjadi penyebab munculnya kesengsaraan. Selamat mempertahankan kekebalan anda demi hamba Allah yang tercinta.

~ Dr Rubiah K Hamzah

Ingin menyumbangkan nukilan anda di blog ini? Untuk berkongsi karya, sila klik sini. Penangan cinta siber

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.