Kitaran Kehidupan

Share on Tumblr Purata satu kitar kehidupan manusia pada zaman sekarang ini adalah dalam linkungan 70 tahun.

Manakala haiwan pula ada bermacam-macam tempoh kitaran kehidupan mereka, dari serangga yang mempunyai kitar kehidupan hanya beberapa hari atau minggu hinggalah ke mamalia yang mungkin mencecah hayat 40 tahun seperti gajah. Seekor Anjing mungkin boleh hidup hingga 10 tahun.

Kalau serangga yang mempunyai kitar kehidupan satu minggu, ini bermakna pada hari ke 7, serangga tersebut telah terlalu tua dan tidak bermaya sebanding seperti manusia yang berumur 70 tahun.

Bagaimana yang kita rasakan begitu lama untuk mencecah umur 70 tahun, begitu jugalah yang dirasakan oleh seekor serangga untuk mencapai umur hari ketujuhnya.

Untuk menuju umur 70 tahun kita perlu melalui fasa-fasa kehidupan yang berbeza yang mesti dialami oleh semua orang. Bermula dari fasa bayi dikuti fasa kanak-kanak, kemudian fasa remaja, fasa dewasa dan akhir sekali fasa umur tua. Setiap fasa itu dibezakan oleh keadaan fzikal dan naluri yang berbeza.

Kalau serangga pula, ada yang mempunyai rupa bentuk yang amat berbeza antara satu fasa dengan fasa yang lain dalam kitar kehidupannya. Seperti rama-rama, sebelum jadi rama-rama dia melalui fasa menjadi ulat bulu terlebih dahulu. Masa jadi ulat bulu, dia hanya merayap tidak boleh terbang, hanya bulunya yang berbisa menjadi perisai dari menjadi serangan pemangsa. Apabila telah bertukar menjadi rama-rama, bentuknya sungguh berbeza, mempunyai kepak untuk terbang.

Nyamuk pula bermula dengan fasa jentik-jentik yang hidup dalam air kemudian bertukar menjadi nyamuk yang dewasa yang boleh terbang.

Secara tidak langsung dan mungkin tanpa kita sedari, semua binatang dan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ini ada peranan masing-masing dalam membentuk ekosistem alam kita ini supaya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Tumbuhan dan binatang, termasuk virus dan bacteria yang halus itu pun turut menyumbang untuk menjadikan alam ini selesa dan sesuai untuk didiami oleh kita manusia. Tentu semua manusia akan mati kerana kekurangan oksigen kalau tidak ada tumbuh-tumbuhan yang membekalkan oksigen untuk kita.

Walaupun kita nampak serangga dan haiwan setiap hari bergerak untuk mencari makan tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai peranan sampingan bagi mengekalkan ekosistem alam ini secara keseluruhannya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Seperti untuk membina sebuah bangunan yang besar, ada tukang paip, ada tukang elektrik, ada tukang simen, ada tukang pasang lantai, ada tukang pasng cermin tingkap, ada tukang pasang bata. Masing-masing membuat kerja masing-masing mengikut yang dikehendaki. Akhirnya akan terbinalah satu bangunan yang sempurna, selesa dan cantik.

Dalam setiap hari pun kita ada kitaran hidup kita. Seorang guru, setiap pagi akan ke sekolah, beliau akan mengajar subjek yang tertentu dari awal pagi sampailah tengahari.

Seorang penoreh getah, setiap lepas subuh akan ke kebun getah untuk menoreh dan akan selesai sebelum waktu zohor. Seorang nelayan hari-hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Setiap orang ada kitaran hidup masing-masing yang wajib mereka lakukan bagi setiap hari, setiap hari mereka akan lakukan perkara yang sama untuk tempoh waktu yang panjang. Rutin kerja kita mungkin akan berubah bila kita bertukar kerja atau profesyen, atau bila naik pangkat, atau selepas bersara.

Walaupun apa yang kita lakukan hari-hari itu adalah untuk mencari rezeki dan nafkah kehidupan kita tetapi secara tidak langsung sebenarnya kita juga menyumbang kepada kehidupan manusia lain. Ikan yang ditangkap oleh nelayan bukan sahaja untuk keperluan nelayan itu sahaja tetapi adalah juga untuk dimakan oleh manusia lain.

Bagaimana kecil pun sumbangan kita pasti akan memberi kesan kepada kehidupan manusia dan alam keseluruhannya. Apa yang kita lakukan ini seperti telah ditentukan mengikut pilihan kita. Oleh itu janganlah sekali kita membuat keburukan dan kejahatan kerana perbuatan itu akan menjejaskan keharmonian kehidupan manusia lain juga.

Sebaliknya jadilah orang yang sentiasa beruntung dalam kehidupan ini, iaitu orang yang beriman dan orang yang sentiasa membuat kebaikan. Apa saja pekerjaan baik yang kita lakukan sehari-hari akan juga memberi kebaikan kepada manusia lain dan alam keseluruhannya.

Tidak perlu kita mengumpulkan harta bertimbun untuk ditinggalkan kepada anak dan cucu-cicit kita. Kalau semua orang bersikap baik dan dan kita pula selalu ingat untuk menjalankan tanggungjawab kita dengan baik, insyallah anak-anak dan cucu-cicit kita juga akan beroleh kebaikan juga.

Yang perlu kita wariskan kepada anak dan cucu-cicit kita bukannya harta tetapi yang lebih utama ialah dengan mewariskan khazanah alam yang tidak ternilai ini, elakkannya dari terus diancam pencemaran dan elakkan penggunaan sumber alam dengan cara yang membazir.

Elakkan bersikap tamak, tidak memperkayakan diri dengan cara yang tidak beretika dan tidak hanya mementingkan faedah diri sendiri sahaja. Sikap baik inilah yang sebenarnya yang dapat menjamin kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak cucu kita berkekalan.

Sumber: Blog Alias Mohd Yusof Kitaran Kehidupan

1 Komen:

jiwa.lalat berkata...

terharu..mungkin aku patut hormat pada pakcik semut yg berumur 6 hari lain kali

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.