Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?

Share on Tumblr Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?

Sebenarnya Sang Ketam tidak pernah menyuruh dan mengajar anaknya berjalan betul kerana Sang Ketam cukup yakin bahawa caranya berjalan, sebagaimana cara nenek moyang kepada nenek moyangnya, dan cucu cicit kepada cucu cicitnya berjalan, telah betul dan sempurna.

Sebaliknya bangsa Ketam pulalah yang merasa hairan dan takjub melihat manusia itu sendiri yang tidak habis-habis, malah bertambah-tambah dengan ajaran dan peraturan yang pelbagai macam, dari doktrin-doktrin, rukun-rukun, fatwa-fatwa sampailah kepada akta-akta, pekeliling-pekeliling dan memo-memo. Manusia telah menghabiskan waktunya untuk membuat segala macam peraturan dan mengawas perlaksanaan peraturan-peraturan; dari peraturan lalulintas jalan raya; peraturan datang ke pejabat dan peraturan berpakaian, sampailah kepada peraturan-peraturan bercakap di Parlimen dan di Mahkamah, peraturan menyekatkan air dan menggunakan elektrik, serta peraturan menyimpan rambut di kepala bagi kepala yang berambut.

Kehairanan Sang Ketam itu kian bertambah bila melihat manusia yang tidak pernah berjalan betul itu menghabiskan waktunya dengan mendandan mukanya, memelihara rambutnya, mengenakan pakaiannya, malah lebih aneh menahan makan dan minum untuk menguruskan badan, menelan kapsul dan jamu-makjun untuk memperkuatkan bahagian-bahagian anggota tubuhnya, mengumpulkan harta dan ringgit, menentukan jenis darah dan keturunan serta status dan gelaran, malah sangat teliti mencukur bulunya di samping berkelahi dan berbunuhan, menindas dan menipu sesamanya. Soalnya di sini, siapakah sebenarnya yang mengajar dan menyuruh anaknya berjalan betul, Ketam atau Manusia?

Dr. Usman Awang – Sasterawan Negara Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?

2 Komen:

jiwa.lalat berkata...

haha.sinis ceritanya.

Tanpa Nama berkata...

manusia lar...ktam 2 mner thu aper2 n cam mner dorg nk jln btul2....

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.