Lelaki dan komitmen perkahwinan

Share on Tumblr Anda sudah menamatkan pengajian peringkat tinggi, memiliki pekerjaan tetap dan kehidupan stabil. Malah, harta seperti rumah dan kenderaan juga sudah dibeli sejak beberapa tahun lalu.

Pada peringkat ini, apatah lagi usia sudah mencecah lewat 20-an, lelaki yang memenuhi kriteria seperti dinyatakan tadi tentu mula dihujani soalan cepumas, bila lagi hendak menamatkan zaman bujang?

Bagi lelaki yang sudah mempunyai calon di hati, barangkali tidak sukar memberi jawapan. Namun, bagi mereka yang masih solo, soalan bila hendak kahwin seolah memberi tekanan. Ini dirasakan mereka yang belum pasti sama sudah bersedia untuk komitmen perkahwinan atau tidak.

Soal perkahwinan, bagi kebanyakan lelaki dianggap isu besar dan penting dalam hidup. Pada suatu peringkat dalam perjalanan kehidupan seseorang lelaki, mustahil tidak pernah terlintas di fikiran mengenai soal kahwin.

Dalam memikirkan isu perkahwinan pula, persoalan yang selalunya berlegar di fikiran lelaki adalah apakah mereka bersedia dalam menempuh alam perkahwinan. Ada juga memikirkan bagaimana hendak menghadapi cabaran sebagai pasangan yang sudah berumah tangga.

Tidak dinafikan, dalam situasi yang membandingkan pemikiran antara lelaki dan wanita, golongan lelaki dikatakan jarang memikirkan perihal komitmen perkahwinan berbanding wanita.

Antara sebab membuatkan segelintir lelaki tidak begitu mengambil berat soal komitmen perkahwinan adalah kerana masyarakat tidak mengambil kisah lelaki bujang walaupun usia sudah mencecah 30-an. Lain pula halnya bagi wanita yang selalu menjadi bahan bualan jika masih belum berumah tangga pada peringkat usia sebegini.

Namun, tidak semua lelaki bersikap tidak serius mengenai komitmen perkahwinan. Ramai yang bercita-cita membina keluarga sendiri. Sebagai lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga, keputusan yang hendak diambil tentunya lebih berat berbanding wanita.

Fitrah lelaki, sudah tentu mereka menjadi pihak yang harus memulakan langkah pertama melamar wanita pilihan sebagai isteri. Seterusnya, lelaki perlu menyediakan keperluan seperti kewangan dan material untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

Memulakan langkah pertama itu bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk mengadakan segala persiapan serta menghadapi dunia baru yang pastinya penuh dengan cabaran. Maklum saja, sesudah berkahwin, kehidupan perlu dilalui bersama pasangan yang tentunya mempunyai cara dan pemikiran berbeza. Pastinya, ini menuntut kesabaran dan kefahaman kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, amat penting bagi lelaki memastikan dirinya cukup bersedia berdepan dengan semua kerenah sebelum membuat keputusan berkahwin.

Sebagai panduan, ikuti temubual Tanya Pakar bersama Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Dr Mohd Fadzil Che Din mengenai lelaki dan komitmen perkahwinan.

Apa persiapan yang harus dilakukan seseorang lelaki sebelum mendirikan rumah tangga?

Selalunya orang akan lebih sibuk dengan persiapan secara fizikal atau material. Ia lebih kepada bagaimana untuk meraikan hari perkahwinan dan memastikannya berjalan dengan lancar.

Persiapan ini meliputi penyediaan bajet, tema dan semua perkara membabitkan majlis yang bakal berlangsung. Selepas itu barulah aspek rohaniah diberi ditumpukan termasuk tugas sebagai seorang suami, hubungan dengan pasangan, keluarganya dan jalinan emosi dengan mereka.

Kedua-duanya, iaitu persiapan fizikal dan rohaniah sama penting. Semua perkara membabitkan soal persiapan seharusnya mula difikirkan sebaik membuat keputusan mendirikan rumah tangga.

Waktu itu lagi sepatutnya sudah terbit idea mengenai konsep yang ingin dipilih dan bagaimana hendak melaksanakan peristiwa penting ini. Seperkara lagi, kita harus sedar bahawa isteri yang hendak dikahwini itu masih bergelar anak kepada ibu bapanya, malah mereka mempunyai keluarga sendiri. Maka lelaki perlu faham keadaan mereka dan cuba sesuaikan diri dengan keluarga sebelah isteri.

Apa pandangan Dr Mohd Fadzil mengenai persepsi sesetengah wanita yang menganggap kebanyakan lelaki sering tidak serius dalam merancang dan membuat persiapan perkahwinan mereka?

Ini tidak dinafikan dan ia sesuatu yang normal sebenarnya. Mereka tidak begitu berminat untuk membuat persiapan perkahwinan kerana ini memerlukan ketelitian seperti persiapan hantaran, pelamin dan sebagainya.

Kerja ini biasanya diserahkan kepada keluarga mereka. Tidak bermakna bahawa lelaki mengambil mudah hal ini, cuma fokus persiapan mereka tidak ke arah itu tapi mungkin lebih kepada persiapan kewangan.

Hal ini ada kalanya menimbulkan konflik antara pasangan yang ingin berkahwin. Oleh itu, seseorang lelaki harus bijak mengawal keadaan dan menyelesaikan masalah yang wujud sebaiknya.

Bagaimana hendak menentukan sama ada seseorang lelaki itu sudah bersedia untuk berkahwin ataupun tidak?

Untuk berkahwin, seseorang lelaki sepatutnya sudah matang bukan saja dari aspek fizikal tetapi mental dan emosi. Ada masanya seseorang itu kelihatan matang secara luarannya tapi dari segi emosi dan mental, mereka belum cukup matang.

Perkahwinan adalah suatu perkongsian dan apabila sudah mendirikan rumah tangga, anda harus belajar berkongsi dan toleransi dari segi emosi, mental dan fizikal dengan pasangan anda.

Seseorang lelaki mesti bersedia dari segi kewangan sebelum berkahwin. Mereka perlu sedar hakikat apabila berkahwin, proses perkembangan keluarga mula berlaku dan dari segi kewangan, semua ini pastinya memerlukan perbelanjaan tinggi.

Jika sebelum ini kita cuma fikirkan diri kita seorang saja, selepas berumahtangga kita perlu menanggung keluarga yang baru dibina. Jadi, lelaki harus pastikan pendapatan mereka mencukupi untuk melalui kehidupan berkeluarga. Isteri yang bekerja adalah sebagai sokongan saja, tanggungjawab utama tetap terletak pada suami.

Apakah sikap yang perlu dibentuk dalam diri seseorang yang bergelar suami?

Lelaki harus menanamkan sikap proaktif dalam diri masing-masing. Jangan bersikap reaktif, sudah terhantuk baru terngadah. Maksudnya, sebelum sesuatu masalah itu timbul, mereka harus berusaha untuk mengelakkan ia terjadi. Banyak konflik dalam perkahwinan berlaku berpunca daripada kurangnya ilmu, pengalaman dan kemahiran kekeluargaan.

Sehubungan itu, seseorang lelaki perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu berhubung tanggungjawab suami. Ini supaya mereka mampu berdepan dengan cabaran perkahwinan. Lelaki juga harus pandai mengimbangkan tanggungjawab sebagai individu, ketua keluarga serta kerjaya mereka.

Bagaimana untuk menghadapi cabaran dan masalah dalam perkahwinan?

Keluarga adalah institusi yang bersifat dinamik di mana sentiasa berdepan peristiwa dan perubahan. Kerjaya juga ada dinamiknya kerana kita terdedah dengan pengaruh di tempat kerja terutama daripada kawan.

Apabila terdedah dengan semua perkara ini, hubungan perkahwinan cenderung dilanda masalah. Perasaan kecil hati dan gagal mencapai kata sepakat sering berlaku. Dalam menghadapi masalah atau cabaran ini, jangan bersendirian. Dapatkan sokongan daripada pihak yang dapat membantu anda.

Apa yang perlu seseorang lelaki terapkan dalam minda mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan?

Bila melangkah ke alam perkahwinan, secara automatik seseorang lelaki perlu melaksanakan segala tanggungjawab. Pada peringkat ini, setiap yang mereka fikir perlu perlu dibuat, harus dilaksanakan.

Di sinilah letaknya semua kemahiran sebagai seorang suami. Pada pandangan saya, lelaki tidak usah takut melakukan apa yang mereka fikirkan betul. Seandainya timbul masalah, mereka perlu menyelesaikannya serta-merta tanpa bertangguh hingga ia menjadi lebih rumit.

Kadangkala, lelaki perlu menilai diri sendiri jika masalah yang terjadi berpunca daripada diri mereka. Selain itu, hal dalam perkahwinan juga ada kalanya memerlukan kita membuat penyesuaian.

Bagaimana pula untuk menghadapi tekanan yang datang dari luar?

Kadangkala, faktor luar tidak mampu dikawal kita. Bagi menghadapinya, kita perlu mencari kemahiran baru. Di samping itu, cara berfikir juga harus diubah. Persepsi ‘sepatutnya ia berlaku begini’ perlu diubah kepada ‘alangkah baiknya jika ia berlaku begini’.

Nasihat kepada lelaki yang bakal mendirikan rumah tangga?

Perkahwinan adalah perhubungan orang dewasa. Justeru, kita harus bertindak seperti seorang dewasa. Seorang dewasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dipertanggungjawabkan kepadanya.

Elak melakukan sesuatu yang boleh membuka 1,001 masalah, kemusnahan dan apa saja cabaran yang memberi risiko kepada rumah tangga. Lelaki dan komitmen perkahwinan

1 Komen:

Shahkasahias berkata...

Hi...tumpang pomote yer.. ops.. ada peluang baik nie... LAKUKAN SEKARANG!!! Sila copy Paste Ayat Berikut di wall Facebook masing² dan pastikan nama kami di Tag .. Siapa dapat like paling bnyk.. dgn jawapan yg bestt akan dikira pemenang SHOOTING PRE WED/POST WEDD..x customer sangat2 dialu-alukan.. 3 orang ok..kebarangkalian anda tinggi...!! Ayatnya adalah..(Copy selepas simbol>) >>>>>>Kitorang Suka dengan Team Shahkasahias Photography sebab diorang....(Isi jawapan anda)

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.