Zaman Remaja - Cabarannya berganda

Share on Tumblr Zaman remaja merupakan satu tempoh yang berharga yang perlu diisi dengan sebaik-baiknya.

Kejayaan remaja menggunakan sepenuhnya masa emas itu akan memberi imej yang baik kepada diri mereka dan generasi seterusnya.

Ibarat masa berlalu yang tidak mampu diputar semula, begitulah juga dengan zaman remaja. Ia datang sekali dalam seumur hidup, lantaran zaman remaja itu perlu `diisi' semolek-moleknya.

Namun menjadi seorang remaja, pelbagai perkara baru mahu dicuba, apatah lagi perkara-perkara yang penuh cabaran, kononnya memberikan satu kepuasan.

Justeru, untuk memastikan remaja dan orang dewasa menangani peringkat ini dengan berjaya, adalah penting golongan ini dan ibu bapa memahami apa yang terjadi kepada remaja secara perkembangan fizikal, kognitif dan sosial remaja.

Perubahan dari segi perkembangan fizikal ialah perkembangan ciri-ciri seksual sekunder dari segi perubahan aras hormon, pertambahan ketinggian, perubahan gaya, sikap, perkembangan otak secara berterusan dan sebagainya.

Perkembangan kognitif ialah perubahan kemahiran berfikir lebih baik daripada kanak-kanak serta berfikir secara rasional, abstrak dan sebagainya.

Perkembangan psiko-sosial pula ialah pembentukan identiti, autonomi, membentuk keintiman, seksual diri dan pencapaian atau kejayaan di dalam sesuatu bidang yang diterokai.

Tidak dinafikan, pada waktu remaja jugalah, golongan ini mudah terdedah dengan percintaan sama ada perhubungan yang dijalinkan itu cinta berahi iaitu, cinta kosong, cinta pandang pertama, cinta suci, cinta permainan, cinta bodoh dan cinta monyet.

Namun persoalannya, wajarkah golongan remaja itu bercinta?

Menurut Ketua Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohd. Nasir Mohd. Taib, cinta merupakan suatu bentuk tingkah laku sosial manusia yang berlaku dalam situasi-situasi pertukaran sosial.

Cinta katanya, akan mempengaruhi minda, perasaan dan tindakan orang yang mengalaminya.

Katanya, cinta dapat diperhatikan dengan mata kasar melalui perlakuan dan tindakan yang adakalanya terselindung di sebalik minda dan perasaan seseorang yang mengalaminya.

Beliau ditemui selepas kursus bersiri Pembangunan Keluarga - Anakku Sudah Remaja, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), baru-baru ini.

Mohd. Nasir berkata, dengan usia yang masih muda iaitu di peringkat transisi antara alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa, para remaja tidak sukar untuk memenuhi tuntutan ketiga-tiga aspek psikologikal iaitu komitmen, pengorbanan dan juga keintiman bagi keperluan.

Namun demikian, pada tahap usia begini, golongan remaja juga dituntut untuk berjaya di dalam pelajaran kerana mereka masih lagi di bawah tanggungan ibu bapa.

Mohd. Nasir berkata, kewajaran untuk menjalinkan perhubungan interpersonal yang intim di peringkat usia muda memerlukan para remaja mengawasi diri, menggariskan batasan, had sempadan pada minda, perasaan dan tingkah laku sewaktu menjalinkan perhubungan tersebut.

Ini kerana katanya, sewaktu bercinta remaja menjadi begitu asyik dan leka di dalam dunia percintaan yang dianggap begitu indah.

``Ada juga remaja yang lupa diri sehingga mengabaikan tanggungjawab peribadi. Mereka hanyut dengan pasangan masing-masing hingga mengenepikan kebajikan diri dan keluarga,'' katanya.

Beliau berkata, golongan remaja perlu menyedari bahawa mereka harus memperseimbangkan di antara tanggungjawab diri serta keluarga dalam usaha menentukan hala tuju hidup di masa depan.

Jalinan perhubungan cinta yang dibina katanya, perlu diteliti, dihalusi dan difikirkan sedalam mungkin, ini kerana kesan psikologikal cinta berkecenderungan untuk mempengaruhi diri remaja dengan begitu hebat.

Di samping itu kata Mohd. Nasir, remaja harus menyedari jalinan perhubungan cinta yang dibina berkemungkinan besar tidak berkekalan apalagi berpanjangan.

``Cinta remaja adalah cinta sementara. Kecenderungan untuk putus cinta adalah tidak dapat dielakkan. Bagi para remaja yang kurang arif untuk mengendalikan, mengurus minda, emosi dan tindakan kesan putus cinta akan bakal menjerumuskan diri remaja dalam suasana derita psikologikal.

``Kesan putus cinta begitu hebat sehingga mampu menganggu, mengubah status, kualiti, kesihatan, kesejahteraan, kebahagiaan diri fizikal, mental dan spiritual golongan in,'' katanya.

Beliau berkata, jangka masa yang diambil untuk merawat derita sakit psikologikal kesan putus cinta secara realitinya agak lama untuk dipulihkan.

Lazimnya katanya, kesan putus cinta pertama, begitu mendalam kesannya pada diri remaja sama ada perhubungan yang dijalinkan itu dalam jangkamasa masa pendek atau pun panjang.

Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam pembentukan rangkaian perhubungan interpersonal anak remaja.

``Ibu bapa wajar sekali membantu anak remaja untuk menyedarkan mereka bahawa cinta remaja tidak kekal lama.

``Cinta di peringkat usia muda remaja lebih merupakan suatu bentuk permainan interpersonal yang bersifat psikologikal yang tercetus dan berkembang di dalam diri.

``Walaupun cinta remaja adalah suatu permainan psikologikal, ia tetap memberi kesan yang mendalam ke atas diri remaja,'' katanya.

Namun begitu katanya, pengalaman cinta remaja boleh menjadikan diri remaja lebih matang, berhati-hati dan waspada.

Namun tidak kurang juga cinta remaja akan boleh melalaikan diri remaja malah berkemungkinan juga merangsang remaja untuk terus memburu cinta idaman dan terus membina impian yang tidak berkesudahan. Zaman Remaja - Cabarannya berganda

3 Komen:

Tanpa Nama berkata...

pdgn yg amat tpt dan brnas

Tanpa Nama berkata...

diana
banyak memberi pengetahan tentang zaman remaja

mediafire4all berkata...

visit mediafire4all....just 250mb

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.