Dicintai lebih baik daripada mencintai

Share on Tumblr Saya seorang kerani berusia 25 tahun dan pernah beberapa kali putus cinta. Pada pertengahan tahun lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang berpangkat tinggi dalam sektor awam. Dia mencintai saya tetapi saya tidak menyintainya tetapi menghormatinya sebagai ketua kepada bapa saya.

Saya akui rasa rendah diri sehingga menjadikan saya kekok dan takut menerima cintanya. Dia banyak kali mengajak menemui ibunya tetapi saya takut kerana tidak pernah ke rumah lelaki lebih-lebih lagi berjumpa dengan ibu bapanya. Saya bimbang tidak dilayan dengan baik atau kedatangan saya tidak diterima oleh mereka.

Saya kerap memikirkan perkara negatif mengenai dirinya kerana apabila kami keluar bersama, banyak mesej ringkas atau panggilan tidak dijawabnya. Dia ingin berkahwin dengan saya dan saya sangat bersyukur. Namun, saya hormati dia sebagai abang. Sebenarnya, dengan usia semakin meningkat saya hanya ingin berkahwin kerana Allah. Betulkah tindakan saya menolak cintanya?

Gadis Keliru.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana sudi berterus terang dengan Umi. Anda sudah berusia 25 tahun, umur yang memang wajar berkahwin, lebih-lebih lagi anda pernah berpengalaman jatuh cinta dan putus cinta. Ini bermakna anda sudah masak dengan kerenah lelaki. Walaupun tidak sama namun, asasnya sama dan kemahuan mereka juga sama, hanya tahap saja yang berbeza. Kini anda ditemukan dengan orang yang mencintai anda, mungkin ini anugerah dari Allah untuk mengubat kekecewaan cinta yang sudah anda alami sebelum ini. Diteliti dari paparan luahan rasa anda, anda agak bertuah kerana dapat orang yang sudi meluahkan cintanya pada anda, walaupun anda tidak mencintainya setakat ini. Namun, jika anda bersedia untuk menjadi isterinya dan menghadapi apa saja cabaran yang mendatang maka jangan lagi memikirkan kekurangan diri anda. Serahkan semuanya pada ketentuan Allah.

Mana tahu cinta selepas berkahwin lebih manis dan lebih subur daripada cinta sebelum berkahwin seperti yang sudah anda alami. Lihat saja ibu bapa kita yang tidak sempat bercinta sebelum berkahwin, hidup bahagia bermodalkan falsafah cinta selepas berkahwin. Mungkin kebahagiaan anda begitu disuratkan Tuhan. Ibaratkan itu seperti kata orang tua-tua “rezeki sudah di depan mata, jangan ditolak nanti menyesal pula”. Lagi pun perkahwinan bukan proses cari kerja, gunakan syarat dan kelulusan. Jodoh tidak perlu sijil kelulusan dan pangkat.

Kalau dia sudah ada kedudukan tinggi, berhenti kerja pun mungkin wajar bila sudah jadi isteri disayangi, andai cinta belum bersemi di hati anda sekarang, doalah pada Allah agar tumbuh dan subur cinta anda selepas berumah tangga. Jika anda nekad untuk melalui jalan ini jangan ragu-ragu lagi pergi saja berjumpa ibu bapanya, jika mereka kata berkenan pada anda teruskan saja. Jangan terlalu banyak bimbang dan ragu, kerana ia akan jadi racun membunuh langkah untuk berjaya. Sebab jika anda pandai melayari bahtera, pasti anda akan sampai ketepian. Andai pun tewas terima saja ketentuan Tuhan, takut tapi berbuat lebih baik daripada takut dan tidak berbuat apa-apa.

Apa yang penting nasihat umi ialah anda belajar sedia untuk bergembira. Jangan terlalu tinggi keraguan dan ketidakpastian kerana perasaan ini akan membunuh semua bunga kegembiraan yang mahu tumbuh. Ragu-ragu adalah racun kepada langkah kejayaan. Melangkahl dulu, baru tahu perjalanan itu bahagia atau sebaliknya. Jangan membina rasa dihantui kekecewaan terlebih dahulu kerana perasaan ini akan melelahkan perjalanan hidup anda. Hari tidak selalunya cerah, oleh itu petiklah kuntum cerah yang berada di depan anda kerana jika dibiarkan pasti ia akan meninggalkan kita. Binalah harapan yang wangi biarpun wanginya belum sampai ke hidung.

Belajarlah membuat keputusan dengan gembira dan lapang dada. Hanya ini anugerah Allah. Ketahuilah, pesanan orang tua-tua “lebih baik berkahwin dengan orang yang mencintai kita,” walaupun kita belum mencintainya lagi, pasti kamu akan dijaga dan dilayan daripada berkahwin dengan orang yang kita cintai tapi dia tidak mencintai kita, kita akan mati terkorban. Oleh itu senyumlah kerana ada orang yang sudah mencintai anda, jangan kecewakan dia jika niatnya ikhlas sambutlah cintanya. Bergembiralah kerana kegembiraan adalah satu daripada nikmat terbesar dari Allah.

Jika anda gembira anda akan menuai ketenteraman dan ketenangan hati. Orang yang mampu bergembira akan dapat kekuatan melalui apa saja halangan dalam hidup sama ada di depan mata atau yang jauh. Ini kerana modal utama untuk meraih kebahagiaan adalah kekuatan dan kemampuan diri menanggung beban kehidupan, tidak mudah goyah oleh goncangan dan halangan, tidak gentar oleh peristiwa negatif, tidak pernah sibuk memikirkan hal-hal kecil yang remeh temeh. Hati yang lemah tekad, rendah semangat akan membuat pemiliknya selalu gelisah. Oleh itu biasakan jiwa dengan bersabar, tabah menghadapi cabaran, tekanan walau dari mana pun datangnya pasti semua yang dihadapi akan terasa ringan. Selamat menjalani kehidupan baru.

~ Berita Harian Dicintai lebih baik daripada mencintai

5 Komen:

Tanpa Nama berkata...

SERONOK RASANYA BECINTA SELEPAS KAWIN NI...NI PUN ORG YG DAH DA PENGALAMAN LA CKP...
BECINTA DEKAT SEPULUH TAHUN PUN BLM TENTU BAHAGIA...MAYB X DA JODOH GAK KOT
ASLKAN KITA TAU ORG YG KITA NAK CINTA PAS KAWIN TU OK...BG SAYA LA
SEKURANGNYA SAUDARI DAH TAU KAN ASAL USULNYA...MMG LEBIH BAIK DICINTAI DRPD MENCINTAI.

uit uit berkata...

knp mesti takut utk mnerima org yg sudi mencintai kita...
bri pluang pd dri kta sndri utk bhagia=)

Tanpa Nama berkata...

camna ni aku jatuh cinta kat isteri orang ???????

Tanpa Nama berkata...

x smanya 0wg akn bhgia berkhwn dulu bwu bercinta. . .lau btl xkan ada perpisahan. . .pengalaman id0pQ menjadikan aQ lbi berati2 dlm memilih psngan id0pQ yg akn dtg. . .

Tanpa Nama berkata...

hati ini terasa sangat sakit apabila merindui seseorang...dan bertambah sakit lagi apbl hanya hati ini saja yg merinduinya.............perasaan yg menyakitkan adalh apabila duduk dekat dgn seorang yg kita cintai dan kita ketahui bahawa si dia tdk mencintai kita................ennjhin

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.