Remaja beragama cekal godaan sosial

Share on Tumblr Pada masa kini, sesetengah remaja kita dilanda satu masalah sosial yang disebut gejala sosial. Semakin hari keadaan ini semakin rumit dan memerlukan perhatian sewajarnya daripada semua pihak.

Semua ahli masyarakat seperti ibu bapa, guru, pemimpin, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mesti berganding bahu bagi mengatasi masalah itu.

Jika gejala sosial itu dibiarkan terus berleluasa dan merebak di kalangan remaja, ia boleh meruntuhkan kesihatan ummah pada masa depan.

Gejala sosial yang sedang menghimpit kehidupan remaja pada masa kini jika tiada tindakan awal diambil, mereka akan terus hanyut dalam dunia mereka sendiri dan boleh membawa kehancuran.

Antara gejala sosial ialah meminum minuman keras, berjudi, lumba haram, vandalisme, lari dari rumah, terbabit dengan jenayah, bersekedudukan, gejala pengkid dan gejala gay akan menjadi barah dalam masyarakat.

Gejala sosial ini bukan saja merosakkan akhlak, akal dan budi pekerti, malah boleh meruntuhkan kekuatan ummah. Semua ini boleh memusnahkan kecergasan remaja dan membinasakan kehidupan dalam masyarakat.

Peringkat remaja adalah peringkat yang penuh cabaran, terutama golongan remaja pertengahan. Golongan ini penuh dengan emosi dan ingin mencari kebebasan.

Mereka tidak menggunakan fikiran tetapi perasaan. Golongan ini mudah dipengaruhi dan diperalatkan. Oleh itu, mereka mudah sekali terbabit dengan pelbagai gejala sosial.

Pelbagai punca dikatakan remaja mudah dipengaruhi antaranya persekitaran dan pengaruh melalui pergaulan rakan sebaya yang sudah runtuh akhlaknya.

Keadaan hidup tidak selesa, masalah kewangan, pengaruh media cetak dan elektronik yang memaparkan unsur negatif menjadi tumpuan dan ikutan remaja yang tidak berdisiplin.

Ibu bapa mesti mendekatkan anak remaja dengan ajaran agama. Luangkan masa melakukan solat berjemaah. Membawa anak dengan mendekatkan ilmu agama dari semasa ke semasa.

Sikap sering menyayangi dan menghormati di kalangan ahli perlu diamalkan. Semai minat seperti membaca, bersukan, mengembara bagi mengisi masa terluang. Selain itu, ibu bapa perlu memantau rakan sebaya anak remaja dan aktiviti yang mereka lakukan.

Remaja berilmu, beragama dan berwawasan sudah tentu mempunyai kekuatan dalaman bagi menghadapi pelbagai gejala sosial di sekeliling mereka. Kepentingan beragama sudah tidak dapat dipertikaikan sejak wujudnya dunia ini.

Pujangga Hamka pernah berkata, tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju 'kebenaran' yang mutlak. Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai. Ilmu untuk bendanya, agama untuk jiwanya.

Bagi membanteras gejala sosial di kalangan remaja, mereka hendaklah kembali kepada agama. Pepatah Arab ada menyatakan, 'Agama menjadi 'sendi hidup' dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Orang yang terhormat adalah kehormatannya sendiri melarangnya berbuat jahat.

Hidup dilandaskan prinsip agama akan menjadikan sesuatu bangsa dihormati bangsa lain. Keteguhan pegangan agama mencerminkan kehormatan dan keperibadian sesuatu bangsa di sebabkan kejayaan menjaga kemuliaan etika, moral dan akhlak.

Kalangan remaja digalakkan mendekatkan diri dengan sifat mahmudah (terpuji) iaitu sabar, syukur, amanah, tawakal dan tawaduk (rendah diri). Menjauhkan sifat mazmumah (keji) iaitu dengki, dendam, bakhil, fitnah, permusuhan dan membuang masa.

Prinsip dan falsafah hidup remaja mesti ke arah menuju kebahagiaan diri, ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara. Falsafah itu hendak dihayati dan difahami dengan sebenar-benarnya.

Masyarakat akan beruntung jika remaja cenderung kepada produktif dan berfaedah, sebaliknya masyarakat rugi jika mereka terjebak dalam permasalahan sosial.

Remaja berjaya lebih ceria, optimis, semangat bersaing dan sanggup berdepan dengan dugaan dan cabaran. Kekuatan ummah terletak pada remaja yang berjaya mengharungi kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." - (Surah al-Ahzab:21)

Daripada Abu Said al-Khudri ra, Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah. Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal." (Riwayat Muslim)

Dalam usaha menangani masalah, tidak perlu bersikap menuding jari tetapi wujudkan kerjasama di kalangan pihak bertanggungjawab semoga segala tindakan akan berhasil.

Oleh Aminudin Mansor Remaja beragama cekal godaan sosial

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

teks nie memang yang terbaik...n sya sukakannya...sangat..

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.