Cerpen Cinta - Cinta Di Bawah Pohon Jacaranda

Share on Tumblr Mataku merenung tepat ke tengah laut. Air di lautan kelihatan bercahaya disepuh sinaran fajar mentari di waktu senja. Pemandangan di pantai Seroja sangat mengasyikkan.

Gulungan ombak yang beralun-alun tidak aku hiraukan. Biarlah ombak yang mengganas itu menghempas pasir pantai. Biarlah ombak yang cemburu membawa apa sahaja yang diinginkannya.

Kicauan dan siulan permai sekumpulan burung yang berterbangan, kian mengalun merdu, memecah kesunyian dan diiringi deruan bayu angin laut yang menjadi irama yang penuh berseni. Ditambah pula dengan kehijauan alam dan alunan ombak laut yang menggamit mesra serta hamparan kaki langit yang membiru.

Awan comel yang sedikit kekuningan berambal-ambalan di langit. Sinaran fajar senja yang kuning kemerahan melengkapkan lagi lingkaran keindahan pantai ini. Alangkah indahnya. Alangkah!


Betapa agungnya ciptaan Ilahi. Aku mengucap syukur kerana diberi peluang kembali untuk menatap sekelumit keindahan di alam fana ini. Bayu angin laut yang sepoi-sepoi bahasa mendamaikan perasaanku. Jilbab yang menyelimuti rambutku berkibas-kibas disentuh desiran pawana yang tidak putus-putus menerpa tubuhku.

Aku duduk memeluk tubuh di bawah pohon jacaranda yang terletak di tepian pantai. Kuntuman-kuntuman bunga jacaranda yang berwarna ungu lembut mengucup mesra jiwaku. Kesuk-kesik kuntuman jacaranda seakan-akan membisikkan sesuatu yang mesra. Aku mengambil sekuntum dedaun jacaranda, lalu menciumnya. Terasa harumannya menerobos di segenap rongga hidungku.

Aku melihat kuntuman itu tanpa berkedip. Aku tersenyum. Segera fikiranku dibawa belayar ke pulau kenanganku bersama Adam ketika kami berusia 17 tahun. Ya, Adam Syamir! Mutiara sahabatku yang selama ini mewarnai hidupku yang berlorongkan kegelapan. Adam yang sebelum ini tidak jemu menjaga gadis buta seperti aku!

“Kau tahu Neesa, dulu waktu aku dihantar ke Teratak Kasih masa berumur 10 tahun, sedih aku kerana seluruh keluarga meninggal akibat kebakaran, belum pulih lagi. Setiap hari aku menangis sampailah bonda Murni menyuruh aku pergi ke pohon jacaranda ini. Sejak itu, kesedihan aku semakin pudar. Kalau kau nak tahu, pohon jacaranda inilah yang membuatkan aku bahagia,” ujar Adam panjang lebar.

“Jadi kau sudah tujuh tahun di Teratak Kasih?”

“Ya dan kau pula sudah lima tahun tinggal di Teratak Kasih?”

“Betul. Sudah lama benar kita tinggal di sini tapi macam baru semalam aku dihantar ke sini. Aku ingat lagi perkenalan pertama kita dulu, kau masih ingat lagi masa silam kau Adam?”

“Mana boleh tak ingat. Tapi kalau boleh aku nak lupakan sebab aku takut kesedihan dulu muncul kembali dalam hidup aku. Tapi, berkali-kali aku cuba melupakan, kenangan silam tetap tidak hilang,” ujar Adam.

Aku juga begitu, mahu melupakan kisah silamku yang penuh dengan kesedihan. Aku tidak mahu ujian Tuhan yang menerpa diriku dulu menghalang titian impianku.

“Aku suka sangat mencium kuntuman bunga jacaranda ini. Terasa damai. Walaupun tak dapat melihat warna, bentuk dan pohonnya tapi cukuplah kalau aku boleh mencium harumannya sahaja,” ujarku sambil mencium kuntuman bunga jacaranda.

“Aku rasakan, agaknya Tuhan jadikan pohon jacaranda ini untuk kita. Pohon ini berhampiran Teratak Kasih, di tepian pantai Seorja, bagai memudahkan kita menikmati keindahan pohon yang dianugerahkan oleh Tuhan ini. Lagipun, kalau duduk di bawah pohon jacaranda, hati mesti tenang dan damai, betul tak Neesa?”

“Betul tu. Kuntuman bunga jacaranda itu seperti kuntuman yang mekar mengelopak, memekar di taman hati seseorang, terkibas dihempas tiupan bayu berterbangan ke dahan sukma sepi hati seseorang dan pasti hati dan jiwa akan kembali mekar mengelopak...”

“Wah, pandai kau bersastera Neesa.”

“Terima kasih Adam. Itu hanya ilham yang tiba-tiba mengelopak yang perlu dikopak.”

“Tak fahamlah aku dengan sastera ni. Kau minat sangat ke dengan sastera?”

“Entahlah Adam tapi jauh di sudut hati, aku teringin sangat nak jadi seperti Khadijah Hashim, Nisah Haron, Faisal Tehrani atau semua sasterawan tanah air. Sejak kecil, aku suka sangat membaca, tak kisahlah buku apa. Yang penting aku dapat ilmu pengetahuan. Tapi mungkinkah aku capai impian itu? Aku buta, Adam.”

“Neesa, kau gadis buta yang berbakat. Walaupun buta, tapi Tuhan telah anugerahkan kau bakat yang tidak ternilai itu jadi kau mesti yakin. Semua impian boleh jadi kenyataan apabila dilakukan bersungguh-sungguh seperti kata pepatah, 'ular dipalu biarlah mati, pemalu janganlah patah, tanah janganlah lembang.”

Sewaktu mula-mula ditempatkan di rumah anak-anak yatim Teratak Kasih ini, Adamlah satu-satunya teman yang sudi berkawan denganku. Penghuni lain tidak menyenangiku. Aku sedar, aku gadis buta.

Tetapi aku tidak minta menjadi buta. Aku hanya reda dan pasrah pada ketentuan Tuhan. Aku menerima petaka ini kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya yang dahsyat. Parah di mataku menyebabkan aku buta. Kehilangan ayah, ibu, abang dan seorang adikku adalah kegemparan yang begitu meratah jendela hidupku. Aku baru berusia 12 tahun ketika seluruh keluargaku pergi meninggalkanku dan nikmat penglihatanku diragut!

Di saat itu, aku hanya mampu menangis dan terus menangis. Kehidupanku mula berlorongkan kegelapan, kesuraman, kekecewaan, kesunyian dan penuh kedukaan. Seluruh semangat, kekuatan dan keyakinanku terkulai layu seperti sepohon mawar putih yang layu ketandusan air.

Kehidupanku umpama saban malam bulan merintih, pungguk terusan berlagu sayu, ujian-Nya telah menghimpit hatiku yang pedih dan kuntuman hidupku bertukar layu.

Masa terus berlalu tetapi aku masih terkapai-kapai untuk meniti titian kehidupan tanpa insan tersayang dalam hidupku yang penuh kegelapan. Dalam aku kehausan menagih kasih, aku hampir putus asa menanti cebisan sinaran bahagia dan aku nyaris rebah bersama serpihan hati yang hampir jatuh berderai.

Memandangkan aku tiada saudara mara lagi yang dapat menjagaku, aku dihantar ke Teratak Kasih. Bermula waktu itulah kuntuman bahagiaku kian mekar mengelopak. Aku berkenalan dengan Adam. Aku ingat lagi kata-katanya pada saat aku menceritakan mengenai ujian yang menimpa diriku ini.

“Neesa, kau tak boleh lemah semangat. Setiap manusia pasti menerima ujian-Nya. Bersabarlah dan bertawakallah selalu. Kau masih ada aku lagi. Kita mesti teruskan hidup kita walaupun tanpa keluarga. Kau kena mula mengatur langkah untuk ke hadapan. Mungkin ada sebutir kejayaan dapat kau capai di hadapan sana.”

Semangat dan keyakinan yang Adam titiskan kepadaku menjadi bintang kejora yang menyuluh dan mewarnai hidupku. Jendela hidupku yang sebelum ini dipenuhi kegelapan dan kesedihan mula dilingkari dengan kebahagiaan, kegembiraan dan sinaran yang bergemerlapan.

Aku mula melupakan sejarah kedukaan yang melanda hidupku. Semangat dan kekuatanku kembali mengelopak seperti kuntuman bunga jacaranda. Walaupun wajah mulia Adam tidak dapat kutatap, tetapi hatiku dapat melihat wajahnya yang bersinar umpama rembulan, kata-kata dan tawanya menjauhkan aku dalam segala kedukaan.

Terima kasih Tuhan kerana menitipkan seorang insan berhati mulia buatku. Bunyi kicauan burung mencantas lamunanku. Serta-merta bayangan kenangan bersama Adam hilang daripada tubir mataku. Aku membetulkan jilbabku tatkala desiran angin laut menggerakkannya.

Sekali-sekala aku merenung jauh di kaki langit yang membiru. Seperti terdengar pula deruan ombak dan bayu bersatu seperti membawa suara Adam yang masih terngiang-ngiang di cuping telingaku.

“Neesa, manusia itu dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan. Jangan hanya kerana kau buta, kau hilang semangat dan keyakinan. Bayang kita akan menjadi malap sekalipun diterangi cahaya cerah apabila kita hilang keyakinan diri. Tuhan telah anugerahkan kau dengan bakat penulisan jadi kau harus gunakan sebaik-baiknya bakat kau itu.

“Aku sentiasa menyokong kau dan aku akan membantu kau menggapai impian kau itu. Neesa, pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang, impian tidak akan tercapai tanpa usaha. Ingat tu Neesa.” Panjang lebar Adam memberikan kata-kata semangat.

Aku terdiam dalam ketakjuban. Hatiku terasa terdodoi dengan selingkar kata-kata Adam yang seperti menghembus tiupan sukma bahagia ke dalam hati dan jiwaku. Adam umpama hujan yang mulai turun renyai-renyai lalu kuntuman-kuntuman semangat dan keyakinanku mula mengelopak kerana terpalu oleh titis-titis air hujan yang dicurahkan oleh Adam.

Bermula waktu itu, aku mencuba-cuba untuk berkarya. Adam yang membantuku untuk menulis hasil penulisanku. Sesekali aku mengeluh juga kerana tiada idea untuk mencipta sesuatu karya. Tetapi Adam banyak memberikan sokongan dan dorongan. Jika tiba-tiba ilhamku menjelma, aku cepat-cepat menyuruh Adam menuliskan semua idea yang tercipta itu. Sesekali aku terasa lucu dan kasihan melihat Adam yang tergopoh-gapah mencari sebuah buku dan sebatang pensil untuk menuliskan idea yang tiba-tiba muncul di fikiranku. Tapi kata Adam, dia ikhlas membantuku. Dia mahu aku jadi seorang penulis yang berjaya.

Apabila selesai hasil karyaku yang pertama, aku memberanikan diri untuk menghantarnya ke syarikat penerbitan akhbar. Mulanya aku takut juga untuk menghantar tapi Adam berkeras memujukku dan memberi kata-kata semangat yang sememangnya terus menyemarakkan semangat dan keyakinanku.

Selang beberapa minggu kemudian, aku menerima khabar gembira daripada Adam. Katanya, karyaku tersiar di akhbar. Aku mengucap syukur kepada-Nya kerana bakatku sudah dapat dilihat.

“Terima kasih Adam. Kalau bukan kerana kau, mungkin aku tak yakin yang aku berbakat dalam penulisan.”

“Sama-sama Neesa. Lagipun aku hanya menolong kau setakat yang terdaya. Aku gembira sangat, akhirnya aku berjaya membantu kau untuk mendalami dunia penulisan.”

“Kau tahu Adam, kau tu umpama matahari, sinarnya memancar menyinari jendela hidupku, hangat membakar di segenap ruang hatiku dan persis mutiara yang mewarnai dan menyinari semangat serta keyakinanku untuk berjaya.”

“Yalah tu. Kau tu Neesa, kalau dah asyik bersastera, tsunami melandai pantai Seroja ini pun kau tak perasan agaknya.” Aku mendengar Adam tergelak besar.

Aku kembali terus menghasilkan pelbagai karya. Apabila selesai sahaja, Adam akan menghantarnya ke akhbar atau majalah. Begitulah rutin kehidupanku. Baru aku sedar, Tuhan itu maha adil, pasti ada kelebihan pada setiap manusia yang serba kekurangan seperti aku.

Aku tersedar buat kedua kalinya. Aku mengambil beg tanganku di sisi lalu membukanya untuk mengambil sesuatu. Air mataku meluncur laju tatkala mataku menatap sekeping gambar Adam, satu-satunya gambar yang diberikannya kepadaku sebelum pemergiannya.

Aku tidak sempat menatap wajah sebenar miliknya. Kelihatan Adam seperti tersenyum memandangku. Rasa rindu kepada Adam begitu meruntun jiwa hinggakan aku seperti ingin terbang ke pangkuannya. Perlahan-lahan aku mengambil sekeping surat berwarna merah jambu. Surat itu sudah hampir lunyai. Mana tidaknya, hampir saban waktu aku memegang dan membacanya.

“Assalamualaikum...

Kepadamu kutitipkan salam terindah dan salam kasih sayang daripada segugus hatiku yang suci lagi murni.

Sayangku Neesa,

Sebaik sahaja kau terima sepucuk surat ini, aku sudah pergi jauh menyusuli keluargaku menemui Tuhan. Pintaku, janganlah kau menangis apatah lagi meratapi pemergianku. Ingat Neesa, kau juga suatu hari nanti pasti menemui aku di sana kelak.

Sayangku Neesa,

Sudah lama aku menyimpan perasaan kasih dan cintaku padamu. Sejak aku melihat seraut wajahmu, jantungku terasa berdebar-debar. Apatah lagi tatkala aku melihat kesungguhanmu dalam menggapai sebutir impianmu walaupun kedua-dua pasang matamu tidak dapat melihat. Kau begitu tabah menghadapi semua dugaan dan cabaran yang menimpa dirimu demi mengejar segugus impianmu yang murni itu Neesa.

Sayangku Neesa,

Maafkanlah aku andai aku tidak memberitahu perasaan cintaku padamu. Aku tidak mahu ia menghalang sebutir impianmu. Aku juga tidak mahu andai perasaanku padamu akan memusnahkan istana persahabatan yang sudah kita bina dulu. Oleh kerana sepohon cintaku yang merimbun padamu, aku ikhlas membantumu untuk mengejar impianmu itu.

Kerana itu juga, aku menitipkan sepasang mataku ini sebagai cenderamata cintaku padamu. Semoga dengan sepasang mataku yang bersinar-sinar di matamu sekarang, kasih dan sayangku padamu akan terus mengerdipkan cahaya kasihnya di denai hatimu.

Sayangku Neesa,

Semoga kau mendapat kebahagiaan dan impian yang kau dambakan sebelum ini. Yakinlah, sebutir impianmu sedang menantimu di hadapan sana. Sesungguhnya di bawah pohon jacarandalah aku jatuh cinta padamu. Neesa, jadikanlah pohon jacaranda sebagai tempat yang terindah dalam hidupmu. Semoga kita berjumpa di syurga kasih. Aku setia menantimu di sana.

Salam kasih dan cintaku padamu.

Mutiara sahabatmu, Adam Syamir.”

Aku membiarkan mutiara jernih mengalir di pipiku. Hatiku sungguh terharu. Rupa-rupanya selama ini Adam mencintaiku tetapi dia takut untuk meluahkannya. Sesungguhnya, aku juga mencintaimu dalam diam dan aku juga takut untuk meluahkannya kerana aku gadis buta sebelum ini. Ya Tuhan, kalaulah sebelum ini aku tahu Adam mencintaiku..

Teringat kenangan terakhirku bersama Adam.

“Selamat hari jadi yang ke-17 tahun, Neesa.” Aku terkejut mendengar ucapannya. Mana tidaknya, Adam masih ingat hari ulang tahunku, sebaliknya aku sendiri yang lupa.

“Kau kan kawan kesayanganku. Nah, hadiah untukmu.” Serentak Adam menghulurkan hadiah kepadaku.

Aku terasa sebuah bungkusan di tanganku. Aku meraba-raba di segenap penjuru hadiah itu. Aku keriangan.

“Wah! Mesin taip Braille. Ini untuk aku Adam?” Aku bagaikan tidak mempercayai apa yang aku terima ketika itu.

“Aku belikan mesin taip itu untuk memudahkan kau berkarya. Aku juga sudah mendaftarkan nama kau di sekolah orang buta. Jadi, kau boleh bersekolah kembali selepas ini.”

“Ya Allah, Adam betapa mulianya hatimu. Terima kasih Adam.” Aku begitu terharu dengan kebaikannya.

“Bagaimana dengan matamu Neesa?” Aku terpegun seketika.

“Kata doktor, aku boleh melihat semula, asalkan ada penderma berhati mulia sanggup mendermakan matanya kepadaku.” Sepi membungkam seketika.

“Neesa, kalau kau dapat melihat semula, siapakah yang hendak kau lihat dulu?”

Aku terkesima. Siapa agaknya yang hendak aku lihat dahulu? Adakah bonda Murni, tukang masak di Teratak Kasih yang baik hati itu? Mungkinkah pohon jacaranda yang menjadi pohon kesayanganku? Atau aku mahu melihat foto keluargaku yang sudah lama benar tidak dilihat? Atau pantai Seroja?

“Aku mahu melihat wajahmu dulu, Adam. Wajah orang yang selama ini mewarnai dan menyuluhi hidupku. Wajah orang yang memberikan mesin taip Braille, hadiah yang paling aku hargai.”

“Neesa, kau pasti akan melihat semula. Aku akan bawa hadiah yang kau idam-idamkan selama ini,” ujarnya sambil membetulkan jilbabku yang rosak dikibas deruan angin sepoi-sepoi bahasa.

Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Kering darahku apabila aku dikhabarkan mutiara sahabatku kemalangan. Dia kemalangan semasa hendak menghantarkan karyaku untuk dipos ke akhbar, selepas pemberian mesin taip Braille itu.

Kebahagiaanku yang kembali bersinar malap tatkala aku dikejutkan dengan berita mengenai kecelakaan itu yang seperti meratah seluruh kekuatanku. Aku terus dibawa ke hospital. Bonda Murni setia menemani dan memimpinku untuk ke wad kecemasan.

“Neesa, baru sebentar tadi semasa kita duduk di bawah pohon jacaranda, aku sudah katakan padamu, akan akan bawa hadiah yang kau idam-idamkan selama ini,” suara Adam putus-putus. Hatiku dipalu kesayuan.

“Kau juga katakan, kau mahu melihat wajahku dahulu. Tetapi aku minta maaf Neesa, kau tak akan sempat melihatku. Tiada apa lagi yang dapat kutitipkan padamu melainkan sepasang mataku ini. Terimalah sebagai hadiah terakhir dariku.”

Aku memegang erat tangan Adam, tidak mahu melepaskan walaupun seketika. Tiba-tiba tanganku direnggangkan. Tangan Adam sejuk. Kaku.

Aku tersedar lagi buat ketiga kalinya apabila kuntuman jacaranda berguguran terkena mukaku. Peristiwa 15 tahun dahulu seakan-akan baru sehari dua berlalu. Hari sudah benar-benar meninggi. Aku kembali menatap seraut wajah Adam yang terpampang di foto itu. Aku tersenyum.

Terima kasih Adam kerana aku dapat melihat semula keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Terima kasih juga Adam kerana kau, aku berjaya menggapai impianku dan aku sekarang sudah menjadi seorang penulis terkenal.

“Mama, bukankah itu pohon jacaranda?” Tersentak aku mendengar suara Neena, anak kecilku yang berusia tujuh tahun. Bibir mungilnya tersenyum sambil jari telunjuknya menuding ke arah pohon jacaranda di persisiran pantai. Pohon yang indah sebegini boleh meneduhkan hati yang paling rawan sekalipun.

Sesungguhnya di bawah pohon jacaranda inilah tempat yang paling terindah yang tidak dapat aku lupakan. Di bawah pohon jacaranda segugus cinta terlarik indah di denai hatiku dan di denai hati Adam. Di bawah pohon inilah aku mengenali erti persahabatan, pengorbanan, kesabaran, kebahagiaan, kesedihan dan sebuah cinta.

Aku tetap bahagia walaupun aku tidak bisa memiliki cinta Adam lagi. Kebahagiaan dan segugus cintaku hanya untuk suamiku dan dua puteriku yang comel. Tetapi Adam tetap yang paling istimewa di hatiku.

Oleh Nur Suhada Sayuti Cerpen Cinta - Cinta Di Bawah Pohon Jacaranda

3 Komen:

aini_killer berkata...

shuhada..ok la citer nie..ada mcam jiwang2 cket ayatnyer..syu,,sy pn nk jd sorg ssterawn jgak tp skg sy amik alran sns tulen..sy nk tmbah..tp sy xyakin..sy pn minat seni..tp xtaw lah..sy benci tok jd doktr..tp,,ntah la..xtaw nk ckp pe..biarla sy jd kn bakat sy sbgai bakat tpndam jer..btw,,gud luck yah syu....hehe..xtaw la nk ckp per..

Tanpa Nama berkata...

no bad..
sedey gak ar..
syu ni minat sastera ek..
ayt berbunga2..hehe
anyway, good luck!!

Anonymous berkata...

no bad..
sedey gak ar..
syu ni minat sastera ek..
ayt berbunga2..hehe
anyway, good luck!!

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.