Tiada Keyakinan Diri Depan Khalayak

Share on Tumblr Saya pelajar universiti dalam tahun tiga. Saya menghadapi masalah iaitu tidak mempunyai keyakinan berdiri di hadapan bilik kuliah atau tutorial untuk bercakap serta membentangkan kertas kerja di khalayak ramai.

Saya juga sering merasakan rendah diri dan selalu rasa berdebar-debar dan menggigil apabila membuat pembentangan. Walaupun sudah membuat persiapan, saya masih lagi berasa takut diketawakan rakan dan pensyarah. Banyak yang bermain dalam fikiran hingga kadang-kadang, saya ingin mencederakan diri dan ingin saja jatuh sakit supaya tidak perlu untuk membuat pembentangan.

Pernah saya rasa berpinar-pinar dan berpeluh memikirkannya. Namun, apabila difikirkan kembali, saya rasa perkara itu perlu dihadapi jua. Apakah yang perlu saya lakukan?

RENDAH DIRI,
PAHANG

------

Masalah adik banyak juga dihadapi pelajar universiti lain yang menghubungi Dr. Memang ada individu yang akan berasa tidak selesa apabila bercakap atau membuat pembentangan di hadapan bilik tutorial/kuliah.

Masalah ini akan lebih dirasai apabila pembentangan adik akan dinilai sama ada oleh rakan, pensyarah atau kedua-duanya.

Sebagai pelajar universiti, adik mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Salah satu ialah membuat pembentangan. Apabila memilih menjadi seorang pelajar universiti, membuat pembentangan adalah salah satu tanggungjawab utama. Hendak atau tidak, adik perlu melalui proses berkenaan.

Teori kaunseling Adler menjelaskan, setiap individu dilahirkan dengan kekurangan tertentu yang membawa kepada perasaan rendah diri. Perasaan ini mendorong individu berusaha mengatasinya agar mencapai kesempurnaan.

Proses mengatasi perasaan rendah diri berlaku berterusan. Apabila sesuatu kekurangan dapat diatasi, individu akan berada dalam keadaan seimbang dan perasaan rendah diri tidak lagi dirasai.

Perasaan rendah diri akan berlaku berterusan dalam proses perkembangan diri individu dan tidak perlu menganggap perasaan itu satu kelemahan atau kekurangan. Ia juga bukan satu tanda lazim tetapi aspek yang membawa kepada perkembangan individu itu.

Mekanisma bela diri boleh digunakan bagi mengurangkan masalah kurang keyakinan diri adik. Mekanisma atau helah bela diri boleh memberi masa seseorang itu menilai kelemahan diri dan mencari cara sesuai bagi menyelesaikan masalah.

Adik boleh menyalurkan rasa takut kepada sasaran yang lebih selamat. Contohnya dengan menulis perasaan tidak yakin ke atas kertas atau menceritakannya kepada rakan. Adik juga boleh gunakan kaedah intelektualisasi iaitu menggunakan perkataan yang dilahirkan oleh pemikiran logik, bukannya melalui perasaan dalam usaha menghilangkan rasa tiada keyakinan itu

Kelemahan pembentangan ada kalanya dikaitkan dengan kurangnya persediaan dibuat sebelum pembentangan. Persediaan yang kemas dengan fakta boleh membantu mengurangkan kebimbangan dialami.

Membuat latihan pembentangan juga dapat membantu dan membolehkan adik berasa lebih yakin untuk berdiri di hadapan dan bercakap. Adik juga boleh membayangkan orang di hadapan tidak mengetahui apa yang ingin dibentangkan. Mereka mengharapkan adik untuk memberi sumber maklumat baru. Oleh itu, adalah penting persiapan sebelum membuat pembentangan.

Adik juga boleh mengambil keputusan untuk tidak memikirkan apa yang difikirkan orang lain terhadap pembentangan adik. Sikap tidak peduli apa yang akan diperkatakan oleh rakan juga boleh membantu untuk menenangkan diri.

Mengenai kelemahan menguasai bahasa Inggeris, adik perlu banyakkan latihan bercakap dan menulis. Mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris satu proses yang berterusan. Semoga adik berjaya mengatasi masalah kurang keyakinan dan rendah diri itu. Tiada Keyakinan Diri Depan Khalayak

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.