Andai ini Ramadan terakhir...

Share on Tumblr Kita sudah berada di penghujung Ramadan. Kita berada di pusingan akhir iaitu 10 terakhir, selepas sama-sama melalui 20 yang awal.

Pada pusingan ini, pencinta amalan sedang sibuk memburu Lailatul Qadr sama ada dengan memperbanyakkan doa, solat tahajud, iktikaf dan lainnya.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh dengan tidak membiarkan Ramadan berlalu begitu saja melainkan mendapat keampunan, gandaan pahala dan yang paling utama mendapat takwa.

Tetapi pada mereka yang tidak kisah dengan pelbagai tawaran Allah pada bulan berkat ini, datang atau berlalunya Ramadan bagi mereka sama sahaja, tiada istilah 10 malam terakhir, malah langsung tidak faham pusingan akhir Ramadan.

Justeru, tazkirah dan rintihan ini ditujukan khusus kepada mereka yang tidak faham dengan Ramadan dan buat-buat tidak kisah dengannya.

Andai ini Ramadan yang terakhir! Andai kau tahu ini Ramadan terakhir, tentu siangnya engkau sibuk berzikir, tentu engkau tidak akan jemu melagukan syair rindu mendayu, merayu...kepada-Nya, Tuhan yang satu.

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu solatmu kau kerjakan pada awal waktu, solat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawaduk, tubuh dan qalbu...bersatu memperhambakan diri menghadap Rabbul Jalil...menangisi kecurangan janji ‘innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin’ [Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai ini Ramadan yang terakhir! Andai kau tahu ini Ramadan terakhir, tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu, setiap masa tidak akan dibiarkan begitu saja, di setiap kesempatan juga masa yang terluang alunan al-Quran bakal kau dendang, bakal kau syairkan.

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir, tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih, berqiamullail, bertahajud, mengadu, merintih, meminta belas kasih ‘Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-Mu, tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-Mu.”

Andai ini Ramadan yang terakhir! Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu dirimu tidak akan melupakan mereka yang tersayang, mari kita meriahkan Ramadan kita buru, kita cari, suatu malam idaman yang lebih baik daripada seribu bulan.

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir, tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir, mempersiap diri, rohani dan jasmani, menanti-nanti jemputan Izrail, di kiri dan kanan, lorong-lorong reda ar-Rahman.

Andai ini Ramadan yang terakhir! Duhai Ilahi...andai ini Ramadan terakhir buat kami, jadikanlah ia Ramadan paling bererti, paling berseri, menerangi kegelapan hati kami, menyeru ke jalan menuju reda serta kasih sayang-Mu, ya Ilahi semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti.

Namun teman...tak akan ada manusia yang bakal mengetahui apakah Ramadan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya, cuma yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha...bersedia...meminta belas-Nya.

Oleh kerana kita sama-sama tidak tahu apakah Ramadan ini terakhir buat diri kita, mengapa tidak kita mengambil langkah selamat, iaitu terlebih dahulu mengambil kesempatan Ramadan yang kita lalui ini untuk beramal ibadat sedaya mungkin, berdoa serta merintih memohon keampunan. Selamat beramal!

Bersama Mohd Zawawi Yusoh Andai ini Ramadan terakhir...

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

insaf jugaklah lepas baca artikel ni, malam esok ada azam baru

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.