Happy Birthday To You!

Share on Tumblr Bersama Mohd Zawawi Yusoh

‘HAPPY birthday to you’ adalah lagu yang paling popular di dunia. Ia dinyanyikan sempena hari lahir. Bertepuk tanganlah hadirin, sebaik selesai yang diraikan meniupkan lilin. Kembang mengepak hidung peniup lilin, maklumlah ramai yang ingat hari lahirnya.

Kenapa kita sambut tarikh lahir? Ada banyak sebab dan rahsia tentunya, kalau tidak takkan ia boleh menjadi sebab bermasam muka apabila tidak diraikan atau tidak dipedulikan tarikh keramat itu.

Sebab itulah orang suka buat kejutan supaya lebih menarik. Moga giliran kita pun dibuat kejutan juga. Ada ubi ada batas, ada hari patut kamu balas.

Sambutan hari lahir sangat penting. Pentingnya bukan kerana majlis hari jadi dengan kuih dan kek tetapi sangat penting kerana umur semakin meningkat.

Makin meningkat maknanya makin banyak umur. Makin banyak umur ertinya makin kurang umur. Makin kurang umur sama juga dengan erti makin dekat dengan mati.

Tidak salah bergembira dengan majlis itu tetapi sepatutnya tarikh itu dijadikan peluang untuk bermuhasabah umur bertambah, duit bertambah, anak bertambah, semua bertambah tetapi sudahkah amal soleh bertambah? Bagaimana dengan solat? Makin khusyuk atau masih melayang?

Solat lama-lama yang ditinggal dulu sudah diganti (qada) atau belum? Hutang puasa macam mana, zakat sudah dilangsaikan semua? Hutang dengan Allah, tanggungjawab sebagai suami, isteri, dengan ibu ayah, dengan anak-anak pula seperti dulu atau makin bertambah kualiti dalam serba serbinya?

Di sebalik sambutan hari lahir pengajaran yang sangat penting ialah betapa sangat berharganya masa dan kehidupan.

Ada orang kata 'masa itu emas.' Ungkapan ini tidak tepat sebab hilang emas boleh dicari dan diganti tetapi apabila masa yang hilang tiada galang gantinya.

Masa itu adalah kehidupan. Sesiapa yang membuang masa sebenarnya sedang membunuh kehidupannya sendiri.

Hidup tidak berhenti seperti air sungai terus mengalir. Dalam berusaha, jangan berhenti untuk mencari bekalan dan mengumpul tenaga demi meneruskan perjuangan.

Orang mukmin seperti semut, kata pepatah Arab. Kenapa orang mukmin itu dibandingkan dengan semut? Semut dalam bahasa Arab 'an-namlah.' Makna 'an-namlah' ialah bergerak.

Semut akan bergerak saja, tidak pernah tengok semut tertidur. Kita pun mesti bergerak, akal bergerak namanya berfikir, darah mengalir ertinya sihat, mata memandang ertinya merenung dan mengkaji, jangan berhenti.

Telinga mendengar maknanya prihatin dengan diri dan keluarga, anak-anak dan sekitar, termasuk juga sekitar antarabangsa dunia Islam.

Hari lahir juga mengajar erti persiapan kepada mati. Mati ini pelik bagi kita tetapi di sisi Allah tidak pelik.

Kapal terbang dengan gah di angkasa terbang tiba-tiba berlaku kemalangan hancur berkecai. Pelik bagaimana ia boleh berlaku tetapi bagi Allah tidak pelik.

Ada orang itu masih remaja, sihat tetapi tiba-tiba boleh mati. Pelik tetapi bagi Allah biasa saja.

Jadi, kita yang tidak tahu bila akan mati ketika sambut 'birthday' ketika umur makin susut lebih bersedia untuk 'hari esok.'

Tetapi kita buat tidak kisah saja pasal mati. Pernah kita dengar ada yang kena strok sebab terkejut dengan kebakaran, kalah bola dan sebagainya? Pernah kita dengar ada orang yang kena strok kerana teringat dosa yang membawa ke neraka?

Kita sanggup berjaga malam untuk menonton bola sepak, tetapi pernahkah kita bersengkang mata demi bermunajat kepada Allah?

Setiap malam Mama Teresa hanya tidur empat jam. Ketika ditanya kenapa kurang tidur?

Dia menjawab 'setelah mati nanti yang kita lakukan ialah tidur', walaupun dia bukan seorang Muslimah.

Mengapa kita yang tahu ada alam kubur, neraka syurga, ada timbangan, ada titian sirat, selalu menghiasi mata dengan tidur.

Bukan tidak boleh ketawa dan gembira ketika menyambut 'birthday'. Boleh, tetapi jangan sampai terlupa dosa yang sudah kita calari dan kotori.

Marilah kita bergembira dengan umur yang bertambah seiring dengan itu amal pun turut bertambah supaya bahagia di dunia dan selamat daripada api neraka.

Selamat hari lahir supaya lahirkan jiwa yang baru dengan cita-cita dan cinta! Happy Birthday To You!

5 Komen:

eyra berkata...

today is my birthday...umur pun dah makin meningkat...

Tanpa Nama berkata...

ye ke...umo dh bpe???jgn marah ar...i'm juz ask k....

Tanpa Nama berkata...

2week birthday saya....harap2 si dia wish....

Tanpa Nama berkata...

si die x ingt bday aku taun ni.time br2 kawin bkn main lg

Tanpa Nama berkata...

si die x pena ingt edey aq....
aq je yg sentiasa ingt...........

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.