Remaja dan perbezaan pendapat

Share on Tumblr Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

SETIAP makhluk ciptaan Allah mempunyai keunikannya yang tersendiri yang membuatkannya berbeza antara satu dengan yang lain.

Penciptaan manusia juga terkandung diversiti sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Semua ini merupakan tanda kebesaran Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dalam penciptaan alam.

Kepelbagaian yang wujud turut merangkumi perbezaan pendapat atau persepsi di kalangan manusia itu sendiri dalam pelbagai perkara. Fenomena ini sebenarnya merupakan satu rahmat buat manusia ke arah mencapai kemaslahatan hidup.

Persoalannya ialah bagaimana kita hendak menanggapi perbezaan pendapat yang berlaku agar penyelesaian konflik tercapai, kesyumulan agama terdukung dan perpaduan terpelihara. Hal ini tentunya memerlukan kebijaksanaan kita dalam menginterpretasi dukungan fikrah terhadap realiti semasa yang serba mencabar.

Mengenali pemikiran sehala, dua hala

Pemikiran sehala menjadikan seseorang itu hanya berfikir bahawa hanya pendapatnya sahaja yang betul dan tidak memandang kepada pendapat orang lain. Hal ini mendorong ke arah pemikiran yang tidak kreatif dan cepat berasa tersinggung jika pendapatnya disanggah.

Pemikiran dua hala berlaku apabila terdapat perbezaan atau pertambahan pendapat terhadap suatu isu pokok yang diutarakan. Pendapat yang pelbagai dalam sesebuah perbincangan akan menjadikan perbincangan tersebut lebih terisi dan sudut pandangannya akan menjadi lebih luas.

Kaedah berbeza pendapat pula mestilah selari dengan adab-adab supaya apa yang disampaikan lebih mudah difahami pihak yang mendengar serta tercapai matlamat perbincangan untuk menemui kesimpulan bersama.

Dalam usaha kita untuk mencapai kesepakatan berkenaan sesuatu perkara, Islam menganjurkan kita melakukan kegiatan bermusyawarah. Dengan bermusyawarah maka kita dapat mempertimbangkan pelbagai saranan bersama hujah dibawa. Natijahnya keputusan terbaik mungkin dapat dicapai serta mendapat sokongan semua pihak terlibat.

Dalam surah Ali Imran ayat 159 Allah berfirman yang bermaksud: Dan bermesyuaratlah dengan mereka, dan apabila kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang bertawakal.

Melalui musyawarah yang diadakan, ahli musyawarah perlu berniat ke arah mencapai kesepakatan dan kemaslahatan yang lebih baik. Ketua atau amir yang dipilih akan menerangkan isu yang ingin diperbincangkan.

Amir akan meminta pendapat atau cadangan semua pihak sebelum keputusan akhir ditentukannya. Dalam hal ini, amir bertawakal dalam mengambil keputusan untuk dipatuhi dan disokong oleh ahli-ahli musyawarah tersebut.

Dalam sesebuah perbincangan yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak, keterbukaan pemikiran kedua-dua belah pihak adalah perlu dalam usaha mencapai kesepakatan dalam perkara yang diperbincangkan.

Ini memerlukan pihak pertama untuk memberi peluang dalam menyuarakan sudut pandangannya dan pihak kedua pula berusaha mendengar dengan niat memahami dan menilai. Setelah tamat penjelasan pihak pertama, barulah pihak kedua memberi pendapat supaya pihak pertama pula dapat memahami perspektif pihak kedua.

Sekiranya kedua-dua belah pihak lebih cenderung menyampaikan pendapat masing-masing tanpa mahu berusaha mendengar atau memahami antara satu sama lain, maka ia hanya menjadi perdebatan yang mungkin tidak sampai ke penghujungnya.

Diyakini bahawa apabila satu pihak mula bertoleransi untuk mendengar, pihak yang lagi satu pula akan menyusul untuk turut sama mendengar pendapat pihak yang pertama tadi.

Kita perlu menyuarakan pandangan kita secara berasas, yakni berdasarkan fakta atau bukti yang benar yang boleh menguatkan hujah kita. Hujah tanpa sandaran bukti atau dalil sebenarnya melemahkan penegasan hujah itu sendiri.

Perbezaan pendapat juga harus berlandaskan kepada nilai keilmuan serta kekuatan akal yang mahu berfikir serta merenung dan bukan semata-mata berpandukan kepada emosi.

Hal ini kerana seandainya emosi menjadi sandaran tunggal maka perkara yang ternyata baik serta benar mungkin ditolak hanya kerana ia dianjurkan oleh pihak yang berlainan pendapat tadi.

Justeru adalah penting untuk kita melengkapkan diri dengan ilmu yang berkaitan agar pendapat yang dihujahkan itu mempunyai asas dan kredibiliti untuk dipertimbangkan serta diterima oleh pihak lain.

Yang berbeza tetap berbeza

Namun tidak semua perkara perlu menjurus kepada persamaan, yakni yang mana boleh diterima kita terima, dan yang berbeza akan tetap berbeza. Dalam anutan akidah khasnya, sudah tentu kita berbeza dengan yang bukan Muslim. Firman Allah melalui ayat kelima surah Al-Kafiruun yang bermaksud: Bagi kamu agamamu dan bagiku agamaku.

Bab akidah merupakan perkara pokok dan muktamad yang tidak boleh wujud perbezaan di kalangan umat Islam yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam hal cabang atau furu’, perbezaan pendapat atau khilaf berkenaan pentafsiran sesuatu perkara mungkin berlaku di kalangan ulama yang berusaha berijtihad sebaik mungkin.

Bukan semua perkara yang berasal dari Barat itu dapat diterima secara bulat-bulat tetapi bukan semuanya perlu ditolak sepenuhnya. Apa yang hadir dari Barat tetapi tidak bercanggah dengan ajaran Islam, seharusnya ia dipelajari dan diperkembangkan.

Sebagai contoh, sifat ketekunan masyarakat Barat dalam menuntut ilmu seharusnya dicontohi dan diasimilasikan ke dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Islam sendiri sebenarnya amat menggalakkan umatnya untuk menyuburkan budaya keilmuan agar kemajuan tercapai demi manfaat sejagat.

Pada masa yang sama remaja Islam harus membina kekuatan ilmu yang berpandukan Al-Quran dan Sunah supaya ia menjadi benteng dalam menepis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Kini terdapat segelintir tokoh-tokoh Barat yang berusaha menerbitkan karya-karya yang menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. Sememangnya dalam hal ini kita perlu bangkit untuk membela kesucian agama Islam yang tercinta.

Di samping bantahan yang mungkin bersifat defensif atau menghukum, kita juga perlu menganalisis faktor wujudnya persepsi negatif mereka terhadap agama Islam, adakah ia semata-mata berpunca daripada rentetan emosi kebencian terhadap Islam atau mungkin turut berpunca daripada kejahilan mereka berkenaan ajaran Islam yang sebenar.

Justeru situasi yang tegang seperti mutakhir ini juga perlu dijernihkan dengan pendekatan yang bersifat berhemah serta mendidik seperti penganjuran dialog antara agama dan tamadun agar yang jelas berbeza dihormati bersama dan yang bersifat sejagat didukung bersama.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, perbezaan pendapat merupakan satu lumrah dalam kehidupan manusia seharian. Islam telah menggariskan adab-adab dalam perbezaan pendapat yang sememangnya bertujuan mencapai kemaslahatan bersama.

Dalam kita menyuarakan bantahan kepada tindak tanduk Barat yang melampaui batas terhadap Islam, kita juga perlu membina kekuatan umat serta memperluaskan dakwah demi menjamin kesejahteraan umat dan ketinggian syiar Islam dalam jangka panjang. Remaja dan perbezaan pendapat

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.