Buli Siber

Share on Tumblr
Semua orang pasti pernah menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang berunsur fitnah dan cuba memburuk-burukkan seseorang.

Apabila anda menerimanya, apa yang anda lakukan? Memadamnya atau menyebarkannya kepada kawan lain supaya lebih ramai orang tahu?

Tahukah anda, menyebarkan SMS atau e-mel begini yang tidak diketahui kebenarannya adalah satu bentuk pembulian siber? Jadi selepas ini jika anda menerima SMS atau e-mel berunsur fitnah, padamkan segera dan usah memanjangkannya kepada orang lain.

Buli satu masalah besar. Ia boleh membuatkan seseorang berasa terluka, sakit hati, malu, takut, sunyi, terasing dan sedih. Buli tidak terhad kepada perlakuan fizikal saja seperti memukul, menendang, mencubit atau menolak.
Buli juga boleh dilakukan dengan kata-kata dengan memberi gelaran, mengancam, menjadikan seseorang bahan ketawa atau memfitnah (mengada-adakan cerita).

Kini ada saluran baru untuk membuli seseorang iaitu melalui Internet atau lebih dikenali sebagai buli siber. Sebenarnya ia bukan perkara baru dan kita melihat pelbagai contoh buli siber seperti yang pernah dipaparkan dalam akhbar.

Mengapa boleh wujud pembuli? Sesetengah pembuli mahu mendapat perhatian. Pembuli mungkin berfikir membuli kaedah popular yang memudahkan mereka mendapat apa dihajati. Kebanyakan pembuli melakukan pelbagai tindakan untuk membuat diri berasa penting, besar dan berpengaruh.

Sikap keluarga yang suka marah-marah, menjerit dan memberi gelaran buruk kepada ahli keluarga lain juga boleh mendorong seseorang, terutama kanak-kanak, menjadi pembuli.

Mereka beranggapan dengan menjerit, bersikap pemarah dan memanggil nama tertentu adalah perkara normal kerana ia dilihat berlaku setiap hari dalam keluarganya. Pembuli begini tidak faham dan tidak peduli perasaan orang lain.

Sesetengah pembuli tahu tindakan mereka boleh memalukan atau melukakan perasaan orang lain. Mereka sengaja berbuat demikian untuk mencapai keinginan dan memuaskan hati.

Namun ada juga pembuli tidak tahu bagaimana sakit hati, malu dan terseksanya mangsa buli akibat perbuatan mereka.

Hal ini tidak terkecuali dalam buli siber. Pembuli siber menggunakan SMS, e-mel, blog (diari atau catatan peribadi yang boleh dibaca sesiapa saja di Internet) atau laman web untuk mengganggu, mengancam dan memalukan seseorang tanpa mendedahkan identiti mereka yang sebenar.

Ada bermacam jenis pembulian siber; daripada membuat fitnah atau khabar angin, menyebarkan gambar yang boleh memalukan sehinggalah menghantar mesej memalukan, berulang kali mengganggu (termasuk gangguan seksual), mengancam atau memeras ugut.

Semua orang terdedah kepada risiko buli siber. Bagaimanapun, kumpulan paling berisiko adalah pelayar Internet muda. Ada dua perbezaan utama antara buli di alam nyata dan siber. Pembuli siber menggunakan teknologi untuk menyebarkan mesej dengan cepat kepada ramai orang.

Malah, mereka boleh mengambil gambar memalukan menggunakan kamera telefon bimbit dan menyebarkannya kepada kawan lain dalam masa beberapa minit saja. Selain telefon bimbit, komputer dan Internet membolehkan pembuli berselindung di balik nama samaran yang secara tidak langsung memberi mereka peluang melakukan aktiviti buli dengan lebih rancak.

Menurut Pengurus Pemasaran Serantau Symantec, Effendy Ibrahim, pembulian siber lebih bersifat serangan peribadi yang ditujukan khas untuk seseorang.

Biasanya ia dilakukan remaja atau golongan muda dan kadangkala orang dewasa yang bermasalah.

“Buli siber adalah perlakuan anti sosial secara on-line. Ia jelas menunjukkan si pembuli ada masalah tingkah laku dan mental. Pembulian siber juga mungkin menandakan individu itu kesunyian dan mahukan perhatian daripada pengguna Internet lain,” katanya.

Mengapa pembulian siber perlu dibimbangkan? Kajian Symantec mendapati 72 peratus remaja Asia berumur 15 hingga 24 tahun menggunakan Internet untuk pelbagai perkara, termasuk mencari maklumat, memuat turun lagu atau perisian serta mencari kenalan.

Lebih 42 peratus pengguna Internet di Malaysia berumur kurang 24 tahun, 47 peratus pelajar sekolah menengah dan lapan peratus pula masih belajar di sekolah rendah.

Internet menjadi sebahagian hidup golongan muda kini. Menghalang mereka menggunakan Internet seolah-olah melumpuhkan separuh hayat mereka.

Namun kita perlu berhati-hati kerana pengguna Internet bukan saja terdedah kepada pembulian, malah berisiko menjadi mangsa penipuan dan 93 peratus mangsa adalah pengguna Internet persendirian.

“Gangguan ini bukan saja memalukan, tetapi boleh menyebabkan seseorang remaja berasa rendah diri sehingga ada yang nekad membunuh diri.

“Di luar negara, seorang remaja perempuan berumur 13 tahun membunuh diri selepas teman lelaki Internet memutuskan ‘hubungan’ dan berkata dunia akan menjadi lebih baik jika remaja perempuan itu tiada.

“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 60 kes buli siber dilaporkan ke Keselamatan Siber Malaysia di bawah kategori gangguan elektronik. Jumlah yang rendah ini bukan bermakna tidak banyak kes buli berlaku, tetapi kebanyakan mangsa ‘malas’ untuk menghebohkannya dan menganggap ia tidak perlu dilayan,” kata Effendy.

Apa yang remaja fikir dan buat?

40 peratus beranggapan tidak mengapa berbual dengan orang tidak dikenali di Internet.
20 peratus beranggapan selamat untuk mendedahkan maklumat peribadi di Internet.
30 peratus memberi pertimbangan untuk bertemu rakan Internet.
9 peratus pengguna Internet muda (13 hingga 15 tahun) pernah bertemu rakan pertama yang dikenali melalui Internet.
Ini sebabnya ibu bapa perlu ambil tahu kegiatan Internet anak. Ia bukan saja untuk memantau anak melayari laman web tidak sepatutnya, malah boleh melindungi anak daripada menjadi mangsa buli siber.

Jika anak menjadi mangsa buli siber, dia mungkin merahsiakan perkara ini kerana malu dan bimbang anda marah atau melarang mereka menggunakan telefon bimbit mahupun komputer. Bagaimanapun, usah risau kerana beberapa tanda yang boleh diperhatikan iaitu:

Anak kelihatan sedih, risau atau marah selepas menggunakan telefon bimbit atau komputer.
Anak anda mula mengasingkan diri dan tidak lagi mahu bercampur dengan rakannya.
Prestasi pelajaran mula merosot atau menunjukkan rasa tidak puas hati dengan sekolah atau mana-mana kelas.
Anak menunjukkan tanda sedih atau resah.
Bagaimana menangani buli siber:

Tunjukkan anda ambil berat masalah yang mereka hadapi.
Simpan dan cetak bukti pembulian siber.
Kenal pasti siapa pembuli itu. Biasanya pembulian siber membabitkan lebih daripada seorang.
Fail aduan secara formal pada pengendali perkhidmatan Internet.
Arah pembuli menghentikan tindakan mereka.
Hubungi ibu bapa pembuli, sama ada melalui telefon atau lebih baik bersama surat aduan yang disahkan. Beritahu mereka apa berlaku dan tunjukkan bukti. Jika perlu, beri amaran bahawa anda akan ambil tindakan undang-undang.
Maklumkan guru sekolah mengenai perkara ini supaya ia dapat dihentikan segera.
Jika pembulian membabitkan gangguan seksual, buat aduan polis.
Ibu bapa juga perlu ambil tahu adakah anak mereka menjadi pembuli siber. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

Minta anak tunjukkan laman web yang biasa dikunjungi dan rangkaian sosial mereka. Anda juga boleh membuat penyelidikan sendiri dengan mencari nama anak dalam laman web.
Tengok telefon bimbit anak anda, terutama mesej dan gambar yang disimpan di dalamnya.
Anak remaja yang lebih dewasa mungkin menganggap tindakan ini menceroboh hak mereka, tetapi beritahu ia tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk memastikan keselamatan mereka.
Jika masalah berterusan, beri hukuman dengan menahan pnggunaan telefon bimbit atau Internet.
Panduan perlindungan jenayah Internet:

Rahsiakan semua maklumat peribadi.
Jangan dedahkan nama sebenar, alamat, nombor telefon, nama sekolah atau memberi gambar kepada kenalan di Internet.
Jauhkan diri daripada individu tidak dikenali, tidak kira apa yang mereka kata mengenai anda. Usah cepat termakan pujian atau janji kenalan dalam Internet kerana tiada cara untuk tahu siapa mereka sebenarnya.
Jangan bercakap dengan orang tidak dikenali di Internet.
Jangan sekali-kali berjumpa kenalan dari Internet. Jika terpaksa, ajak ibu, bapa atau saudara mara lebih tua menemani anda. Biar orang kata anda kolot kerana ia lebih baik daripada menempah bahaya. Jangan sekali-kali pergi sendirian.
Beritahu ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai apa yang anda lihat di Internet, terutama jika perkara berkenaan membuatkan anda rasa kurang selesa.
Ingat:

Apa yang anda masukkan dalam Internet bersifat kekal. Apa yang dilakukan akan dikesan, dipantau dan disimpan.
Kerahsiaan nama anda adalah karut. Pengendali perkhidmatan Internet, mana-mana kerajaan, jurujual yang mahu menjual barang tidak berguna atau penjenayah Internet boleh menduga minat anda, mengikut jejak digital dan tahu siapa anda.
Etika siber perlu diamalkan semua orang. Gangguan siber boleh membawa kepada penguatkuasaan undang-undang. Jadilah diri anda sendiri dan kekalkan sifat baik sepanjang masa.
Pertandingan permainan Internet. Tetapkan had supaya anda tidak terlalu asyik sehingga boleh menjejaskan aktiviti harian lain, terutama tumpuan di sekolah.
Membeli barang di Internet. Jangan sekali-kali beri kata laluan anda kepada sesiapa pun di Internet.
Bersosial hanya secara on-line. Jangan jumpa rakan baru dikenali melalui Internet. Tindakan ini sangat berbahaya.
Panduan untuk ibu bapa:

Sentiasa ingatkan anak untuk melindungi dan merahsiakan maklumat peribadi.
Letak komputer di tempat terbuka supaya anda boleh pantau kegiatan Internet anak.
Elak menggunakan kamera web.
Pantau aktiviti Internet anak.
Lindungi data anda.
Ingatkan anak mengenai masa depan supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang akan dikesali kelak.
Beri panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Internet. Sentiasa ingatkan anak supaya menjaga adab sopan dan berhati-hati ketika berinteraksi dengan orang lain di Internet.
Jangan pos gambar yang boleh menjadi ancaman kepada diri sendiri.
Ancaman on-line ramaja

> 71 peratus menerima pesanan daripada individu tidak dikenali.
> 45 peratus ditanya mengenai maklumat diri oleh orang tidak dikenali.
> 61 peratus pernah menghantar maklumat diri dalam laman web rangkaian sosial seperti MySpace, Friendster, Xanga atau Facebook.
> 34 peratus melihat bahan seks yang tidak ingin dilihat secara online.
> 13 peratus pernah menerima mesej berunsur seks.
> 9 peratus diganggu dalam pelbagai cara.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
Buli Siber

1 Komen:

Rozalia Binti Alik berkata...

Terima kasih atas ulasan mengenai buli siber yang diberikan. Ulasan yang sangat baik dan bermanfaat :)

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.